| SELEPAS lima tahun membabitkan diri dalam bidang seni, baru sekarang pelakon dan pengacara popular, Ahmad Awaluddin Shaari (Awal), 27, berasakan dirinya seorang pelakon yang benar-benar punya bakat. |
Filem Syurga Cinta yang menggandingkan dirinya dengan bintang Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Nur Heliza Hilmi (Heliza) mengubah pandangannya terhadap dunia lakonan.
Bukan itu saja, pengacara One In A Million dan Sehati Berdansa itu berkata, dia mahu lebih serius menceburi bidang lakonan selepas ini.
"Sepanjang pembabitan saya dalam bidang lakonan, biasanya watak ditawarkan anak orang kaya baru balik dari luar negara, kaki perempuan dan suka membuang masa dengan berhibur. Bermula dengan Diva Popular sehinggalah Malaikat Maut.
"Boleh dikatakan ia stereotaip dan lakonan tidak pernah memberi kepuasan. Terus-terang saya katakan, selalunya saya terima tawaran berlakon filem kerana ingin mengisi masa sekiranya tiada tawaran mengacara.
"Bagaimanapun filem Syurga Cinta berjaya mengubah pandangan saya mengenai dunia lakonan. Sebenarnya pada peringkat awal pengarah filem ini, Ahmad Idham menawarkan saya melakonkan watak Irham, saya berasakan wataknya masih sama selepas melihat sinopsis ceritanya.
"Bagaimanapun mengenangkan tawaran datang dari pengarah yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam industri perfileman tempatan, membuatkan saya berat untuk menolaknya.
"Begitupun, sebaik penggambaran dimulakan saya sudah dapat berasakan bahawa Syurga Cinta sangat berbeza. Pujian diberikan penonton pada majlis juga saya dedikasikan kepada Idham yang berjaya mengeluarkan bakat yang ada sekali gus menunjukkan kepada saya apa itu sebenarnya kepuasan dalam berlakon," katanya.
Apa yang membuatkan lakonan Awal berjaya menarik perhatian penonton filem Syurga Cinta adalah, dia begitu murah dengan air mata. Dalam Syurga Cinta, ada lima atau enam babak memerlukan Awal menangis.
"Maaf ya, dalam filem ini saya tidak dibenarkan menggunakan ubat titis mata untuk babak sedih. Idham tidak akan membenarkan pelakonnya menggunakan kesan khas untuk menangis sama ada menggunakan eye mo atau minyak cap kapak. Bawang akan dipertimbangkan itu pun jika pelakon sanggup," katanya cuba berseloroh.
| |
Jelas Awal lagi, apa yang dipaparkan dalam watak Irham datang dengan sendiri, apatah lagi dialog yang diucapkan mempunyai makna mendalam dengan ayat cukup indah menyebabkan hatinya cepat tersentuh.
| |
"Lagipun Syurga cinta bukan cerita cinta kosong, ia mengajar kita mengenai kasih sayang yang lebih afdal dan diredai. Pada saya, cinta dari sudut dan pandangan Islam itu sangat indah. Ia menyentuh kehidupan kita sebagai orang Islam secara umum.
"Terima kasih juga kepada Heliza kerana kebimbangannya yang pertama kali berlakon filem dan mahu berlatih berkali-kali telah mengubah sikap saya. Sewaktu berada di lokasi, kami banyak membuat latihan sekali gus membantu penghayatan watak.
"Lagipun, banyak kali berlatih dengan Heliza sebelum penggambaran dimulakan membuatkan kami cukup serasi," katanya.
Syurga Cinta mengupas kehidupan dua anak Melayu Islam dengan dua pegangan berbeza. Pertama mengagungkan gaya hidup Barat dan seorang lagi masih teguh mempertahankan keimanan kepada Islam dan nilai-nilai ketimuran.
Sementara Heliza pula yang memegang watak Syuhada mengakui berasa sangat takut apabila pertama kali berada di lokasi penggambaran Syurga Cinta.
"Macam mana saya tidak takut, sudahlah saya pelakon baru dan tidak pernah berlakon filem, tiba-tiba digandingkan dengan pelakon berpengalaman dan pengarah terkenal.
"Di awal penggambaran dijalankan saya ada juga kena tegur dengan Idham. Dia beberapa kali bertanya kepada saya adakah saya ini berhati batu kerana susah sangat hendak mengeluarkan emosi.
"Susahnya saya rasa hendak berlakon apabila terpaksa menjadi orang lain. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila Awal dan beberapa kakitangan produksi banyak membantu.
"Bayangkan kakitangan seperti jurukamera dan kru lain banyak memberi dorongan dan kritikan membina agar saya dapat berlakon dengan baik. Perkara itu sedikit sebanyak memberikan saya semangat," katanya.
Bagaimanapun pengalaman pertama itu dianggap sebagai satu cabaran yang harus dilakukan dan selepas ini Heliza tidak keberatan meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan.
Filem Syurga Cinta yang juga terbitan ke-29 MIG Production Sdn Bhd, akan mula ditayangkan kepada umum pada 21 Mei. Untuk itu, Heliza yang masih lagi mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Malaysia Sabah, menggunakan cuti semester untuk menjayakan promosi filem itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: