| PEMBABITANNYA dalam dunia hiburan sudah menjangkau empat tahun dan sepanjang tempoh itu pelbagai onak duri yang terpaksa dihadapinya dalam mengharungi perjalanan sebagai anak seni. |
Namun, kontroversi yang datang mengulit Iqram Dinzly, 27, ketika sedang rancak memahat nama di pentas lakonan dan pengacaraan, tidak pernah dijadikannya alasan untuk terus menyerah kalah kepada keadaan.
Biarpun sering dikaitkan bercinta dengan Fauziah Gous, sikap panas baran dan mula lupa diri, bagi Iqram, apa yang berlaku satu fenomena biasa yang dihadapi mereka yang bergelar anak seni.
"Saya tahu melalui pembabitan dalam dunia hiburan, tidak akan dapat lari daripada pelbagai berita yang kurang enak didengar mengenai perihal diri.
"Bagaimanapun, saya menganggap kontroversi yang melanda diri sebagai cabaran buat saya untuk terus melangkah dan memperindahkan lagi karier sebagai anak seni.
"Saya menerima segala dugaan ini dengan hati yang tenang kerana bagi saya Tuhan, keluarga dan kawan-kawan sentiasa ada untuk memberi motivasi dan sokongan padu.
"Mereka berhak melontarkan apa sahaja yang mereka inginkan, namun saya mengharapkan peminat di luar sana tidak terus menghukum saya berdasarkan apa yang didengar," katanya.
Menyentuh sama ada kontroversi yang melanda sedikit sebanyak mengganggu tawaran berlakon diterima, beritahu Iqram, dia bersyukur kerana rezekinya di pentas glamor tidak tergugat dek berita yang kurang enak didengar.
"Alhamdulillah, undangan untuk berlakon masih ada dan ini membuktikan gosip liar mengenai diri langsung tidak menjejas pendapatan saya dalam bidang seni. Malah, ketika ini saya dalam perbincangan dengan penerbit untuk satu projek drama bersiri," katanya.
Terbaru, Iqram baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod Ladoce Amira yang akan disiarkan melalui slot lestari di TV3 mulai 26 Mei ini.
| |
"Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Bakri. Drama ini penuh dengan konflik dan ianya turut menyentuh kehidupan zaman remaja hari ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: