Thursday, May 21, 2009

Kehidupan sihat Sazzy Falak




MESKIPUN hidup sebagai seorang selebriti yang sentiasa sibuk dengan kerja yang tidak pernah kesudahan, ia bukan satu penghalang bagi selebriti terkenal, Sazzy Falak meluangkan masa untuk bersenam.

Ternyata itu prinsip yang dipegang oleh Sazzy apabila membicarakan tentang kesihatan dan kecergasan diri.

Alasannya cukup mudah. Baginya, hanya itu sahaja cara untuk menjana pergerakan tubuh dan minda agar menjadi lebih aktif dalam melakukan aktiviti hariannya.

Apatah lagi dibesarkan dalam keluarga yang cukup mementingkan kesihatan dan kecergasan menjadikan senaman sebagai rutin perlu dilakukan oleh Sazzy setiap hari.

Dia juga masih ingat lagi kata-kata bapanya, Datuk Shamsul Falak Abdul Kadir yang sering mahukan keluarganya mempunyai gaya hidup yang sihat dan tidak sesekali menjadikan senaman itu sebagai pengisi kepada masa lapang.

"Disebabkan itu, saya pasti akan bersenam dalam untuk memastikan tahap kesihatan saya sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

"Tetapi itu sahaja tidak cukup kerana amalan pemakanan yang sihat juga amat saya titik beratkan. Saya kini lebih gemar memakan makanan berasaskan organik yang ternyata menyihatkan.

"Malah sejak setahun lalu saya mengamalkan pescetarianisme iaitu hanya memakan sayur-sayuran dan ikan sahaja," katanya ketika ditemui di Celebrity Fitness yang terletak di pusat membeli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Apa sahaja yang berkaitan tentang kesihatan dan kecergasan, ia pasti akan menarik perhatian dan minat wanita berusia 28 tahun ini untuk menyertainya.

Maka tidak hairanlah apabila tanpa berfikir panjang dia menyatakan persetujuannya untuk menyertai The Treadmill Challenge yang akan diadakan selama dua hari berturut-turut bermula 23 Mei ini di 1 Utama bermula pukul 10 pagi.

Selain Sazzy, nama-nama seperti Azhar Sulaiman, Belinda Chee, Aishah Sinclair, Ean Nasrun merupakan antara 20 orang selebriti tempatan yang akan terlibat dalam aktiviti ini sempena Standered Chartered KL Marathon 2009 yang akan berlangsung pada 28 Jun depan.

Dijangkakan hampir 1,000 orang peserta akan menyertai The Treadmill Challenge yang julung kali diadakan itu dalam usaha untuk mencipta rekod untuk dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records.

"Memang saya teruja dengan acara ini kerana selain untuk diri saya, ia juga adalah untuk menggalakkan peminat saya dan masyarakat untuk mendekatkan diri mereka dengan gaya hidup sihat.

"Sebagai seorang selebriti, ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial saya untuk menggalakkan mereka agar menjadikan senaman sebagai satu rutin dalam kehidupan mereka seharian," jelas isteri kepada pelakon dan pengacara yang kini menjadi konsultan kewangan, Nazril Idrus ini panjang lebar.

Kelangsungan daripada The Treadmill Challenge itu Sazzy akan melibatkan diri sebagai salah seorang peserta untuk Standered Chartered KL Marathon 2009 yang menawarkan hadiah lebih daripada RM350,000.

Kata Sazzy, dia begitu gemar dalam aktiviti yang melibatkan larian dan ia juga merupakan acara larian pertama selepas sekian lama tidak berbuat demikian sejak di bangku sekolah.

"Zaman sekolah dulu saya memang suka menyertai perlumbaan merentas desa dan pernah menduduki naib johan sebanyak dua kali.

"Memang saya teruja dengan acara maraton ini kerana sudah pasti suasananya berbeza selain daripada kita dapat melihat kesungguhan para peserta yang mahu meraih kemenangan selain daripada bersenam," ujar Sazzy yang terkenal menerusi watak Shasha dalam filem dan drama bersiri Gol & Gincu ini penuh semangat.

Pada mulanya, anak jati Kuala Lumpur ini hanya mahu menyertai kategori lima kilometer sahaja.

Tetapi atas sokongan dan dorongan sahabat baiknya, Aishah Sinclair dia mencabar dirinya dengan menyertai kategori 10 kilometer.

Bagi menyiapkan dirinya dengan acara itu nanti, selain daripada giat menjalani latihan di gimnasium, Sazzy juga cuba untuk melatih dirinya dengan berjoging di taman rekreasi berhampiran kediamannya.

"Suasana di gimnasium dan di luar cukup berbeza. Apabila kita berlari di taman, kita dapat merasai keadaan sebenar dan cabarannya adalah lebih tinggi. Secara tidak langsung, ia adalah satu persiapan untuk diri kita berdepan dengan acara itu nanti.

"Apa pun, saya tidak mahu terlalu memikirkan dan menekan diri saya untuk acara ini sebaliknya saya mahu melakukannya dengan perasaan tenang dan gembira. Itu lebih baik," ujarnya yang sibuk menguruskan syarikatnya, SinclairFalak Sdn. Bhd. selain daripada aktiviti lakonannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: