Keinginan yang tinggi untuk kelihatan cantik membuatkan ramai wanita Kemboja mengambil jalan mudah dengan melakukan pembedahan kosmetik walaupun di klinik tidak bertauliah.

![]() |
| WANITA Kemboja sanggup mengubah wajah mereka bagi mengelakkan suami mencari wanita lain. |
![]() |
| SEMAKIN ramai wanita di Kemboja obses tentang kecantikan. |
![]() |
| CHHIM VATTEY (kanan) sanggup mengupah seorang doktor terlatih dari Jepun untuk membetulkan wajah pesakit. |
![]() |
| KEMEROSOTAN ekonomi global sedikit pun tidak menjejaskan industri pembedahan kosmetik di Kemboja. |
"SAYA sangat takut, tetapi saya bersedia untuk melakukannya. Saya mahu hidung yang mancung kerana rakyat Kemboja seperti saya memiliki hidung yang besar," kata seorang pelacur, Lisa, 25, ketika berada di sebuah klinik pembedahan kosmetik terkemuka di Kemboja, Phnom Penh.
Walaupun dunia kini dilanda kemerosotan ekonomi, seorang pakar bedah kosmetik di Kemboja memberitahu, perniagaannya tidak terjejas. Bahkan, meningkat sehingga tiga kali ganda atas permintaan orang ramai yang ingin tampil cantik.
Davy Ariya, pemilik sebuah klinik di ibu kota Kemboja memberitahu, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada rakyat Kemboja tetapi juga pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Australia.
"Mereka kebiasaannya datang untuk membuat hidung, menanam silikon, membesarkan buah dada dan menghilangkan parut," katanya.
Kerja-kerja mengubah hidung di Klinik Ariya biasanya mengambil masa selama setengah jam dan harganya antara RM991 (AS$280) hingga RM2,124 (AS$600) bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan.
Bagi pembesaran buah dada, caj yang dikenakan adalah sebanyak RM5,311 (AS$1,500) hingga RM6,019 (AS$1,700).
"Walaupun ia agak mahal, peningkatan jumlah pelanggan yang melakukan pembedahan kosmetik secara mendadak menandakan masyarakat Kemboja semakin obses dengan kecantikan," kata Ariya lagi.
Menerimanya sebagai satu fenomena yang luar biasa, kebanyakan wanita-wanita Kemboja ingin kelihatan cantik seperti bintang filem Korea dan China.
Beroperasi secara haram
Operasi-operasi pembedahan kosmetik kini menjadi semakin popular dalam kalangan golongan kelas pertengahan. Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah Kemboja tidak memiliki doktor-doktor yang bertauliah dalam bidang tersebut akibat undang-undang negara yang longgar.
"Sesetengah rakyat Kemboja menimba ilmu pembedahan di negara-negara jiran hanya untuk tempoh beberapa bulan.
"Walaupun mereka tidak cukup pengalaman dan kemahiran, mereka pulang dengan megah dan menyatakan kononnya mereka mampu melakukan pembedahan kosmetik dengan bagus," kata Sann Sary, Ketua Jabatan Kementerian Kesihatan Hospital pula.
Sann memberitahu, doktor-doktor pembedahan kosmetik perlu mendaftar di Kementerian Kesihatan Kemboja. Sebaliknya, kebanyakan mereka beroperasi secara bebas dan haram.
"Malah, ada sesetengah klinik, bebas mengiklankan perkhidmatan mereka di kaca televisyen," katanya.
Veasna, 40, menyesal dengan wajah barunya selepas menjalani pembedahan kosmetik di klinik murah. Akibatnya, mukanya menjadi bengkak dan merah, terutamanya di sekitar mata.
"Saya mengalami kesakitan yang teruk kerana ingin kelihatan muda dan memiliki wajah yang cantik. Jika tidak melakukannya, suami saya akan mencari wanita lain," katanya dengan sedih sambil menunggu untuk menjalani rawatan memperbetulkan wajahnya semula.
Sementara itu, Chhim Vattey, Pengarah Samangkar Luxe Salon memberitahu, beliau telah mengupah seorang doktor terlatih dari Jepun bagi membetulkan pembedahan yang dilakukan oleh doktor-doktor yang tidak bertauliah itu.
Ujarnya, beliau terkejut kerana selepas lebih dua dekad berada di sana, Chhim tidak sedar kebanyakan doktor pembedahan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
"Berjaga-jagalah dengan klinik-klinik di jalanan. Ia ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sebahagian besarnya tidak mempunyai kemahiran dan kelayakan yang sebenar.
"Itu sebabnya ramai mangsa datang ke klinik saya untuk membuat pembetulan semula akibat kerosakan yang mereka hadapi," katanya.
Seorang pakar bedah plastik AS yang berpangkalan di Phnom Penh, Reid Sheftall memberitahu, beliau sering membetulkan kedudukan buah dada dan hidung yang rosak.
"Kebanyakan pesakit sewenang-wenangnya menerima suntikan silikon di hidung, muka, dada dan tangan.
"Ini membahayakan kerana silikon tersebut boleh berpindah ke bahagian badan yang lain dan ia akan mengeras. Sekali gus, ia boleh menyebabkan nyawa seseorang terancam," katanya.
Walaupun melalui detik-detik yang menyeramkan, Sann memberitahu, mereka masih menjalankan operasi mencari pakar bedah kosmetik.
"Kami mendorong orang ramai untuk membuka klinik kosmetik, tetapi ia perlulah secara sah dan mempunyai kemahiran dan kelayakan yang sesuai.
"Ini kerana, pembedahan plastik adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan," katanya




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: