| WATAK Wulan yang dijayakan Dhini Aminarti, berjaya menarik perhatian penonton hingga menjadi fenomena. Sebut saja Wulan, penonton terbayang gadis cantik dikenali sebagai Wulan meniti cabaran hidup dengan pelbagai masalah dihadapi. |
Kini penonton setia slot Sutera @ 2 yang disiarkan di TV2 setiap Isnin hingga Khamis, jam 3 petang, mula mengenali watak baru, Safira lakonan Yukino Amira menerusi sinetron Safira, sejak 12 Mei lalu.
Sinetron 35 episod ini dijayakan Yukino Amira, Lucky Perdana, Andhika Pratama dan Gading Marten. Ia mengisahkan kehidupan Safira yang ceria, tetapi hidupnya penuh duka. Dia bersama dua adiknya, Farah dan Ali tinggal dengan nenek setelah ibunya, Aida, meninggalkan mereka sewaktu Safira berusia tujuh tahun.
Ayah mereka, Hussein, seorang pemabuk yang sudah lama tidak pulang dengan membawa Dodi anak sulungnya bersama. Sejak itu, Safira cuba bertahan tinggal di rumah neneknya sehinggalah muncul Hana, mak ciknya yang menawarkan mereka tinggal bersamanya. Namun kehadiran mereka kurang disenangi Hussein yang tinggal bersama adiknya di situ.
Safira terhina dengan kata-kata kesat ayahnya sendiri. Malah kekesalan bertambah melihat perangai abangnya yang mengikut jejak Hussein menjadi pemabuk dan bergaul dengan pencuri.
Sementara itu, pemuda tampan dikenali Dika sangat mencintai Anisa meskipun sedar gadis itu menghidap kanser otak peringkat kritikal. Dia tetap nekad menikahinya kerana yakin Anisa mampu diselamatkan tetapi pada hari pernikahan mereka, Anisa meninggal dunia.
Dika benar-benar kecewa dan sejak itu dia mula 'dingin' terhadap wanita yang dikenalinya. Baginya tiada wanita yang mencintainya setulus hati arwah Anisa. Malah Dika beranggapan semua wanita yang mendekatinya hanya mahu mengambil kesempatan atas kekayaan keluarganya.
Naswa, ibu Dika adalah pewaris tunggal kekayaan keluarganya. Namun kerana tidak bijak menguruskan harta peninggalan keluarganya, Naswa kehilangan semua hartanya termasuk hotel yang dikendalikannya dan kini bertukar hak milik kepada ibu tirinya, Maryam.
Walaupun tinggal bersama mak ciknya, Safira terpaksa menjual kuih dibantu Farah untuk meneruskan kehidupan. Satu hari secara tidak sengaja ketika sedang menjual kuih, Safira bertemu dengan Dika dan jatuh hati pandang pertama dengan pemuda itu yang mempertahankan dirinya daripada tindakan kasar Hussein yang ingin merampas wangnya.
Sementara Maryam diburu perasaan resah apabila dirinya disahkan menghidap jantung. Dia buntu untuk mencari pewarisnya kerana tidak mahu hartanya jatuh ke tangan Naswa mahu pun cucu-cucunya.
| |
Dia bertemu Safira secara tidak sengaja sewaktu Safira lari menyelamatkan diri dikejar anjing lalu tersesat masuk ke dalam banglo mewah Maryam. Pertama kali melihat Safira, terlintas di fikiran Maryam untuk menggunakan gadis itu sebagai alat untuk membalas dendam terhadap Naswa.
| |
Bagaimana pula dengan Safira? Sanggupkah dia membabitkan diri dalam konspirasi yang diaturkan wanita yang baru dikenalinya? Bagaimana pula kesudahan kisah cintanya dengan Dika, cucu tiri wanita itu?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: