Wednesday, May 13, 2009

CEO wanita didakwa tipu RM10 juta




PETALING JAYA - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembekalan minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan membuat surat akujanji palsu bagi menipu syarikat pembeli melibatkan lebih RM10 juta, dua tahun lepas.

Noorizan Shukor, 59 (gambar), dari Oriental Petroleum Sdn. Bhd. didakwa telah membuat surat akujanji palsu kepada syarikat Cito Marketing (M) Sdn. Bhd. berkaitan pembekalan 'Petronas Diesel' bagi mendorong syarikat itu mendepositkan wang RM10,320,750 ke dalam syarikat Oriental Petroleum Sdn. Bhd.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cito Marketing (M) Sdn. Bhd. di No 11, Jalan SS 15/4B, Subang Jaya, antara 28 Mei dan 22 Jun 2007.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 366(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Aziez Khan Mohd. Fadzil, menawarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela M. Stanislaus Vethanagayam, yang mewakili Noorizan, memohon agar mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin yang lebih rendah kerana anak guamnya telah diisytiharkan muflis.

Beliau juga berkata, anak guamnya yang tidak mendapat apa-apa manfaat daripada dakwaan penipuan RM10 juta tersebut telah memberikan kerjasama kepada polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sepanjang siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: