Wednesday, May 20, 2009

Idea berputik di restoran India


TARIAN yang penuh eksotik daripada penari profesional India.

Emosi, warna dan koreografi eksotik pikat pengarah, penerbit Merchants of Bollywood

NYANYIAN, tarian dan lakonan yang penuh dengan nilai artistik ditambah dengan persembahan warna-warni sangat sinonimnya dalam industri seni India. Sejak 40 tahun lalu, muzik Bollywood mula bertapak di negara itu menjadikan ia satu-satunya hiburan yang digilai ramai.

Biasanya persembahan Bollywood membuatkan penonton teruja dengan gaya tarian yang bertenaga, kostum yang berwarna warni, kilauan teknik pencahayaan dan lakonan yang yang dramatik.

Semuanya bakal dapat kita saksikan apabila persembahan ekstravaganza Merchants of Bollywood memasuki ke negara ini menjadikan negara ini sebagai negara pertama di Asia menerima kunjungan pementasan yang julung kali diadakan.

Sebelum ini persembahan Merchants of Bollywood pernah menjelajah ke beberapa negara seperti United Kingdom, Sepanyol, Itali, Jerman Afrika Selatan dan Australia. Kini peminat muzik Bollywood boleh menyaksikan secara dekat lebih 53 artis Bollywood beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 14 hingga 26 Julai depan.

Pengarahnya, Toby Gough berkata, idea untuk mengadakan persembahan jelajah ini timbul ketika sedang enak menikmati juadah di restoran India beberapa tahun lalu.

TOBY (kiri), Vaibhavi dan Mark pada sidang media di Kuala Lumpur.

“Ketika itu saya dan Mark Brady yang juga penerbit bagi konsert ini sedang menjamu selera di sebuah restoran India di New Zealand yang dinamakan sebagai Bollywood.

“Kami dikelilingi dengan skrin filem yang mempamerkan klip video heroin yang sedang menari dan menyanyi di dalam hujan serta memakai kostum menakjubkan. Kami tertarik dengan warna, emosi dan koreografi eksotik yang bertenaga.

“Dari situlah idea ini timbul untuk mengadakan konsert jelajah Bollywood ke serata dunia memandangkan ia sesuatu yang unik untuk dipersembahkan kepada dunia,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memandangkan negara ini mempunyai bilangan penduduk yang berbilang kaum ia menjadi tarikan utama penerbitnya Mark Brady membawa persembahan itu ke sini.

Menurutnya, pemilihan negara ini sebagai destinasi seterusnya untuk persembahan yang kaya dengan lakonan, tarian dan muzik dari India itu selepas mengambil kira kekayaan seni budaya pelbagai kaum di negara ini.

“Malaysia adalah negara yang kaya dengan seni budaya dari pelbagai kaum masyarakatnya. Sudah tentu sebahagian masyarakatnya mengenali muzik dan tarian Bollywood.

“Saya percaya dan yakin persembahan yang julung kali dipertontonkan di negara ini akan memberi satu pengalaman yang baru buat peminat dan pencinta seni dari seluruh negara di Asia ini,” katanya yang dianjurkan syarikat tempatan Asiapromote Ventures Sdn Bhd dan LD Sports Sdn Bhd.

Persembahan muzikal Merchants of Bollywood bakal disertai 53 pelakon dan penari dari India yang diarahkan Toby Gough dan koreografernya, Vaibhavi Merchant.

Vaibhavi Merchant berkata, kejayaan pementasan berkenaan bergantung kepada ketulenan persembahan yang dicipta.

“Ia mengisahkan sejarah bermulanya Bollywood di India 40 tahun lalu. Mengisahkan Ayesha Merchant, cucu perempuan Shantilal Merchant salah seorang koreografer terkemuka Bollywood dari era kegemilangan industri filem Hindi.

“Shantilal mengajar Ayesha tarian klasik India di kediaman mereka di Rajasthan tetapi Ayesha ingin menempah nama di Bollywood.

“Kami mengambil pelakon dan penari dari kumpulan kreatif kami yang terdiri daripada mereka yang cukup berbakat dalam industri perfileman Bollywood masa kini.

“Penarinya pula pernah menjayakan filem hebat Bollywood termasuk Lagaan, Dhoom, Paheli, Bunty Aur Babli, Rang De Basanti, Krishh dan filem terbaru yang menjadi kegilaan ramai, Kabhi Alvida Nak Kehna,” katanya yang juga dari keturunan keluarga dinasti yang melahirkan kisah lagenda Merchants of Bollywood.

Info

  • 53 pelakon dan penari akan terbabit dalam persembahan ini.

  • 1,200 persalinan kostum akan digunakan.

  • 2,500 barang perhiasan tradisional India akan digunakan

  • 90 minit persembahan digabungkan dengan elemen tarian, lakonan dan drama.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: