SELAMA ini kita sering disajikan dengan rancangan memasak di televisyen yang menampilkan seorang chef dan resipi berbeza setiap minggu.
Kelainan yang dibuat pun hanyalah dengan menjemput artis atau selebriti untuk memasak bersama dengan chef tersebut sambil berceloteh perihal masakan.
Namun, ada kelainan yang ditampilkan oleh TV3 dalam menyediakan rancangan sebegini.
Slot Senda Pagi memberikan pendekatan dan sesuatu yang baru kepada penonton dengan memperkenalkan drama bersiri 13 episod, Chef Jo, yang buat pertama kalinya menggabungkan drama komedi dan rancangan memasak
Chef Jo mula menemui penonton sejak 7 Mei lalu, setiap hari Khamis pukul 11 pagi.
Setiap minggu drama ini akan memaparkan sebuah cerita, resipi yang lazat, tip-tip masakan, kerenah dan masalah yang dihadapi Chef Jo seperti masalahnya dengan anak-anak dan bekas isterinya.
Barisan pelakon yang mewarnai drama bersiri ini ialah Jaafar Onn, Bell Ngasri, Anne Ngasri, Aizad Jazmin, Nor Khiriah, Enot, Anita Baharom, Rozie Othman dan ramai lagi.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, slot Senda Pagi diwujudkan khusus untuk surirumah bagi menceriakan pagi mereka sebelum melakukan tugasan dapur.
"Justeru, TV3 membuat kelainan dimana penonton bukan sahaja dapat menyaksikan drama malah turut mempelajari resipi baru yang diperkenalkan oleh Chef Jo dimana resipi ini dimasak dengan penuh drama dan mencuit hati.
"Drama ini disuntik dengan unsur-unsur komedi memperkuatkan lagi jalan cerita yang penuh dramatis ini," ujarnya.
Drama bersiri ini mengetengahkan watak Johari Sapeon atau lebih dikenali dengan gelaran Chef Jo (Jaafar Onn).
Dia terkenal sebagai seorang yang pandai memasak dan masakannya memang sedap. Akan tetapi, Chef Jo lebih selesa dengan perwatakan yang sederhana, kerana dia bukanlah seorang chef yang mengejar glamor.
Hasil perkahwinannya dengan bekas isterinya Zuraidah (Rozie Othman) ataupun lebih dikenali sebagai Chef Zu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azman (Bell Ngasri) dan Azlynn (Anne Ngasri).
Walaupun jadual kerja Chef Jo amat padat, dia tidak pernah abaikan tanggungjawabnya untuk mendidik anak-anak terutama dari segi pelajaran.
Azman sudah bertunang dengan Serena (Anita Baharum) manakala Azlynn telah berkahwin dengan Farish (Aizad Jasmin) dan mempunyai seorang anak.
Kini Chef Jo kerap diundang untuk memasak di merata tempat seperti pusat membeli-belah, kenduri kahwin dan sebagainya. Dia sering mendapat pujian kerana masakannya yang sedap.
Walaupun Chef Jo pernah ditawarkan untuk muncul di kaca televisyen tetapi dia takut untuk berdepan dengan kamera. Dia lebih senang bekerja sendiri dan membantu orang lain memasak.
Bekas isterinya, Chef Zu, sering menjadi pesaingnya tetapi Chef Jo lebih digemari kerana dia pandai bercakap dan sangat merendah diri.
Chef Jo sering kali tampil dengan resipi-resipi baru manakala Chef Zu kerap mencuri resipi tersebut daripada bekas suaminya itu.
Drama bersiri ini diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn. Bhd., Primeworks Studio dan dibantu oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Fairuz Loy.
Menurut Fairuz, idea menggabungkan rancangan masakan dan drama ini timbul kerana dia dan penulis skrip, Mufid Suhaimi,berpendapat walau seteruk mana pun masalah atau perbalahan yang dihadapi, makanan dapat menyatukan masyarakat.
"Saya ingin mengetengahkan kepentingan institusi keluarga kerana melalui masakan kita dapat mengeratkan silaturrahim.
"Contohnya, walau sesibuk manapun, ahli keluarga akan duduk semeja untuk menjamu selera bersama," ujarnya.
Menariknya lagi mengenai drama masakan ini, resipi yang diberikan setiap minggu disediakan sendiri oleh Jaafar Onn.
Menurutnya, idea untuk resipi setiap minggu dipilih berdasarkan populariti masakan itu dan juga resipi masakan harian namun tidak ramai tahu cara memasaknya dengan betul.
"Antara resipi yang saya sediakan ialah rendang, nasi rambai dan asam pedas.
"Saya memberi nama resipi itu berdasarkan jalan cerita pada setiap episod itu.
"Contohnya resipi Rendang Datuk Laksamana. Resipi itu dicipta kerana pada episod itu, sekumpulan Datuk ingin memujuk isteri mereka dengan memasak masakan yang istimewa," ujar Jaafar Onn yang sudah diketahui umum pandai memasak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: