PROGRAM Mentor kembali menghangatkan hujung minggu anda mulai minggu lalu. Sebelum itu tujuh peserta musim terbaru itu diperkenalkan kepada media sebagai langkah awal sebelum melangkah lebih jauh dalam industri hiburan.
Dalam pertemuan singkat bersama Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar serta wartawan dari unit hiburan Berita Harian, mereka didedahkan mengenai peranan media dalam membantu mewarnai industri hiburan tanah air.
Antara skop yang dibincangkan adalah seperti peranan media sendiri dalam menyokong pembabitan artis baru tanah air. Ini kerana sepanjang program itu berlangsung, mereka tidak akan terlepas berhadapan dengan media yang akan menilai perkembangan semasa peserta sehinggalah mereka menjadi artis.
Tujuh peserta yang akan berentap adalah Khairul Najmuddin Abu Samah, 17 atau Hyrul dan Halhusani Razmi, 20 (Sani) yang menjadi protege kepada Jaclyn Victor, selain Tahiruddin Sain, 22 (Thye) protege Adibah Noor dan Hanifah Md Hanafiah, 22 (Black) protege Mas Idayu.
Selain itu, Camellus De’lelli Anam, 20, (Chaq) protege Ajai, Suriana Abdul Wahab, 22 (Keena) protege Awie dan Hunanis Zafira Huzaini, 18 (Fira), protege Lah Ahmad.
Chaq, yang juga abang kepada Stacy AF berkata, dia menyertai Mentor atas desakan adiknya yang mempercayai bakat semula jadi abangnya.
“Semuanya kerana Stacy yang memberi sokongan kuat kepada saya untuk menyertai uji bakat yang diadakan. Selepas terpilih menyertai program ini, pelbagai perasaan mula bermain di fikiran saya - gembira, sedih dan juga.
“Sedih kerana terpaksa meninggalkan kumpulan BadBoyz apabila berjaya dalam uji bakat Mentor ini. Sekalipun, berpengalaman dalam bidang tarian, saya sedar masih banyak lagi yang perlu diterokai," katanya.
Suriana yang juga penyanyi kelab eksklusif dan hotel dari Bandar Baru Ampang, Kuala Lumpur, cita-citanya untuk menjadi penghibur profesional mendorong dirinya menghadiri uji bakat yang diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: