CIK Normah kurang pasti apakah berita ini benar atau sekadar khabar angin semata-mata. Tetapi sumbernya boleh dikira sahih juga iaitu mengenai isteri seorang selebriti yang khabarnya ke mahkamah di sebuah negeri di utara tanah air untuk memfailkan perceraian.
Kononnya isteri selebriti itu memfailkan perceraian kira-kira dua hari lalu, tetapi tiada sesiapa yang dapat menghidunya kerana tak ada orang mengenalinya. Maklumlah isteri kepada selebriti itu hanya orang biasa dan lebih suka mengelak sebarang publisiti.
Dia pula memfailkan perceraian itu secara senyap-senyap dan kata teman Cik Normah yang bertubuh gebu itu, isteri selebriti itu mahu perceraian dilakukan dengan cara baik dan kalau boleh tidak mahu sesiapa pun mengetahuinya kerana tidak mahu kecoh-kecoh.
Menurut teman Cik Normah lagi, isteri selebriti itu menuntut perceraian kerana sudah berbulan-bulan suaminya tidak memberi nafkah zahir dan batin.
Cik Normah sebenarnya tidaklah terkejut sangat apabila mendapat berita mengenai isteri selebriti itu mahu bertindak begitu. Sebagai wanita, Cik Normah faham perasaan wanita lain. Siapa yang tak tertekan jika dibiarkan dua bulan tanpa nafkah zahir dan batin? Sudahlah anak-anak ramai, siapa yang nak tanggung mereka kalau bukan bapa mereka sendiri.
Simpati Cik Normah dengan nasib keluarga selebriti ini. Iyalah dia sibuk menjaja diri sana sini tetapi anak dan isteri di rumah dibiarkan terkontang-kanting tak berduit. Nak kata tak ada duit mustahil sebab baru-baru ini dia baru saja dilantik menjadi duta. Kalau sudah bergelar duta, takkanlah tangan kosong. Sikit atau banyak tentu ada bayaran.
Naluri Cik Normah juga mengatakan bukan sebab nafkah saja yang menyebabkan wanita malang itu mengambil keputusan tetapi mungkin dah tak tahan dengan suami yang kian popular. Biasalah orang kalau sudah popular, mulalah lupa diri. Ada yang lebih teruk sampai lupa sudah beranak bini. Begitulah penangan populariti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: