Sunday, May 10, 2009

Hati Eira belum terbuka




SIKAPNYA yang mudah mesra dengan sesiapa membuatkan Eira Syazira disenangi ramai. Pemilik nama sebenar Syazira Shuhaimi ini cuma bermula sebagai pelakon ekstra yang diberi bayaran kecil.

Namun penat lelahnya semakin berbayar apabila dia kini diberi kepercayaan memegang watak utama dalam banyak drama televisyen.

Memburu impiannya dengan menjadikan penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza sebagai idola, dia menganggap semua artis baru mesti gigih dan berdedikasi seperti yang telah ditunjukkan ikon industri hiburan tersebut.

Membawakan watak Anissa dalam drama Ku Milikmu, hakikatnya sudah banyak drama yang dibintangi Eira termasuk Gerak Khas, Sembilu, Meniti Bara, Senja Kala, Sinderella, Tangisan Bulan Madu dan terbaru drama Embun Mutiara.

"Saya tak pernah memilih watak. Kalau itu skrip yang saya dapat, itulah yang akan saya buat.

"Lagipun saya kena versatil supaya tidak dilihat sebagai pelakon stereotaip," ujarnya.

Eira mengaku matlamatnya hanya satu iaitu untuk membariskan namanya setanding dengan bintang-bintang seni tempatan dan antarabangsa.

"Biarlah lambat sedikit nak naik. Permulaan memang selalunya sukar," tambahnya lagi.

Pengganti Erra Fazira

Eira pernah dikaitkan dengan Erra Fazira kerana nama dan kualiti lakonan yang hampir sama. Namun usikan itu disangkal keras dengan menyatakan dirinya hanyalah seorang pelakon baru.

"Memang ada yang kata, 'dulu orang ada Erra sekarang orang ada Eira'. Hakikatnya jurang antara kami terlalu besar. Erra adalah Erra. Dan Eira adalah Eira.

"Erra adalah inspirasi untuk menjadikan diri Eira yang terbaik.

"Lagipun tak ada siapa yang boleh menggantikan tempat Erra. Saya cuma pelapis dan bukannya pengganti dia," pintanya yang tidak ingin disamakan dengan bintang tersebut.

Bagaimanapun, Eira sememangnya menggantikan pelakon Memey Suhaiza untuk watak utama dalam drama bersiri terbaru, Issandra, berikutan isu khalwat Memey dengan pelakon Norman Hakim, Oktober tahun lalu.




Namun Eira tidak pula menganggap perkara itu satu isu.

"Mungkin sudah rezeki Eira. Lagipun penggambaran belum dimulakan lagi pada masa itu. Watak Issandra yang diberi pada Memey juga baru di peringkat cadangan.

"Selepas itu kebetulan Memey ada masalah, jadi penerbit hubungi saya untuk tawarkan watak tersebut.

"Saya dan Memey sama-sama baru dalam industri. Jadi tak ada istilah siapa yang lebih bagus. Bagus atau tidak bergantung pada pelakon itu sendiri.

"Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan," ujar Eira.

Gosip cinta dan kontroversi berkemban

Sungguhpun dia cuba untuk menepis spekulasi buruk yang kerap menimpa golongan selebriti, namun tempiasnya sukar dielak.

Eira pun begitu. Dia digosipkan dengan seorang penerbit.

"Saya sendiri tak tahu dari mana datangnya cerita ini. Saya tahu ada pihak yang sengaja mereka-reka cerita.

"Malah ada yang mendakwa pernah ternampak saya dengan seorang sugar daddy di lapangan terbang dan macam-macam lagi.

"Semuanya karut. Kalau betul dakwaan itu, saya minta mereka tunjukkan bukti," cabar Eira.

Gadis yang berprofil sederhana ini juga tidak bersetuju jika namanya disebut sebagai artis yang mengundang kontroversi.

Bagi Eira, meraih tumpuan umum disebabkan kontroversi merupakan publisiti murahan yang sangat dielakkannya.

"Glamor itu akan datang dengan sendirinya apabila hasil kerja yang kita lakukan adalah bagus," ujarnya yang sangat menitikberatkan perihal imejnya.


MENGANGGAP sudah rezekinya menggantikan Memey dalam Issandra.





Bagaimanapun, gambar-gambar Eira berkemban yang disiarkan oleh sebuah majalah hiburan baru-baru ini telah mengundang komen-komen sinis daripada pelbagai pihak.

"Ia suatu kesilapan. Eira minta maaf pada semua. Lepas ini Eira akan lebih berhati-hati.

"Eira sebenarnya tak sangka gambar itu yang akan dijadikan muka depan. Ia sangat mempengaruhi diri Eira. Kadang-kadang rasa tertekan dan kecewa setiap kali tengok gambar tu.

"Apa pun Eira tak salahkan sesiapa. Eira lihat dari sudut positif dan menjadikannya satu iktibar. Eira janji itulah yang pertama dan terakhir Eira buat macam tu," sesalnya.

Belum berpunya

Meskipun mahu menjadi seorang yang berdikari dalam hidup, Eira tidak menolak kemungkinan untuk berkongsi impian dengan seseorang suatu hari nanti.

"Namun buat masa ini, saya masih seorang. Belum ada yang berjaya menambat hati. Tidak dinafikan ada yang cuba mendekati, namun semuanya saya anggap sebagai kawan rapat.

"Lagipun hati saya masih belum terbuka untuk menerima sesiapa sekarang," tuturnya yang juga tidak mahu terlalu bergantung pada insan bernama lelaki.

Apabila ditanya mengenai lelaki impiannya, Eira mengatakan bahawa dia tidak meletakkan sebarang kriteria khusus sebaliknya menerima seadanya jika memang itu jodohnya.

"Tetapi saya kurang selesa berhubungan dengan lelaki yang perasan. Bagi saya mereka terlalu yakin dan gelojoh.

"Sepatutnya lelaki perlulah gentleman dan cool. Namun saya tiada masalah berkawan dengan individu sebegini.

"Saya sentiasa berdoa kepada Tuhan agar Dia mengurniakan saya seorang lelaki terbaik untuk masa depan saya.

"Dan bila dah sampai waktunya, Insya-Allah siapa yang hadir dalam hidup saya itulah jodoh saya," luah Eira.

Selain ingin menempa nama dalam industri hiburan, Eira juga menyimpan hasrat untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Meskipun perniagaan yang diasaskan dan diusahakan oleh bondanya semakin maju, Eira masih mahu membantu mengembangkan perniagaan tersebut.

"Perniagaan makanan yang diusahakan oleh mama di Alamanda Putrajaya kini semakin maju. Apa yang saya inginkan ialah menambahkan lagi cawangan bisnes mama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: