![]() Aizat |
SELEPAS Mila Jirin mengharumkan nama negara di Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-17 pada Mei tahun lalu, Aizat yang masih lagi berada di Varna, Bulgaria ketika ini baru saja diumumkan menerima dua anugerah. Cik Normah dapat tahu semalam selepas menerima SMS daripada individu yang cukup rapat dengan Aizat.
Kalau Mila mendapat kejayaan Lagu Terbaik menerusi lagu Ilham Di Matamu dan Anugerah Khas Juri Discovery 2008, Aizat pula boleh berpuas hati mendapat Anugerah Khas Persembahan Terbaik menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu. Manakala untuk kategori Lagu Terbaik, Lagu Kita dendangannya hanya berada di posisi tangga ketiga saja.
Cik Normah dan rakan di Hip mengucapkan tahniah kepada Aizat biarpun tidak mampu unggul pada kedudukan yang lebih baik. Baguslah setidak-tidaknya Aizat dapat juga dua anugerah daripada tak dapat langsung. Ini kejayaan peribadi yang digondolnya lagi selepas memenangi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi album sulungnya berjudul Percubaan Pertama pada Anugerah Industri Muzik ke-16 baru-baru ini.
Sehingga kini, Cik Normah tahu masih ada yang meragui kewujudan festival ini. Ada yang cakap anjurannya syok sendiri dan boleh sesuka hati diwujudkan anugerah tertentu demi menjaga hati peserta yang terbabit. Entahlah, harapnya selepas kepulangan Aizat nanti, janganlah timbul isu yang tak sedap didengar.
Tapi tak mustahil akan ada cakap belakang, itu ini dan mungkin juga akan dipersoalkan kenapa dia tidak boleh menang anugerah utama. Ini soal rezeki dan Cik Normah yakin Aizat sudah buat sehabis baik. Kepada Aizat, jangan patah semangat dan teruskan perjuangan untuk terus memartabatkan muzik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: