| SETIAP pasangan bercinta menyimpan impian untuk mendirikan rumah tangga. Namun, tidak semua pasangan mampu mengecapi hari bahagia itu tanpa perancangan sempurna. |
Bagi pasangan dramatis, Zamarul Hisham Mohamad dan Adiana Abdul Rafar (Diana Rafar), mereka berusaha mempertahankan cinta sejati selama lapan tahun hingga sah bergelar suami isteri pagi kelmarin. Ini perkahwinan kedua Zamarul dan pertama buat Diana.
Biarpun Zamarul, 38, pernah melakonkan adegan perkahwinan menerusi drama sebelum ini, dia akui perasaan gemuruh hadir ketika melafazkan akad nikah untuk majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Negeri, Shah Alam Selangor. Hanya dengan sekali lafaz, dia sah memperisterikan Diana tepat jam 10.25 pagi.
Selepas majlis akad nikah, pasangan bahagia ini tidak menunggu lama untuk mengadakan majlis persandingan pada sebelah malam hari sama. Berbeza dengan kebanyakan pasangan pengantin baru lain yang selesa menggunakan hotel sebagai lokasi majlis persandingan, mereka ingin tampilkan kelainan dengan konsep terbuka di padang di belakang Hotel Concorde, Seksyen 9, Shah Alam.
Pasangan ini kelihatan segak dan cantik apabila mengenakan pakaian pengantin serba putih pada majlis persandingan mereka. Tema putih yang ditampilkan turut mengikut konsep majlis termasuk pelamin dan kek empat tingkat yang disediakan Kuzie Catering.
Dari mula atur cara berjalan sempurna sebaik pengantin masuk berarak ke pelamin diikuti acara merenjis, makan malam hingga pengantin bersalam dengan tetamu serta bergambar kenangan sebaik majlis selesai.
Pada awal majlis bermula hujan renyai membasahi sebilangan tetamu yang hadir, tetapi cuaca bertambah baik beberapa minit selepas itu.
Seramai 1,400 tetamu hadir berkongsi hari bersejarah pasangan bahagia ini. Antaranya Datuk Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa; Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad; Sazzy Falak dan suami, Nazril Idus; Zahida Rafiq, Betty Banafe dan Fizz Fairuz.
Tetamu dihiburkan dengan persembahan Nassier Wahab dan Mila AF5 manakala Zizan Nin dan Nur Fazura menjadi pengapit. Menariknya, tema putih digunakan pada rekaan sangkar burung yang menghiasi majlis persandingan.
Kata Zamarul, dia bersyukur kepada Tuhan dan terharu dengan pembabitan anggota keluarganya dalam menjayakan majlis perkahwinannya. Sungguhpun penat kerana majlis pernikahan dan persandingan berlangsung hari sama dan bersiap sejak awal pagi hingga lewat tengah malam, dia tetap berusaha memastikan segala atur cara majlis berlangsung sempurna.
| |
"Sebelum majlis bermula, saya risau juga dengan perjalanan majlis malam ini (kelmarin) apatah lagi hujan renyai turun seketika. Bagaimanapun, saya anggap hujan pada majlis perkahwinan adalah satu rahmat Tuhan dan akhirnya saya gembira kerana segala yang dirancang selesai.
| |
"Sebagai pengantin baru, saya tidak nafikan perasaan gemuruh tetap ada terutama apabila melalui majlis akad nikah. Namun, selepas lafaz akad nikah, perasaan saya makin tenang dan saya juga tidak dapat sembunyikan perasaan sebenar untuk menitiskan air mata sebagai tanda syukur dan gembira.
"Jika direnungkan usia percintaan kami yang menjangkau lapan tahun, sudah tentu saya gembira apabila kami diijabkabulkan. Di kesempatan ini, saya ingin menyatakan penghargaan kepada anggota keluarga dan mentua serta mereka yang banyak bertungkus-lumus memastikan majlis perkahwinan ini berjalan lancar.
"Memang benar, usaha dan perancangan untuk mengadakan majlis sebesar ini bukan suatu yang mudah. Malah, perkahwinan saya ini sebenarnya dibuat persediaan selama tiga bulan.
"Sebagai suami, saya mengharapkan diberi peluang merasai kebahagiaan perkahwinan kali ini hanya sekali seumur hidup. Saya mengharapkan perkahwinan kami ini berkekalan kecuali ajal memisahkan kami. Soal pergaduhan dalam rumah tangga, itu asam garam kehidupan.
"Namun, saya percaya setiap masalah ada jalan penyelesaian dan ia boleh dibawa berbincang dengan baik," katanya.
Dalam menilai Diana sebagai isteri, dia menyatakan isterinya itu memiliki ciri isteri bertanggungjawab, sifat penyayang dan ambil berat. Paling menggembirakan dirinya, Diana sanggup menerima kehadiran anak tunggalnya hasil perkahwinan pertama, Izzad Haiqal, 10.
Diana, 27, pula tidak menganggap perkahwinan sebagai halangan untuk meneruskan minat terhadap karier seni lakon dan nyanyian. Diana juga menguruskan pusat kecantikan sendiri, D'Lugano di Seksyen 13, Shah Alam. Seperti suami, dia juga menitiskan air mata gembira sebaik majlis akad nikah selesai dilangsungkan.
"Saya terkejut juga melihat Zamarul menitiskan air mata kerana saya jarang lihat lelaki bersikap sebegitu. Apapun, saya bersyukur kerana sah bergelar isteri pada Zamarul.
"Dalam melayari kehidupan selepas berkahwin, saya percaya setiap pasangan perlu banyak bertolak ansur. Biarpun penat dari pagi ke malam menjadi raja sehari, perasaan gembira hadir apabila melihat majlis diserikan dengan kehadiran ramai tetamu.
"Pada saya, kehadiran tetamu ini adalah kejutan kerana mereka sanggup meluangkan masa untuk memeriahkan majlis perkahwinan saya ini. Sebelum ini, saya pernah lihat ada majlis perkahwinan pasangan lain kurang sambutan daripada tetamu.
"Namun, atas izin Tuhan majlis perkahwinan saya ini berjaya. Mengenai sifat peribadi Zamarul yang menambat hati saya, dia seorang yang mengambil berat dan tegas dalam melakukan sesuatu tindakan. Saya yakin dia mampu bimbing saya sebagai ketua keluarga.
"Soal anak, itu terserah pada rezeki. Jika Tuhan berikan kami anak dalam masa terdekat ini, kami tetap gembira dan terima dengan terbuka. Untuk perancangan selepas berkahwin, Zamarul masih memberi kebenaran kepada saya untuk terus berlakon dan pada masa yang sama, saya masih uruskan perniagaan sendiri," katanya.
Dalam memberikan komitmen terhadap kerjaya dan rumah tangga, Diana menyatakan keutamaan akan tetap diberikan kepada suami dan keluarga. Katanya, dia akan berbincang dengan suami untuk terima tawaran berlakon jika perlu memberikan komitmen hingga lewat malam.
Untuk destinasi bulan madu, pasangan ini masih belum membuat keputusan. Sebaliknya, mereka mempunyai beberapa perancangan seperti mengerjakan umrah dan bercuti di Bali, Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: