Monday, May 11, 2009

Pementasan selepas sedekad

SETELAH hampir sepuluh tahun, naskhah Mana Setangginya tertangguh, ia akan dipentaskan kepada umum di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 21 Jun depan.

Menurut Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, naskhah nukilan Datuk Noordin Hassan itu pada awalnya mahu dipentaskan sedekad yang lalu sempena pembukaan Panggung Negara (nama Istana Budaya sebelum ini), iaitu pada tahun 1999.

Juhari berkata, Nordin atau lebih mesra di kalangan penggiat sastera dengan panggilan Cikgu bekerja keras untuk menghasilkan skrip Mana Setangginya semata-mata untuk dipentaskan di IB sekitar tahun 1999.

"Namun atas sebab-sebab tertentu, teater ini tidak dapat dipentaskan dan terpaksa digantikan dengan teater yang lain," ujar Juhari pada sidang media baru-baru ini.

Menurut Juhari lagi, justeru IB berpendapat, adalah wajar untuk mementaskan teater ini memandangkan sudah ada slot untuk pementasan teater naskah tulisan sasterawan-sasterawan negara.

"Apatah lagi, ia (Mana Setangginya) dibuat khusus untuk IB sudah tentu kami tidak teragak-agak untuk mementaskannya biarpun selepas 10 tahun," ujarnya lagi.

Naskhah yang bakal diarahkan oleh Zaifri Husin ini mengangkat tema kehidupan golongan Yahudi sebagai tema utama jalan ceritanya.

Kisahnya bermula di sebuah kampung nelayan yang menyaksikan penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setanggi.

Tetapi, mereka yang bekerja sebagai nelayan tidak dibenarkan menangkap ikan pada hari Sabtu memandangkan hari tersebut adalah untuk hari beribadah mengikut agama mereka (Yahudi).

Kemudian wujud watak-watak seperti Hawar, Juda, Silbi dan Subhat yang membawa unsur-unsur pengkhianatan, hasutan, bongkak dan fitnah seperti yang terdapat dalam kehidupan masyarakat yang hidup dalam zaman jahiliah suatu ketika dahulu.

Zaifri yang turut serta pada sidang media itu awal-awal lagi memberi ingatan agar jangan ada pihak yang cuba mencetuskan spekulasi-spekulasi nakalsebelum menonton pementasan teater ini.

Katanya, tidak bermakna dengan mengangkat tema kehidupan Yahudi dalam naskhah berkenaan, maka ia memperlihatkan IB menyanjungi kehidupan golongan tersebut.

"Jika kita perhalusi sikap-sikap negatif (fitnah, dengki dan bongkak) tersebut, ia terjadi di setiap golongan masyarakat dan agama. Malah ia turut terjadi di kalangan kita sebagai rakyat Malaysia dan beragama Islam khususnya.

"Mungkin Cikgu ingin mengajar kita akan kehidupan negatif secara simbolik menerusi kisah kehidupan golongan Yahudi," terang Zaifri panjang lebar.

Menurutnya lagi, bukan sesuatu yang pelik dalam industri seni termasuk teater apabila pengkarya bebas untuk menghasilkan cerita berdasarkan idea dan pengalaman yang dilaluinya.

Paling utama dalam aspek pengarahan ialah cara olahan dan penyampaian kepada khalayak.

"Itu yang saya lihat dalam Mana Setangginya ini, apabila Cikgu merujuk kepada kisah dalam kitab Taurat dan disesuaikan dengan isu-isu yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini.

"Saya yakin melalui garapan dan olahan idea yang kemas dan baik dalam teater ini tidak akan menimbulkan kekeliruan terutamanya melibatkan tentang agama," katanya lagi.

Mengenai pemilihan pelakon yang bakal menjayakan Mana Setangginya, Zaifri berkata setakat ini, pihaknya sedang menjalankan beberapa sesi uji bakat melihat pelakon-pelakon yang boleh disesuaikan dengan watak-watak yang ada.

"Ada juga beberapa pelakon terkenal yang kami tawarkan untuk watak utama, tetapi sehingga kini kami masih lagi dalam proses perbincangan.

"Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar dan kedua-dua pihak (pelakon dan pihak produksi) mencapai kata sepakat, akan kami khabarkan kepada pihak media," tambahnya lagi.

Sementara itu, pada sidang media itu, Cikgu Noordin tidak dapat turut serta atas sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkan.

"Kami baru sahaja berhubung dengan Cikgu, dan beliau menyampaikan rasa gembira dan terima kasihnya kerana impiannya untuk melihat Mana Setangginya ini dipentaskan di IB bakal direalisasikan," kata Juhari sebelum mengakhiri ucapannya pada sidang media tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: