Sunday, May 10, 2009

Belum ada cinta...Dayang Nurfaizah


KETIKA artis lain diasak dengan soalan cinta, Dayang Nurfaizah Awang Dowty pula bagaikan terselamat walaupun usia penyanyi asal Sarawak ini menjangkau 27 tahun — layak sangat untuk bergelar isteri atau setidak-tidaknya mempunyai kekasih hati.

Malah, gosip cinta jarang terkait pada Dayang. Jelas Dayang, dia bersyukur dengan perkembangan kariernya setakat ini. Kisah peribadi, terutama cinta, tidak mengganggu kelancaran membina nama sepanjang 10 tahun ini.

“Nasib baik Dayang bukan jenis yang suka keluar. Kalau lepak pun dengan keluarga hinggakan ada peminat tanya mengapa selalu kelihatan dengan adik-beradik dan famili ketika bersantai, teman lelaki mana?

“Memang Dayang tak ada kekasih. Bukan tak nak, tetapi belum waktunya lagi. Mungkin juga saya jenis lurus, lepas kerja, terus balik rumah. Tak reti nak lepak-lepak, lagipun kawan sebaya tak ramai.

“Kalau ada pun dengan Kak Liza (pengurus) dan Abang Tris (bekas pengurus Sheila Majid) yang jauh lebih matang daripada Dayang hinggakan ada yang anggap Dayang ‘sudah tua’,” katanya sambil ketawa manja.

Penyanyi Dayang Sayang Kamu ini yakin satu hari nanti jodohnya akan tiba. Dia akui sangat mempercayai kisah dongeng Cinderella yang akan didatangi lelaki idamannya.

“Sebab itu Dayang malas nak fikirkan sangat soal cinta. Tuhan sudah aturkan untuk kita. Memanglah Dayang mahu ada teman lelaki, tetapi bukan sekarang,” katanya.

Duta Perlindungan dan Pengekalan Alam Semulajadi oleh Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan milik Kumpulan Emkay ini mengakui ibu bapanya tidak terlepas bertanyakan soal jodoh anaknya. Bagaimanapun, mereka tidak memaksa kerana memahami anak gadis mereka.

Bimbang juga penyanyi lagu Seandainya Masih Ada Cinta dan Hembusan Asmara ini kiranya kisah peribadi melampaui apa yang dicita-citakan ketika mula-mula menapak di dalam dunia seni.

“Sepuluh tahun Dayang dalam industri muzik, apa yang Dayang lakukan selama ini perlahan-lahan menampakkan apa yang Dayang mahukan. Alhamdulillah walaupun bukan drastik, Dayang semakin menikmati saat-saat kemanisan ini.



“Cuma Dayang takut benda kecil, termasuk cerita peribadi, boleh memakan diri sehingga menjatuhkan apa yang Dayang bina selama 10 tahun ini.



“Sepuluh tahun bukan masa singkat, penat untuk Dayang sampai ke sini. Sedar atau tidak, bukan semua artis mampu bertahan, tetapi semuanya rezeki-Nya. Kita sebagai manusia berusaha sedaya mungkin untuk terus bertahan dan berjaya,” katanya.

Adakah mana-mana lelaki yang datang mendekati? Tatkala soalan ini diajukan, Dayang malu-malu menjawab: “Entahlah, sama ada yang datang itu untuk mengurat Dayang atau tidak sebab Dayang tiada berpengalaman sebegini. Kalau benar pun ada, Dayang tidak tahu. Setakat ini pada mata Dayang, semuanya sama saja.

“Yang kelakarnya kadangkala Kak Liza pun tanya, nak yang macam mana? Namun Dayang tidak tahu dan mengerti makna cinta ini.

“Mungkin kalau satu hari dibukakan pintu, hati berdetik yang itulah lelaki jodoh saya, baru saya tahu bagaimana rasanya cinta.”

Kalau benar apa yang dikatakan Dayang, peliknya, dia bijak menghayati lagu cinta dan patah hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: