Sunday, May 10, 2009

Mimpi pasca gotik Meme


Building A mystery


Setiap orang mempunyai pandangan mereka yang tersendiri terhadap dunia. Walaupun pelbagai pandangan dan persepsi berbeza daripada setiap orang, itulah yang cuba digambarkan dalam sesebuah karya.

Begitu juga dengan lukisan. Setiap pelukis mentafsir dunia melalui karya-karya seni yang mereka hasilkan. Mungkin pelbagai perkara yang pelik yang kadang kala tidak dijangkakan berlaku.

Hal yang sama berlaku kepada Meme atau nama sebenarnya Khairul Azhar Shoib yang banyak menghasilkan karya lukisan bersifat luahan subliminal atau luahan kesedaran yang berada di bawah permukaan.

Dia juga memilih simbol-simbol gotik atau pasca gotik dalam lukisannya hanyalah sebagai ulangan bagaimana seniman-seniman generasi kini melihat dunia dari perspektif mereka.

Bagi seniman yang mapan dan yang lebih matang, mereka mungkin ada cara yang tersendiri untuk melihat dunia. Persepsi dan pemahaman biasanya berdasarkan apa yang telah mereka lalui.

Namun begitu, sebagai seniman muda, Meme juga ada cara untuk melihat dunia. Apa yang sedang dilalui oleh Meme pada waktu ini, itulah yang sering subjek dalam setiap lukisan yang dihasilkan olehnya.

Jika menyorot kembali perjalanan seni Meme ini, dia telah pun memulakan kerjaya seninya sejak 1997 lagi. Walaupun ketika itu perjalanannya dalam bidang lukisan ini baru bermula, Meme tidak mendepani kesukaran untuk terus bergiat aktif atas semangat yang kuat.

"Pelbagai mesej dan kritikan yang saya sertakan dalam lukisan. Sebab itu kebanyakan orang melihat karya saya lain daripada yang lain.

"Saya suka menghasilkan karya yang berbentuk fiksyen. Ikon yang selalu saya gunakan itulah yang selalu menjadi tanda tanya kepada peminat lukisan.

"Jika orang lama, mereka mungkin tidak dapat memahami dengan lebih jelas apa yang cuba saya sampaikan. Tapi kebanyakan generasi baru mudah mentafsir setiap inci lukisan kerana karya yang dipaparkan itu lebih dekat dengan mereka," jelas anak kelahiran Taiping, Perak ini.

Akui Meme, sesetengah daripada karyanya adalah berdasarkan cerita rakyat yang dikutip dari Asia Tenggara mahupun Barat.

Namun begitu, ada juga sebahagian daripada lukisannya dihasilkan berdasarkan pengalaman hidup dan daripada pengalaman itulah ia berhubung kait sehingga menjadi sebuah lukisan yang baik.

Baru-baru ini telah berlangsung pameran solo Meme yang berjudul Mimpi Pasca Gotik di RA Fine Art Gallery, Kuala Lumpur. Buat julung-julung kalinya pameran secara solo ini diberikan khas kepada Meme atau daya usaha yang tidak pernah terhenti dalam memartabatkan kegiatan seni sejak dahulu lagi.

Sehingga kini hampir 50 pameran solo dan berkumpulan yang telah pun disertai oleh Meme sejak awal penglibatannya. Bagi Meme, setiap kali pameran diadakan, sudah pasti dia akan mendapat reaksi positif mahupun negatif daripada peminat yang hadir.

"Kadang kala ada yang datang dan langsung tidak mengerti apa makna yang tersirat dalam karya yang dihasilkan. Sudah pasti saya terpaksa memberikan penerangan kepada mereka.

"Ini sebenarnya langsung tidak menjadi masalah kepada saya. Malah ia sebenarnya mendekatkan lagi saya dengan peminat yang hadir," kata Meme tanpa berselindung.

Mengimbas kembali perjalanan kegiatan lukisan di Malaysia, pensyarah sambilan di PJ College ini melihat perubahan yang begitu ketara dari semasa ke semasa.

Jika pada waktu dahulu kebanyakan lukisan menggunakan medium lama seperti catan, cat minyak dan pewarna, kini semua itu telah berubah mengikut peredaran masa.

"Perkembangan sains dan teknologi sedikit sebanyak mempengaruhi corak lukisan. Kebanyakan generasi muda lebih terpengaruh dengan seni moden seperti elektronik dan animasi.

"Ia sedikit sebanyak telah menenggelamkan seni lukisan yang lama. Perkembangan ini sebenarnya adalah sesuatu yang biasa dan tidak perlu dirisaukan," jelasnya lagi.

Mengulas mengenai pembabitan generasi muda dalam bidang lukisan pula, Meme melahirkan persepsi dan pandangannya yang berbeza mengenai masa depan bidang ini.

Mungkin tidak ramai generasi muda yang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelukis sepenuh masa terutamanya apabila menerima kekangan seperti masalah kewangan.

Hakikat itu memang diakui sendiri oleh Meme memandangkan dia sendiri pernah belajar dan mempunyai pelajar yang sama-sama terlibat dalam bidang ini.

"Industri kita tidak memberikan peluang yang begitu besar kepada pelukis. Hanya itu yang boleh saya rumuskan. Cuma bagi mereka benar-benar gigih sahaja berupaya untuk terus bersinar pada masa hadapan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: