Monday, May 18, 2009

Drama menyayat hati


SEMPENA Hari Ibu dan Hari Bapa yang diraikan pada Mei dan Jun, siri Welcome Home My Love yang mengangkat martabat ibu bapa, pastinya memberi seribu pengertian buat semua.

Drama menyayat hati dan sarat dengan mesej kekeluargaan dan semangat bersatu padu ini disiarkan menerusi koleksi rancangan Cina terbaik di ntv7 setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, mulai hari ini (18 Mei).

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata, pada era serba moden ini, kita sering melihat dan mendengar kisah anak-anak mengabaikan keluarga demi mengejar impian dan cita-cita masing-masing menjadi elemen utama yang cuba diketengahkan dalam Welcome Home My Love terbitan MediaCorp.

"Saya yakin siri melodramatik 25 episod ini mampu mendidik penonton terhadap nilai kekeluargaan dan mengeratkan kembali hubungan keluarga yang terputus.

"Ucapan terima kasih juga kepada penonton setia ntv7 hingga menjadikan kami stesen nombor satu program bahasa Cina," katanya.

Welcome Home My Love mengisahkan kehidupan bapa tunggal yang juga bekas ketua editor terkenal, Jiang Zhen Min lakonan Ho Kwai Lam, cuba memenuhi impian terakhir isterinya sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu mahukan satu keluarga bahagia dan cukup dari segi keperluan.

Malangnya, semua itu tidak menjadi malah kehidupannya tidak tentu arah apabila anak-anak cuba mengkhianatinya hingga hubungan kekeluargaan mereka menjadi keruh.

Anak sulung, Steve Yap seorang yang angkuh dan licik. Dia dan isterinya yang sombong dan tidak mesra, Vivien serta anak lelakinya, Hao Wen menetap bersama bapanya. Mereka melakukan apa saja demi menjayakan impian supaya Hao Wen menjadi pewaris tunggal harta keluarga Jiang.

Keadaan ini menimbulkan kemarahan adik lelakinya, Bo Chong (Leslie Chai) dan isteri, Wan Qin (Tong Bing Yu) yang turut memasang impian merebut harta dan kekayaan keluarga mereka.

Tercetuslah peperangan klasik antara ipar duai tetapi seperti kata pepatah, tiada rahsia yang akan selamat selamanya.



Zhen Min yang tidak tahu menahu perbuatan anaknya, jatuh sakit apabila terbongkar segala tipu muslihat kedua-dua anak lelakinya.

Dengan penuh rasa kesal, Bo Wen berikrar menjadi lebih baik dan cuba mengubah cara hidup dan sikapnya sementara Bo Chong dan Wan Qin dilanda pelbagai masalah rumahtangga apabila Bo Chong dibuang kerja.

Anak gadis Zhen Min, Jia Ning (Tifanny Leong) adalah wanita manis dan bekerja sebagai Penerbit Eksekutif di sebuah stesen TV. Dia bertemu Ken dan memutuskan untuk menamatkan zamat bujang. Urban dan sofitiskated, Jia Ning tidak pernah merasakan keperluan untuk menjadi ibu.

Keadaan menjadi tegang apabila dia menerima pelbagai tohmahan daripada ibu saudara Ken yang sangat konservatif dan menganggap fungsinya sebagai isteri tidak lengkap sehinggalah melahirkan waris untuk keluarga Ken.

Anak bongsu Zhen Min, Jia Tong (MayJune) merupakan kunci kebahagiaan keluarga itu. Petah, cantik dan berbudi-bahasa, kebahagian jelas terpacar di wajahnya sehinggalah dia bertemu lelaki yang hanya mahu mempermainkan hatinya.

Saksikan kesudahan Welcome Home My Love yang dibarisi pelakon Hong Kong, Ho Kwai Lam, Steve Yap, Apple Hong, Leslie Chai, Tong Bing Yu, Tiffany Leong dan bintang yang kian mekar, Mayjune.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: