Sunday, May 10, 2009

Eira lepas cinta


DEMI cita, cintanya harus dilepaskan. Meskipun kasih dan sayangnya utuh terhadap kekasihnya, kerana kerjaya dan mengejar populariti dalam dunia glamor, semua itu perlu ditolak ketepi.

Kedengaran kejam bukan? Namun itulah hakikat yang perlu ditempuhi Eira Syazira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi. Begitupun, tidak perlu memandang sinis kepada gadis jelita ini. Apa yang terjadi bukan realiti, sebaliknya ia sekadar lakonan semata dalam drama bersiri terbaru lakonannya, Embun Mutiara.

Akui Eira, selaku Embun, dia harus membawa watak berkenaan sebaik mungkin. Memegang watak gadis nakal dan model, Embun begitu optimis mengejar kejayaan dan populariti. Dalam masa sama, dia sanggup meninggalkan teman lelakinya iaitu Roni (Awal Ashaari) hanya kerana cita-citanya.

“Drama ini memaparkan konflik antara dua beradik, iaitu Embun dan Mutiara. Walaupun perwatakan dua beradik ini berbeza, Embun sungguh menyayanginya.

“Embun juga mahukan sesuatu yang sempurna pada matanya. Tidak kira daripada segi kerjaya atau kehidupan peribadi, semuanya harus teratur dan sesuai dengan kehendaknya.

“Dalam drama ini, watak Embun berbeza daripada lakonan saya sebelum ini dalam siri Sindarella dan Ku Milikmu. Dengar saja mengenai karektor watak itu, saya terus setuju menerimanya,” katanya.

Jelas Eira, setiap kali mendapat tawaran berlakon, dia mahu lari daripada karakter yang pernah dilakonkan. Malah, bakat berusia 25 tahun ini juga tidak mahu watak dibawanya dicop ‘stereotype’.

“Selaku pelakon, saya mahu mencuba setiap watak yang berbeza. Bila puas dengan sesuatu watak itu, saya akan mencari watak lebih mencabar. Sedikit sebanyak, bakat saya akan teruji.

“Jika diberi peluang, saya mahu mencuba watak orang kurang upaya. Biar ia lari daripada kebiasaannya. Walaupun saya wanita, tidak mustahil saya juga mampu menggalas watak seperti itu.

“Ketepikan soal ayu dan jelita. Sebagai pelakon, saya tidak mahu dinilai menerusi rupa paras dan lakonan yang hanya menampilkan wajah cantik. Lagipun, lakonan adalah kerja saya dan untuk mempelbagaikannya, saya perlu mencuba semua jenis watak,” katanya.



Selain Embun Mutiara yang baru saja selesai penggambarannya, Eira membintangi sebuah drama bersiri berjudul Cinta Balkish arahan Heykal Hanafiah. Drama sebanyak 44 episod itu bakal disiarkan menerusi slot Akasia, TV3 tidak lama lagi.



Menurut Eira, memandangkan drama berkenaan memakan masa panjang dan keseluruhan proses rakaman dijangka selesai Oktober nanti, dia perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal. Meskipun memegang watak ‘air mata’ yang boleh dianggap mudah, Eira melihat ia punya cabaran tersendiri.

“Bukan mudah memberi komitmen untuk tempoh sepanjang itu. Hampir lima bulan saya terikat dengan penggambaran filem itu. Sebab itu, kini saya bercuti dua minggu untuk membaca skrip dan membuat sedikit kajian mengenai watak berkenaan,” katanya.

Melihat wajahnya, tentu ramai mengenalinya di layar kaca. Namun apabila menyentuh layar lebar, pelakon yang kian dikenali menerusi drama Ku Milikmu ini belum berpeluang meluaskan bakatnya.

Akui Eira, bukan tiada tawaran diberi. Sebaliknya, gadis ini selektif dalam memilih watak untuk tayangan di layar perak. Katanya, biar lakonannya berbaloi dan memberi impak kepada penonton.

“Sebelum ini kerap juga saya menerima tawaran berlakon untuk produksi filem. Namun, watak diberi tidak sesuai dengan diri saya. Kalau boleh, saya mahu watak yang memberi impak besar kepada penonton dan juga diri sendiri.

“Sejak mula berlakon sehingga kini, saya belum berpeluang melakonkan mana-mana watak untuk tayangan filem. Mungkin belum rezeki saya. Malah, tidak rugi jika saya bersabar dan menanti watak sesuai. Lagipun, filem menjadi medium terbaik untuk penonton menilai lakonan saya.

“Saya tidak mahu buat kerja seperti melepaskan batuk di tangga. Sebab itu saya berpendapat setiap watak mempunyai nilainya yang tersendiri dan jika kena dengan caranya, ia mampu menonjolkan bakat yang ada pada diri,” katanya.

Tirai cerita kerjaya dilabuhkan, kini soal peribadinya pula dibuka. Acap kali dikaitkan dengan kontroversi, gadis lemah lembut ini sudah lali dengan gosip liar berkenaan. Namun menyentuh soal hati, Eira mula berterus terang.

“Buat masa ini saya masih ‘single’. Belum ada yang istimewa dan kebanyakan kenalan lelaki saya kini sekadar kawan biasa.

“Memikirkan umur semakin meningkat, saya akui teringin mempunyai teman lelaki dan melangkah ke gerbang perkahwinan. Malah, keluarga juga sering bertanya mengenai hal itu. Begitupun, soal jodoh itu ketentuan Tuhan.

“Sedikit sebanyak, pengalaman cinta lalu membuatkan saya serik menjalin hubungan dengan lelaki. Bukan apa, pada saat saya membina kerjaya, saya tidak mahu tumpuan terganggu dengan masalah percintaan.

“Namun jika ditakdirkan menemui jodoh, saya hanya menerimanya dengan hati terbuka. Saya juga tidak pernah meletakkan jangkamasa tertentu untuk mendirikan rumah tangga. Jika sampai seru, mengapa tidak?

“Namun saya harap lelaki berkenaan tidak mengongkong dan cemburu buta. Lagipun, saya rimas jika diperlakukan sebegitu. Cukup jika dia memahami saya dan penyayang,” kata Eira tersenyum.



>Profil

NAMA PENUH: Syazira Shuhaimi

NAMA KOMERSIAL: Eira Syazira

LAHIR: 19 Julai 1984 di Kuala Lumpur

ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia

TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja

DRAMA: Lebih 30, antaranya Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Ku Milikmu, Sindarela dan Embun Mutiara

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: