|
| SELEPAS kegagalan perkahwinan pertamanya pada 2005, Siti Rohaida Mat Aris (Aida Aris), 37, terus bersendirian meskipun bukan rahsia lagi yang dia sedang hangat bercinta dengan Zul (Handy Black). |
Menurut Aida, cintanya dengan Zul terus membara namun belum terlintas di hati untuk mendirikan rumah tangga kali kedua dengan alasan selesa dengan kehidupannya sekarang dan kebanyakan masanya dihabiskan di lokasi penggambaran.
"Dalam keadaan sekarang ada teman lelaki atau tidak, ia tidaklah terlalu penting dalam hidup saya. Ada atau tiada, sama saja bagi saya. Keutamaan kini menjaga hati sendiri. Apa pun yang terjadi, kita mesti mengutamakan diri sendiri kerana tiada yang lebih memahami diri kita melainkan kita sendiri.
"Memang benar, saya perlukan seseorang untuk menemani saya pada hari tua nanti, tetapi buat masa ini saya tidak mahu memikirkannya lagi. Wanita tidak boleh bergantung hidup dengan orang lain tambahan pada zaman sekarang apa saja boleh terjadi. Kelak jika berlaku yang buruk kita juga terpaksa menanggungnya.
"Justeru, kala kudrat tengah kuat dan tawaran berlakon tidak pernah putus, saya bekerja keras mengumpul harta sebagai persediaan hari muka. Soal kahwin biarlah dulu. Insya-Allah jika ada jodoh tidak ke mana. Saya mohon pada Allah swt, memberikan kesihatan yang baik supaya dapat terus bekerja. Ada wang banyak pun, kalau dah sakit tiada gunanya," katanya.
Selama 18 tahun bergelumang dalam dunia seni, Aida amat arif sepak terjang dalam bidang glamor ini. Sekalipun jadual kerjanya padat sehingga tidak cukup rehat, tetapi kerana minat Aida tidak pernah kesal. Malah dia berasakan jiwanya cukup serasi dan setiap tawaran yang datang diterimanya dengan penuh kesyukuran.
"Asyik bekerja siang malam berat sekarang 48 kilogram saja kerana apabila terlalu penat saya tak lalu makan. Walaupun sekarang ramai muka baru dalam persada seni, saya akan pertahankan kedudukan yang ada kerana menceburi bidang ini kerana minat. Daripada situ (minat) terbit kesungguhan untuk terus berusaha.
"Jika hendak bercerita masalah dalam bidang ini, kita bekerja di mana pun sama saja. Perasaan tak puas hati, cemburu dan perselisihan faham mesti ada. Tetapi saya tidak suka memanjangkan cerita. Jika ada yang tidak kena sesama kru dan pelakon saya cuba selesaikannya ketika itu juga kerana mahu bekerja dengan tenang. Saya anggap ia seperti pergaduhan adik-beradik bak kata pepatah, carik-carik bulu ayam akhirnya akan bercantum juga.
"Saya bersyukur dengan apa yang ada dan menjalani kehidupan seadanya. Saya minta yang terbaik daripada Allah dan apa yang berlaku selanjutnya saya serahkan kepada-Nya yang memiliki segala isi dunia ini," katanya.
Seperti kebanyakan pelakon lain mempunyai perniagaan sendiri, Aida juga membuka syarikat produksi, Cinta Kasih Productions Sdn Bhd, yang mula beroperasi pada 2006.
Syarikat itu sudah pun menerbitkan telefilem berjudul Tercipta Untukmu untuk siaran Astro Prima, lakonan Aida sendiri bersama Rushdi Ramli. Manakala untuk TV3, Cinta Kasih Productions hasilkan telefilem Suram Seri Pengantin yang mengisi slot Cerekarama, lakonan Fasha Sandha, Ako Mustapha dan Aida Radziwill.
"Walaupun saya pelakon dikenali ramai dan wajah kerap muncul di setiap stesen televisyen negara ini, tetapi untuk mendapat slot drama saya juga terpaksa mengikut prosedur biasa. Selain perlu membuktikan kepada stesen televisyen Cinta Kasih Productions mampu menghasilkan produk yang bagus.
"Oleh syarikat masih baru dan bagi mengurangkan kos produksi mana watak bersesuaian saya akan berlakon sendiri. Lagipun apa bezanya saya berlakon dengan produksi orang lain dengan produksi sendiri. Tetapi jika sesuatu watak itu tidak sesuai dengan saya, baru cari pelakon lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: