BERDEPAN kecurangan suami, si ibu dihimpit kenyataan pedih menanti saat kematian apabila disahkan mengidap HIV.
Menyedari betapa penting masa depan anaknya, di nekad untuk mencari penjaga terbaik demi memastikan permata hatinya mendapat perhatian dan kasih sayang sepenuhnya setelah ketiadaannya kelak.
Benarlah kasih seorang ibu tiada penghujungnya, meskipun terpaksa berkorban nyawa demi mempertahankan kebahagiaan anak tersayang.
Begitulah kisah yang cuba dipaparkan dalam drama khas Hari Ibu, Payung Kasih yang mengisi slot Citra@2 pada yang bakal bersiaran pada 14 Mei (Khamis) ini, pukul 8.30 malam di TV2.
Drama terbitan Pentas Wayang Production Sdn. Bhd., itu menggandingkan barisan pelakon seperti Nor Albaniah, Erynne Erynna, Esma Daniel dan Watie Sadali.
Payung Kasih mengetengahkan watak Maria, seorang doktor yang disahkan menghidap HIV hasil hubungan sulit suaminya, Rudi dengan seorang wanita asing yang ditidurinya.
Biarpun berkali memohon maaf daripada Maria namun, sehingga nafas terakhirnya, Maria masih enggan memaafkannya.
Ilmu sebagai seorang doktor membuatkan Maria berjaya mengawal sakitnya selama sembilan tahun. Bagaimanapun, Maria sedar bahawa ajal semakin menghampiri dan apa yang membimbangkan ialah soal penjaga anak gadisnya, Melati yang baru berusia 11 tahun.
Dalam payah, Maria berterus terang tentang jangka hayatnya kepada Melati. Malangnya, gadis kecil itu masih terlalu muda untuk memahami tentang penyakit HIV dan kecurangan arwah bapanya.
Kerana tidak mahu Melati tertekan dan disisihkan dengan sindiran serta ejekan rakan-rakan di sekolahnya, setibanya cuti sekolah, Maria memulakan misi mencari keluarga angkat untuk anaknya.
Persinggahan pertama mereka ialah di rumah ibu Maria, Maisarah.
Biarpun Maisarah kelihatan gembira menerima kehadiran Melati tetapi bapa tiri Maria, Rashid ternyata hanya berpura-pura. Menghidu ketidaktelusan hati Rashid, maka Maria tidak sanggup meninggalkan Melati di situ.
Suatu hari, ketika sedang bermain di tepi pantai Melati didatangi pasangan suami isteri, Intan dan Azhar yang menyangka Melati adalah anak mereka.
Kerana takut, Melati berlari mendapatkan Maria. Siapakah pasangan suami isteri itu dan apakah hubungan keduanya dengan Maria?.
Berjayakah usaha Maria untuk mendapatkan perlindungan dan penjaga untuk anaknya setelah kematiannya kelak?.
Kepada anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah menyanyat hati itu, jangan ketinggalan menonton Payung Kasih pada 14 Mei (Khamis) ini, pukul 8.30 malam di TV2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: