Sunday, May 10, 2009

Hip Hop taruhan ONE

Entah di mana silapnya, sejak menjuarai pertandingan Gang Starz musim kedua pada tahun lalu, kumpulan One Nation Emcees (ONE) masih belum dikenali ramai seperti kumpulan yang lain.

Malah, kehadiran mereka dalam industri muzik juga langsung tidak memberikan kesan yang besar dalam atmosfera muzik tempatan. Hal ini mungkin tidak disedari oleh ramai orang memandangkan masih banyak kumpulan yang masih tercari-cari tapak untuk terus menempatkan diri.

Berbekalkan muzik hip hop, One Nation Emcees sepatutnya sudah berjaya menonjolkan diri dalam persekitaran dunia seni tempatan memandangkan tidak ramai kumpulan-kumpulan muzik yang berani memperjuangkan irama sebegitu.

Walaupun Too Phat sudah berkubur, namun kemampuan kedua-dua ahli kumpulan tersebut dalam menerobos arena muzik tempatan sememangnya diakui ramai. Maka seharusnya peluang ini digunakan oleh One Nation Emcees untuk menunjukkan kehebatan mereka menjadi sebagai antara peneraju irama hip hop di Malaysia.

Perjalanan mereka di dalam bidang muzik masih belum teruji. Tapi kumpulan yang dianggotai oleh Mimi, Zydee, Jojo dan Kozae ini optimis untuk terus berkarya kerana perjalanan mereka baru sahaja bermula.

One Nation Emcees merungkai apa sebenarnya yang terjadi pada mereka selama ini. Mimi menjelaskan bahawa selama ini mereka alpa dengan perjalanan seni akibat terlalu asyik menunggu peluang yang tidak kunjung tiba.

“Enam bulan kami mengikat kontrak bersama pengurusan artis selaku juara Gang Starz. Selama itu kami banyak membuat persembahan yang diaturkan oleh pihak pengurusan tersebut.

“Sepanjang tempoh masa itu juga kami sering kali menyertai karnival anjuran Hotlink dan membuat persembahan bersama mereka. Apabila kami tersedar rupanya kami dah tersasar dari matlamat asal.

“Selesai sahaja kontrak bersama pengurusan tersebut kami menubuhkan O.N.E Nation Emcees Sdn. Bhd. yang akan menjadi platform kepada kami untuk meneruskan kerjaya,” kata Mimi.

Sehingga kini, mereka mengharapkan agar syarikat yang ditubuhkan pada bulan Mac lalu dapat merencanakan pelbagai program untuk terus memenangi hati peminat.

Kata Zydee, untuk melicinkan kerjaya mereka, kumpulan ini telah pun merakamkan tiga buah lagu baru dan dua daripadanya akan dijadikan single yang akan dimainkan di semua stesen radio tidak lama lagi.

Jelasnya lagi, mereka memang mengharapkan tuah pada lagu Raja Gelek dan Bisikan Cinta yang mendapat sentuhan Damian VE dan lirik daripada mereka sendiri.

“Kami juga sedang mengatur beberapa strategi khusus untuk menaikkan kembali sokongan peminat terhadap One Nation Emcees yang selama ini banyak menyokong mereka sejak menyertai program Gang Starz lagi.

“Selain menggunakan khidmat Damain VE, kami juga sedang menunggu lagu terbaru sentuhan Azmeer untuk dimuatkan dalam album mini kami yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Keistimewaan lagu Raja Gelek sebenarnya terletak pada elemen muzik tradisional dan hip hop. Kami menjalinkan ia di dalam lagu dan sangat berharap peminat akan suka buah tangan terbaru kami itu,” ujar Zydee lagi.

Terima kasih orang Sabah

Apalah ertinya menjadi artis tetapi tidak mempunyai peminat. Begitu juga dengan One Nation Emcees. Mereka sebenarnya amat berterima kasih kepada semua peminat terutama dari negeri Sabah yang banyak menyokong mereka selama ini.

“Bila kami membuat persembahan di Sabah sahaja, ada peminat yang menjerit-jerit nama kami malah ada yang sanggup mengekori ke mana kami pergi.

“Mula-mula terkejut juga dengan situasi sebegitu. Tapi lama kelamaan kami mula menerima apa yang berlaku dan kami berterima kasih kerana peminat sentiasa menyokong kerjaya kami,” luah Jojo lagi.

Untuk itu, bagi menghargai peranan yang dimainkan oleh peminat dari negeri di pulau Borneo itu, One Nation Emcees merancang untuk membuat sebuah lagu dalam dialek Sabah sebagai tanda terima kasih mereka terhadap peminat.

Apabila ditanya sampai bila One Nation Emcees mampu bertahan, masing-masing agak kelu untuk memberikan jawapan.

Walaupun ada yang melabelkan kumpulan ini mirip kepada Black Eyed Peas, namun ia bukanlah jaminan untuk mereka terus bertahan.

Tanpa berselindung, Kozae juga turut melahirkan kerisauan mengenai nasib yang akan melanda One Nation Emcees pada masa akan datang memandangkan tidak banyak kumpulan yang mampu bertahan selama-lamanya.

“Rasanya sepanjang menempuh perjalanan ini kami dah macam adik beradik. Banyak peristiwa pahit dan manis yang telah kami tempuhi bersama. Dan atas sebab itu kami memang memerlukan antara satu sama lain.

“Kami tidak akan membuat persembahan jika tidak cukup ahli. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menunggu semua ahli ada bersama barulah persembahan dapat dibuat,” jelas Kozae.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kumpulan ini boleh terus melayari www.onenationemcees.com atau menghubungi Jai ditalian 019-6806785 untuk sebarang pertanyaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: