Wednesday, May 27, 2009

Hasilkan muzik asli, lirik berkualiti

SESUATU yang agak membanggakan dalam industri muzik tanah air sejak kebelakangan ini ialah kemunculan banyak kumpulan independent (indie) yang mengetengahkan lagu-lagu dan lirik-lirik ciptaan mereka sendiri.

Sama ada mereka itu kumpulan baru atau lama, tetapi boleh dikatakan lebih 90 peratus daripada karya-karya yang ditampilkan menerusi album atau single kumpulan-kumpulan terbabit merupakan karya ciptaan masing-masing.

Bagaimanapun setiap penyanyi, pemuzik dan komposer yang terbabit dalam perkembangan sihat itu masih boleh mempertingkatkan lagi mutu lagu-lagu serta lirik-lirik ciptaan mereka.

Ia bagi memastikan supaya karya-karya mereka itu bukan sahaja akan mencapai tahap kreativiti dan mutu yang tinggi, sebaliknya juga mampu memberi manfaat kepada para peminat yang menghayatinya kelak.

Daripada segi lirik contohnya, kebanyakan lirik yang ditampilkan belum memperlihatkan kematangan daripada mesej atau isu yang diketengahkan di mana ia masih stereotaip dan lebih berkisar tentang kisah cinta.

Para penulis lirik harus membuat anjakan dengan cuba menyelongkar sebanyak mungkin topik atau isu berbeza-beza supaya ia dapat memberi penghayatan daripada pelbagai dimensi buat para peminat muzik di negara ini.

Tidak dinafikan kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Estranged misalnya, tampil dengan lagu-lagu dan lirik-lirik ciptaan sendiri ataupun yang disumbangkan oleh rakan-rakan di sekeliling mereka.

Sayangnya, daripada segi tema, mesej serta kreativiti dalam lirik lagu-lagu mereka seolah-olah sama seperti artis-artis pada zaman-zaman sebelumnya daripada segi bahasa, tema dan mesej yang cuba diutarakan.

Bahasa yang cuba diketengahkan bukan sahaja mudah dan ringkas, tetapi ia juga tidak banyak mengandungi maksud-maksud tertentu yang tinggi nilai pemikiran, seni dan budayanya yang tersendiri.

Sepatutnya, sebagai kumpulan generasi muda, kumpulan-kumpulan indie yang ada dalam industri muzik kita menyalurkan lirik-lirik yang puitis, kreatif dan boleh membuka minda para peminat mereka.

Ini kerana, hubungan dan peranan mereka dengan para peminat yang sebaya lebih memudahkan segala elemen yang positif itu disalurkan dengan cepat dan berkesan.

Peranan

Adalah sesuatu yang merugikan jika kumpulan-kumpulan muda yang ada sekarang ini tidak dapat memainkan peranan itu kerana lebih berorientasikan keuntungan dan populariti murahan semata-mata.

Selama ini, tidak ramai penulis lirik kita yang mencuba atau mengutamakan lirik-lirik lagu yang menjurus kepada masalah sosial, kritikan masyarakat dan sebagainya.

Sebabnya, lirik-lirik yang ditulis sedikit sebanyak boleh menggambarkan tahap mentaliti, pemikiran dan matlamat si penulisnya yang menjadikan bidang ini bukan setakat bahan hiburan semata-mata.

Malah, lirik-lirik yang kreatif dan bermutu tinggi juga boleh dijadikan unsur pendidikan, nasihat dan membezakan antara seseorang penyanyi itu dengan penyanyi yang lain.

Kita kehilangan seorang penulis lirik hebat apabila Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis yang terkenal dengan karya-karyanya yang melangkaui trend semasa telah meninggal dunia pada tahun lalu.

Kreativiti

Daya kreativiti, gaya bahasa dan mesej yang cuba dilampiaskan oleh Allahyarham Loloq dalam lirik-lirik nukilan beliau sepatutnya dicontohi oleh para penulis lirik kita yang lain terutamanya generasi muda.

Loloq bukan setakat bijak mencetuskan lirik-lirik bertemakan percintaan, tetapi beliau juga turut menyentuh topik-topik lain termasuklah soal kerohanian, budaya Melayu dan isu-isu alam sejagat.

Bagi mencipta lirik-lirik yang bermutu, ruang skop dan nilai pemikirannya, tentu sahaja ia menagih para penulisnya supaya lebih banyak membaca, melakukan kajian serta peka dengan persekitaran mereka.

Jika perkara sebaliknya berlaku, secara tidak langsung ia mungkin menggambarkan bahawa penulis lirik kita golongan yang malas berfikir, kurang ilmu pengetahuan dan tidak peka dengan keadaan semasa.

Perlu diingat bahawa penulis lirik merupakan salah satu ejen atau trend setter dalam masyarakat selain media massa bagi menyalurkan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Dalam senario ini, ia juga menagih pengamatan, eksperimentasi serta pemerahan idea yang tinggi di kalangan komposer kita supaya lagu-lagu yang dihasilkan lain daripada lain serta mampu bertahan lama.

Percayalah, mana-mana penyanyi atau pemuzik yang tampil dengan lagu-lagu serta lirik-lirik yang tersendiri, mereka lebih mudah diingati oleh para peminat serta boleh pergi lebih jauh dalam bidang tersebut.

Demi melihat lebih banyak penghasilan lagu-lagu dan lirik-lirik yang kreatif, bermutu dan mempunyai nilai pemikiran yang tinggi, para pengkarya yang terbabit dalam bidang ini haruslah diberi galakan serta bantuan secukupnya.

Sebagai contoh, dengan mengadakan Kem Muzik yang pernah dianjurkan oleh pemain dram, Zahid Ahmad di Hulu Langat, Selangor, pada tahun lepas sebagai salah satu alternatif bagi melahirkan pelapis karyawan muzik yang berkualiti dan berbakat besar pada masa depan.

Usaha seperti itu sepatutnya diperbanyakkan dan dibantu oleh semua pihak termasuklah kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan menyediakan bantuan serta tenaga pengajar bagi mencapai hasrat murni tersebut.

Pendekatan itu amat penting supaya ia dapat berjalan seiring dengan perkembangan positif yang sedang berlaku dalam industri muzik tempatan sejak akhir-akhir ini.

Tanpa adanya anjakan daripada segi lirik yang lebih luas skop dan nilai-nilai di sebaliknya, serta lagu-lagu yang tersendiri gubahannya, maka karyawan muzik kita bolehlah dianggap belum benar-benar kreatif!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: