Tuesday, May 12, 2009

Gandingan mantap




Mahu kurangkan tekanan pendengar Hot FM yang terhimpit dalam kesesakan jalan raya ketika pulang dari pejabat

WALAUPUN karakter mereka seakan 'gila-gila' ketika ke udara melalui segmen Hot FM Jam menerusi stesen radio Hot FM, namun dalam kegilaan itu matlamat utama mereka adalah ingin memberi hiburan dan maklumat yang berbeza kepada pendengar.

Lebih-lebih lagi kemunculan AG dan Kieran melalui segmen yang ke udara mulai jam 4 hingga 8 malam adalah waktu kemuncak ketika pendengar sedang menghadapi tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk pulang ke rumah setelah tamat waktu kerja.

Agak mencabar tugas yang dipikul mereka semata-mata untuk menarik pendengar agar tidak beralih ke saluran lain dan memastikan pendengar sentiasa mengukir senyuman.

Jika diamati karakter mereka di luar konti masih sama dan sentiasa bersemangat iaitu bersikap 'happy go luck', kelakar seolah-olah mereka sentiasa tidak pernah menghadapi bermasalah dalam pekerjaan.

Realitinya sejak pasangan ini digandingkan Disember tahun lalu, keserasian itu dapat dirasai kerana kedua-duanya ditakdirkan memiliki banyak persamaan. Mungkin inilah yang dikatakan tuah Hot FM yang sentiasa memikirkan strategi untuk membentuk satu lagi penjenamaan baru dalam misi penyiarannya.

Kieran (kiri) dan AG.

Menurut Kieran, sebaik berhijrah ke stesen Hot FM, semangatnya turut berubah, lebih-lebih lagi dapat bekerja dalam persekitaran kerja yang lebih selesa dan team yang ceria.

"Alhamdulillah sejak menjadi ahli baru di Hot FM ini saya belum lagi menerima apa-apa komen negatif mengenai gandingan kami. Walaupun ramai yang beranggapan saya dan AG memiliki keserasian dalam kerjaya ini, namun ini masih di peringkat awal. Masih banyak lagi strategi yang kami rancang untuk meningkatkan kualiti penyampaian dan mendekatkan diri dengan peminat.

"Saya seronok bersama Hot FM lebih-lebih lagi hubungan bersama penyampai lain sudah lama terjalin membuatkan saya lebih selesa bersama mereka. Saya sendiri akui, keserasian dan persefahaman antara pasangan itu bukan boleh dibuat-buat. Jika kena caranya, semua itu akan datang dengan sendiri dan itulah yang terjadi antara saya dan AG," katanya.

Gandingan mereka berdua juga dianggap tuah buat Hot FM memandangkan satu lagi penjenamaan terbaru Hot FM terpahat dalam sejarah dengan lahirnya Jawa Rangers kerana ia satu kombinasi yang mantap.


Jika sebelum ini, Hot FM 'panas' dengan telatah ceria dua penyampainya Fara Fauzana dan Faizal Ismail membawakan segmen AM Krew jauh ke dalam hati pendengar, Jawa Rangers dilihat mampu berdiri seiring AM Krew.

Hubungan bagaikan belangkas

MENURUT AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat, Jawa Rangers tertubuh secara spontan dan akhirnya gandingan itu 'menjadi'.

"Semuanya bermula di dalam kereta ketika kami menuju ke sesuatu tempat. Daripada berbual kosong kami mendapat idea untuk meletakkan nama kami untuk lebih dikenali pendengar.

"Mula-mula tu macam-macam nama yang melucukan terkeluar dan akhirnya Ikhwan menyedari kami berdua adalah dari keturunan Jawa dan menyarankan kami menggunakan nama Jawa Rangers.

"Cadangan itu kami kemukakan kepada bos kami (Seelan Paul) dan meminta juga pandangan pendengar dan semuanya suka dan tanggal 18 November tercatatlah kami sebagai Jawa Rangers," katanya.

Sepanjang digandingkan AG dan Kieran dilihat cukup secocok. Idea yang dilontarkan ketika ke udara juga sering menggeletek pendengarnya. Walaupun baru bersama untuk tempoh yang singkat, keserasian yang terjalin cukup kuat.

Ada benarnya apa yang diharapkan Hot FM dalam memastikan sokongan pendengar berterusan, gandingan penyampai yang mempunyai keserasian adalah penting untuk mendapat sokongan dan menambah bilangan pendengar baru.

Tambahan mereka memiliki banyak persamaan yang lebih mengeratkan hubungan mereka sebagai rakan sekerja dan hubungan bersama keluarga masing-masing.

Pujian juga harus diberikan pada AG kerana cepat mewujudkan keserasian bersama Kieran. Mereka juga tidak lepas diperkatakan sebagai belangkas kerana ke mana saja akan bersama. Seperti di satu situasi ini apabila Kieran dengan sahnya bergelar bapa apabila isterinya selamat melahirkan seorang putera, dengan seberapa pantas AG sudah berada di hospital.

"Yang paling utama bagi kami ialah kejujuran dan keikhlasan dalam persahabatan, lebih-lebih lagi kami berdua adalah berketurunan Jawa dan sebab itu nama Jawa Rangers itu secara kebetulan terkeluar.

"Kami berdua sudah berumah tangga dan percaya perkahwinan tidak menghalang kami untuk mengumpul lebih banyak pendengar yang senang dengan cara kami.

"Saya dan Kieran memiliki anak sulung lelaki dan keduanya diberikan pangkal nama yang sama iaitu Muhammad. Kami juga memiliki hobi yang sama iaitu minat bermain bola sepak serta menyokong kelab bola sepak yang sama iaitu Manchester United.

Info Kieran

  • Nama Sebenar: Maskiran Jakiran
  • Asal: Klang, Selangor
  • Tarikh Lahir: 24 April 1975
  • Umur: 34
  • Isteri: Yang Azli Yang Yunus
  • Anak: Muhammad Adam, 2 bulan.

    Info AG
  • Nama Sebenar: Muhammad Azmir Selamat
  • Asal: Johor Bahru
  • Tarikh Lahir: 19 Jun 1980
  • Umur: 29
  • Isteri: Emelda Amir
  • Anak: Muhammad Aeril Aqmar, (4 tahun), Muhammad Arraz Ammar (2 tahun).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: