![]() |
| HAIRI (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Khairul Mizan (dua dari kiri) tentang penggunaan gajet yang digunakan dalam Pemburu Hantu sambil diperhatikan oleh Iskandar (kanan) dan Anis. |
PELBAGAI cara yang dilakukan oleh saluran Ria (saluran 104, Astro) dalam mendekati para peminatnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.
Menambah pengisian Astro Ria untuk tahun ini, saluran yang cukup sinonim dengan rancangan realiti Akademi Fantasia itu kali ini mempertaruhkan Pemburu Hantu yang memulakan siaran pada 7 Mei lalu dan bersiaran pada setiap hari Khamis pukul 11 malam.
Pemburu Hantu memaparkan kesungguhan tiga anak muda mencabar keberanian membuktikan kewujudan entiti paranormal di sesebuah tempat.
Mereka terdiri daripada Hairi Shahrizal Mustafa, 25, Iskandar Ishak, 28, dan Anis Azman, 18.
Berbekalkan komputer riba, peralatan perakam audio dan visual, kamera litar tertutup (CCTV) serta pelbagai gajet berteknologi tinggi, ketiga-tiga mereka membuat kajian serta menganalisa kehadiran entiti dalam episod berlainan setiap minggu.
Menurut Pengurus Saluran Ria, Khairul Mizan Shagul, tujuan rancangan itu diterbitkan ialah untuk memberi maklumat kepada masyarakat mengenai kewujudan entiti di tempat yang diadukan selain membawa pengetahuan berguna kepada peminat setia saluran Ria berhubung peralatan moden yang boleh digunakan.
"Pemburu Hantu adalah rancangan yang membuktikan tentang kewujudan aktiviti paranormal menerusi analisa, kaji selidik serta sejarah tempat yang dipaparkan selain paparan menggunakan alatan yang disediakan dan bukannya untuk menangkap entiti yang berjaya dikesan.
"Kisah-kisah yang diberikan oleh pengadu akan dijadikan jalan cerita utama paparan Pemburu Hantu pada setiap minggu. Lebih banyak aduan yang kami terima maka lebih baiklah laporan kami setiap minggu," katanya.
Ketika ditemui, Hairi yang juga Penerbit Kanan rancangan itu memberitahu, pengalamannya terlibat dalam produksi Expose Mistik yang ditayangkan di Astro Prima banyak mengupas pelbagai kisah alam ghaib ternyata membantu karakternya dalam Pemburu Hantu.
"Expose Mistik banyak mengupas tentang cara rawatan mereka yang terkena sihir dan dirasuk tetapi untuk Pemburu Hantu, kami cuba membongkar tentang kewujudan entiti di sesuatu kawasan atau tempat oleh maklumat para pengadu.
"Kelainan yang kami buat ialah cuba untuk merungkai dunia paranormal menggunakan kaedah dan peralatan saintifik.
"Setakat ini kami sudah siap empat episod yang kesemuanya dirakamkan di kawasan Kuala Pilah, Negeri Sembilan antaranya ialah kisah berkaitan kubur lama, hantu raya dan hantu pontianak," katanya.
Menceritakan pengalamannya, kata Hairi sehingga kini dia tidak mempunyai sebarang pengalaman gangguan atau dirasuk oleh makhluk halus.
Bagaimanapun, menurut Hairi sepanjang menjalani pengambaran Pemburu Hantu, ada di antara gajet-gajet yang digunakan mampu mengesan pergerakan termasuk rakaman bunyi audio.
"Antara yang dapat kami kesan ialah satu bayangan yang bakal dipaparkan dalam episod Misteri Bunian sedang meninjau kamera litar tertutup yang kami pasang," katanya.
Bagi Anis yang merupakan anak jati Kuala Lumpur, ketakutan buatnya bukan penghalang untuk meneroka misteri alam ghaib. Biarpun mengakui seorang yang penakut, namun rasa ingin tahu serta menilai tahap keberaniannya membuatkan dia terlibat dalam Pemburu Hantu.
Jika Hairi tidak mengalami sebarang gangguan, berlainan pula dengan Anis yang mempunyai kisah sendiri sepanjang menjalani pengambaran rancangan tersebut.
Cerita Anis ketika menjalani pengambaran untuk episod Hantu Raya di sebuah rumah lama di Kuala Pilah, dia tidak terlepas gangguan.
"Episod ini Anis rasa adalah yang paling mencabar keberanian Anis setakat ini. Rumah yang kami kunjungi itu merupakan sebuah rumah lama yang tidak berpenghuni.
"Menurut penduduk di kawasan itu rumah itu dahulunya didiami oleh seorang yang membela hantu raya dan kini rumah itu seperti 'dijaga' oleh belaannya walaupun telah lama kosong.
"Pada malam pengambaran itu, saya seperti biasanya dikehendaki memeriksa gajet-gajet serta peralatan yang dipasang dan ketika memeriksa salah satu alat yang digunakan, tiba-tiba alat tersebut mengeluarkan isyarat dapat mengesan sesuatu pergerakan.
"Ketika melihat ke syiling rumah tersebut saya terpandang satu kelibat berwarna putih melintas sepintas lalu dan tanpa membuang masa saya lari keluar dari rumah itu," kata bekas pelajar Sekolah Sri Garden, Kuala Lumpur itu.
Mungkin sedikit janggal apabila seorang tukang masak melibatkan diri dalam rancangan berkaitan aktiviti paranormal seperti ini. Namun, atas dasar minat dan rasa ingin tahu tidak menghalang Iskandar meneruskan niatnya.
Ternyata ini bukanlah pengalaman pertama tukang masak ini melibatkan diri dalam rancangan yang membongkar misteri kewujudan entiti seperti ini kerana sebelum ini Iskandar pernah menyertai kumpulan Seekers.
Setelah hampir enam tahun tidak melibatkan diri dalam kegiatan paranormal, kini Iskandar kembali mencabar keberaniannya dalam Pemburu Hantu. Alasannya, itulah antara minat sampingan dirinya sedari kecil.
Malah, kata Iskandar kebanyakan koleksi majalah dan filem yang dibelinya berkisarkan kisah seram dan hantu.
"Pengalaman menyertai kumpulan Seekers dahulu membuatkan penyertaan saya untuk rancangan ini bukan sesuatu yang baru.
"Kalau orang lain ada mengamalkan petua-petua tertentu, saya dan rakan-rakan Pemburu Hantu tidak mengamalkannya kerana tugas kami sebagai Pemburu Hantu adalah mendekati dan bukannya menjauhi mereka (entiti).
Diganggu
Sehingga pada satu tahap menurut Iskandar dia perlu mencabar entiti untuk datang menunjukkan diri malangnya, bukan dirinya yang diganggu sebaliknya ialah ahli keluarganya.
"Pernah suatu malam saya diganggu. Ketika itu baru pulang dari pengambaran Pemburu Hantu. Tanpa membersihkan diri saya terus tidur. Bayangkan bilik berhawa dingin tiba-tiba boleh menjadi panas.
"Apabila saya bangun, saya terlihat satu kelibat putih berambut panjang. Dalam keadaan mengantuk saya terus tergamam tidak lama selepas itu kelibat itu hilang dan saya terus tidur.
"Mungkin itulah antara risiko apabila menjadi pemburu hantu. Jika ketakutan yang saya tidak mahu hadapi, apa guna saya menjadi salah seorang daripada mereka," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: