Sunday, May 3, 2009

Amber Chia kontroversi dan fotogenik




MEMULAKAN karier selepas memenangi pertandingan Pencarian Model Guess Antarabangsa pada tahun 2004, Amber Chia atau nama sebenarnya Chia Lee Peng mula melakar nama di serata Asia terutamanya Taiwan, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.

Di sebalik keunikan namanya, ia mempunyai kisah yang tidak dapat dilupakan Amber. Kali pertama dia membuat peragaan, dia mengenakan loket amber yang besar.

Ketika itu seseorang bertanyakan namanya yang mudah diingati dan tanpa berlengah, dia menyebut Amber Chia Lee Peng. Ternyata nama itu memberi kesan besar dan menyinari hidupnya.

Berpegang kepada kesungguhan dan keyakinan, supermodel ini melalui kehidupan yang sukar bersama keluarganya sejak dia kecil lagi.

Amber pernah menetap bersama keluarga angkat untuk membantu dia membiayai perbelanjaan bersekolah sebaik sahaja dia berpindah ke Tawau, Sabah.

Dalam masa yang sama, dia terpaksa membuat kerja sambilan sebagai juru wang di sebuah pasar raya di sana.

Itu kisah kanak-kanak dan remajanya tetapi kini dia berjaya membuktikan dia mampu mengubah masa depan dan keluarganya.

* Fotogenik

Amber yang memiliki wajah fotogenik ternyata memukau dengan pesona gaya tersendiri dalam bidang peragaan.

Berbekalkan ketinggian, tubuh badan yang cantik serta berbibir seksi ala Angelina Jolie yang memikat ini, Amber lahir dengan keterampilan model dengan gaya tersendiri.

* Kontroversi

Di sebalik kejayaannya, timbul juga cerita-cerita yang kurang enak melibatkan gosip dan kontroversi dirinya sejak bergaya seksi.

Mana tidaknya, tiga tahun lalu super model Malaysia ini pernah dilanda kontroversi kerana bergaya seksi untuk majalah Playboy versi Indonesia dan kemudian muncul sebagai gadis muka depan dengan gaya seksi dalam majalah terbitan luar negara.

Gadis kacukan Cina dan Kadazan ini tidak berbogel dalam majalah itu tetapi popularitinya melonjak naik di kedua-dua negara, malah turut menjadi bahan carian utama di kalangan pengguna Internet serantau.

Apa yang perlu dicontohi selebriti lain, sikap Amber yang tidak melarikan diri daripada media dan sanggup menjawab persoalan yang melibatkan gaya seksinya itu.

Baginya, kontroversi sedemikian tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya.

* Lakonan

Selain peragaan, Amber juga aktif terlibat dalam bidang lakonan khususnya dalam drama dan filem Cina ini.

Dia mengakui, dia masih mentah dalam bidang lakonan dan sebab itulah dia ke New York selama tiga bulan untuk mendalami ilmu lakonan di New York Film School.

Terbaru, dia akan membintangi filem Melayu berjudul Jalang dengan melakonkan watak utama sebagai gadis biasa yang bekerja di pejabat tetapi malamnya bertukar watak dengan suka berseronok.

Bercerita tentang cabaran dalam bidang peragaan, dia sanggup mengharungi kesusahan kerana bidang inilah cinta pertamanya.

Pada tahun pertama bergelar model, jalan yang terpaksa dilalui sangat susah.

“Namun, ia tidak mematahkan semangat saya. Belajar daripada pengalaman memudahkan saya membina kerjaya. Apa yang penting, sikap rajin perlu ada. Bahkan benda yang paling sukar dalam bidang ini ialah bermesyuarat dan bertemu dengan orang yang berlainan bidang. Namun, saya masih suka memulakan perkenalan baru,” jelasnya.

* Keyakinan

Menurut Amber, dia sangat ghairah atau ekstrem tentang apa yang saya lakukan terutama perkara yang sangat saya gemar.

“Namun sejak akhir-akhir ini, saya berjumpa dengan pelbagai orang, membuat kebajikan, menjadi idola dan sebagainya yang menjadikan saya masih kuat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Sedikit rahsia yang ingin saya kongsi ialah keyakinan diri adalah penting untuk anda melangkah ke hadapan. Kalau anda berasa yakin, teruskan langkah yang ingin dilakukan,” ujarnya.

Ditanya tentang prinsip sebagai seorang model, Amber mengakui bidang ini banyak terikat dengan stereotaip tetapi dia tidak boleh bergantung kepada keadaan tersebut.

Sebenarnya, ramai yang tidak mengetahui tentang dirinya yang dibesarkan dan didik dengan budaya ketimuran.

“Saya suka menghabiskan masa bersama keluarga dan berada di rumah jika saya mempunyai masa. Saya sebenarnya malu dan cuba mengelakkan majlis keramaian yang tidak penting dan sudah pasti membenci dadah. Disebabkan itu juga saya berpegang kepada prinsip agar tidak mengambil gambar bogel sama ada cetak atau pun di layar televisyen,” jelasnya.

* Pentingkan kecantikan

Menyentuh tentang penjagaan kecantikan dirinya, Amber akan membasuh rambut dan membersihkan kulit wajah sebelum dia tidur.

“Perkara inilah yang malas saya lakukan. Tetapi sebagai model, saya perlu melakukannya. Diet yang sihat juga perlu untuk memiliki kecantikan yang sempurna. Sebagai wanita, saya memastikan penampilan perlu kemas apabila berada di khalayak. Paling penting, berasa yakin dan selesa. Apabila ada keyakinan, kecantikan akan ada pada keseluruhan diri anda.

Malah, saya perlu memilih produk yang benar-benar sesuai dengan saya. salah satu produk yang saya gemar ialah Estée Lauder,” katanya yang menerima anugerah FHM 100 The Most Wanted Women in the World 2008.

Amber yang akan menjadi juri untuk kempen mencari wajah baru untuk Estée Lauder tahun 2009 cukup berbangga kerana menjadi salah seorang juri dalam pencarian ini.

Sementera itu, kempen ini memberi peluang kepada mereka yang ingin menjadi model tidak kira mengira usia.

Pencarian bermula 4 Mei 2009 dengan Dream Team Estée Lauder menjelajahi lapan destinasi melalui enam negeri dengan harapan dapat bertemu dengan dua wanita Malaysia yang berupaya mewakili ciri Estée Lauder iaitu wanita anggun, moden dan penuh keyakinan. Kepada yang berjaya, jumlah wang hadiah bernilai RM150,000 dan peluang menjadi terkenal menanti orang ramai. Peserta separuh akhir daripada setiap lokasi akan dipilih untuk bersaing menerusi undian secara online untuk mendapat tempat di peringkat akhir yang akan diadakan di Concourse, Suria KLCC, pada 13 Julai 2009.

Para pengadil akan memilih pemenang bagi setiap kategori berdasarkan cara peserta berjalan, personaliti dan gambar potret mereka. Selain Amber, antara juri yang terlibat ialah Pengurus Besar Penjenamaan Estée Lauder, Katrina Liew, pengasas Andrews Models, Adrew Tan, pengacara televisyen dan model popular, Lynn Lim, pereka fesyen terkenal yang mencipta jenama Eclipse, Sonny San dan pengasas Miko Hair Studio & Academy , Miko.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: