|
 |
| SELEPAS menjalani pembedahan hampir tujuh jam untuk mengeluarkan tiga biji batu sebesar guli dalam hempedu pada 27 Februari lalu, penyanyi veteran dangdut, Zaleha Hamid, 53, kini menunjukkan perubahan positif apabila tahap kesihatannya semakin baik dan memberangsangkan. |
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Gadis Zaman Sekarang, Joget Lama Tak Jumpa dan Jangan Tenung-Tenung berdepan dengan ujian hidup apabila menderita penyakit ketumbuhan batu dalam hempedu sejak setahun lalu.
“Alhamdulillah, selepas pembedahan kesihatan bertambah baik dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa.
“Dulu, ketika penyakit ini mula dikesan, saya rasa sakit di ulu hati sehingga sukar bernafas. Bertambah teruk, apabila rasa sakit terus melarat hingga ke bahagian belakang badan dan akhirnya menyebabkan saya tidak larat berjalan,” katanya.
Bercerita punca penderitaannya, kata Zaleha atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid, semuanya bermula daripada cara pemakanan yang diamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Ketika zaman 70-an, saya menjalani pembedahan apendiks dan ini menyebabkan makanan yang tidak hancur terus memasuki saluran hempedu.
“Keadaan menjadi parah apabila makanan yang tidak hancur membentuk beberapa ketulan batu dalam hempedu membuatkan saya merasa sakit teramat sangat,” katanya.
Bercerita mengenai komplikasi selepas pembedahan yang memungkinkan proses ketulan batu akan terjadi kembali, kata Zaleha, ia tidak akan berulang lagi.
“Kata doktor, tidak pernah pesakit yang menderita penyakit ketumbuhan batu dalam hempedu mengalami lagi kejadian sama. Ini kerana hempedu sudah dibuang, jadi proses membentuk ketulan batu pada bahagian terbabit tidak pernah terjadi dalam sejarah perubatan.
“Cuma doktor menasihati saya menjaga pemakanan dan elak makanan berminyak serta keras kerana hempedu sudah dibuang dan tanpa penjagaan makanan yang betul, kemungkinan besar saya akan menghadapi penyakit lain,” katanya.
Bagaimanapun, akui Zaleha, sejak kebelakangan ini dia sakit bahagian perut namun tidak melarat sehingga ke seluruh badan.
“Mungkin itu implikasi selepas jahitan pembedahan dibuka dan saya tidak rasa akan membawa permasalahan dalam hidup saya.
“Lagipun rasa sakit sekejap saja dan kemudian hilang,” katanya.
Menyentuh sama ada dirinya perlu merujuk doktor berhubung kesakitan dialaminya, kata Zaleha, itu tidak perlu kerana rasa sakit sejak kebelakangan ini disebabkan faktor kurang rehat.
“Selain pemakanan, saya turut dinasihati doktor banyak berehat dan jangan membuat kerja berat dalam jangka masa setahun dua ini.
“Kata doktor, kekurangan rehat dan selalu melakukan kerja berat mengakibatkan usus saya bengkak apatah lagi saluran yang terputus akibat pembuangan hempedu di sambungkan ke usus perut.
“Mungkin saya banyak berjalan dan membuat kerja berat menyebabkan saya berasa sakit kebelakangan ini. Tetapi saya atasi dengan menampung balik kekurangan rehat yang saya alpa selama ini. Alhamdulillah, rasa sakit beransur surut,” katanya.
Meskipun dinasihatkan berehat, Zaleha menyatakan dia masih aktif menyanyi dan doktor menggalakkannya minum banyak air suam sebelum mengadakan persembahan.
“Menurut doktor, saya tidak mempunyai masalah menyanyi semula. Cuma doktor menyarankan supaya mengubah nada tinggi kepada rendah supaya tidak sakit ketika membuat persembahan,” katanya.
Jelas Zaleha, dia bersyukur kerana undangan persembahan tidak pernah putus diterima sehingga hari ini.
“Bagaimanapun undangan menyanyi yang diterima tidak sebanyak dulu tetapi tawaran sendiri ada.
“Terbaru, saya membuat persembahan di Tanjung Karang sempena majlis menteri bersama rakyat. Saya juga mendapat tawaran mengadakan persembahan di Shah Alam dan Singapura pada ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: