Wednesday, May 6, 2009

Akhil Hayy Terpikat sikap Waheeda





Akhil Hayy penuh puji-pujian apabila bercakap mengenai wanita bertudung

WAHEEDA wanita yang istimewa dan kebijaksanaannya menjaga keperibadian sebagai seorang wanita Islam memikat hati pendakwah bebas bernama Akhil Hayy untuk menyuntingnya menjadi suri dalam hidupnya.

Jangan terkejut kerana ia hanya terjadi dalam program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang menemui penonton di Astro Oasis setiap Rabu jam 7.30 malam.

Hakikatnya dalam dunia realiti, pasangan ini masih lagi menepis gosip yang mendakwa mereka sudah berkahwin. Berbuih mulut Waheeda dan Akhil membuat penafian namun hingga kini status mereka masih lagi dipertikaikan.

"Saya ingin menjelaskan Waheeda adalah isteri saya tetapi di dalam program Cafe Akhil Hayy yang bernama Hani Al Zahra," kata Akhil yang seolah-olah cuba bermain dengan perasaan media ketika masing-masing khusyuk menantikan pendedahan yang dikatakan mahu dibuat pendakwah itu pada sidang media program sebanyak 13 episod.

Bagaimanapun harapan kami punah apabila mereka hanya bergelar suami isteri di kaca televisyen saja bukan seperti digembar-gemburkan. Mengakui muak dengan tuduhan yang masih belum mempunyai tanda berhenti, Akhil menganggap perkara itu sebagai cabaran untuk berdakwah.



"Allah melaknat orang yang membangkitkan fitnah walaupun ketika sedang tidur. Saya pun tidak tahu kenapa tiba-tiba saja benda ini datang seperti tsunami.

"Mungkin inilah cabaran perjalanan dakwah saya. Nabi pun difitnah apatah lagi saya. Baginda melalui perjalanan yang lebih teruk tetapi masih gigih meneruskan dakwah. Saya hanyalah manusia biasa, bagi saya tidak ada orang yang sempurna dalam dunia ini.

"Ke mana saya pergi, isu ini sering ditanyakan. Sebagai pendakwah, setiap langkah yang saya ambil akan diperhatikan. Walaupun kesalahan itu kecil, orang nampak. Jadi saya hanya mampu mengucapkan alhamdulillah," kata Akhil.

Meski hebat dikecam, Akhil dan Waheeda ternyata berani bermain dengan api. Semakin hebat digosipkan, semakin rancak pasangan ini tampil berdua dan tambah berani lagi apabila mereka membawakan watak suami isteri seakan ingin menghangatkan kembali gosip yang hampir reda.

Akhil bagaimanapun menjelaskan, dia mengambil Waheeda untuk beraksi di sampingnya dalam program itu kerana persepsi dalam berdakwah yang dimiliki wanita berusia 30 tahun itu.

"Ramai selebriti yang bertudung tetapi orang yang memiliki ciri-ciri seperti Waheeda boleh dibilang dengan jari. Dia bukan setakat bertudung tetapi tahu menjaga apa yang perlu dijaga.

"Disebabkan itu saya tertarik untuk mengundangnya sama-sama memeriahkan program Cafe Akhil Hayy ini. Saya tiada masalah jika timbul lagi sebarang spekulasi, orang boleh bercakap apa juga," katanya lagi.

Bagi Waheeda pula, mereka tidak perlu bersembunyi hanya untuk memuaskan hati orang. Lebih banyak orang berkata mengenai hubungan mereka berdua, lebih rancak mereka tampil berdua.

Penyanyi, pelakon dan kini bergelar pendakwah itu hairan kenapa gosip hubungan mereka ligat didedahkan sedangkan banyak lagi perkara boleh dijadikan isu seperti kerosakan akhlak artis tetapi perkara itu tidak pula diperbesarkan.

"Perjalanan orang yang cuba untuk berdakwah di atas dunia ini tidak pernah senang. Kenapa artis berkelakuan tidak senonoh yang melakukan maksiat dan zina secara terang-terangan tidak didedahkan tetapi kisah kami berdua pula terlalu diberi perhatian.

"Orang yang kononnya mendakwa kami sudah berkahwin cuba menjatuhkan kami. Jangan tak tahu dunia nasyid pun banyak hasad dengki," kata Waheeda.

Ikon eksklusif Astro Oasis

KURANG selesa digelar ikon, Akhil lebih senang jika dirinya digelar sebagai 'role-model' saja. Kata Akhil, dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai ustaz tetapi mungkin disebabkan keaktifannya berdakwah serta kebolehannya mengaji menyebabkan dia digelar ustaz.

"Gelaran yang diberikan Astro Oasis itu sebenarnya satu tanggungjawab besar. Namun saya lebih suka jika digelar role-model. Mungkin Astro Oasis memilih saya kerana nampak unsur dakwah yang saya bawakan untuk golongan remaja.

"Saya juga tidak minta dipanggil ustaz, namun bersyukur orang panggil begitu kerana dapat menjadi cermin pada diri sendiri," katanya.

Selain Akhil Hayy dan Waheeda, Cafe Akhil Hayy turut memperkenalkan pendatang baru Mimi Haris serta bekas pelajar Akademi Fantasia 5, Afiq. Sebagai kelainan, penggambaran program ini tidak hanya tertumpu di sebuah kafe tetapi turut melakukan penggambaran di luar.

Program ini juga bakal mengundang artis jemputan setiap minggu bagi berkongsi cerita dan pengalaman mereka antaranya Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Aziz Sattar, Azmil Mustafa, Ustaz Radhi bekas vokalis kumpulan Melissa dan ramai lagi.

'Saya lempar batu, dia baling madu'

BERIKUT adalah sedutan kenyataan Waheeda kepada wartawan Hip, Farihad Shalla Mahmud dan media lain ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Nana Tanjung pada Mac lalu:

"SEHINGGA saat ini, terlalu banyak rasanya saya berkorban demi orang lain. Bukan saja untuk Akhil tetapi juga untuk mereka yang pernah rapat dengan saya. Mungkin sebab saya sukar untuk meluahkan, ia makan dalam.

"Lagipun, sejak kebelakangan ini, saya sering dituduh macam-macam. Saya perampas suami orang, sering bertukar teman lelaki. Ditambah pula cerita perkahwinan saya dengan Akhil, hal seperti inilah yang membuatkan saya sakit.

"Saya harap benda ini tidak berlarutan dan tidak sampai saya hilang sabar dan membuka segala rahsia yang tersimpan sehingga memalukan mereka yang berkenaan," luah Waheeda sambil mengesat air mata.

Biarpun laju saja lidahnya menceritakan perasaan yang dialaminya itu, namun seboleh mungkin Waheeda cuba merahsiakan gelodak jiwa yang dialaminya ketika ini. Percubaan untuk mendasari hati wanita bertudung ini nampaknya sia-sia kerana dia begitu berhati-hati berbicara terutama apabila membabitkan lelaki yang begitu sinonim dengannya ketika ini.

"Saya tidak berkahwin dengannya dan tidak juga menjalinkan ikatan cinta. Tapi saya akui saya amat menyukainya. Bagi saya dia lelaki yang baik kerana kalau saya marah-marah dia pun, dia tidak pernah lawan. Umpama kalau saya lempar batu, dia lempar madu," ujar Waheeda berkias.

Walaupun gosipnya dengan Akhil masih lagi rancak diperkatakan orang namun menurut Waheeda, itu bukanlah penghalang untuk dia mengasingkan diri dengan lelaki itu.

"Kami ada berjumpa dan sering keluar bersama, lepak sama. tengok wayang. Lagipun kami keluar di khalayak ramai. Buat apa nak korbankan perasaan sendiri semata-mata takut dengan pandangan negatif orang. Kalau kita tak buat salah, buat apa nak takut," tegasnya sambil memberitahu hanya mereka yang rapat dengannya termasuk ahli keluarga masing-masing mengetahui kisah sebenar.

Diumpan dengan pertanyaan apakah berkemungkinan dia akan merahsiakan perkahwinannya andai benar jodohnya tersurat dengan Akhil, Waheeda berkata dia tidak perlu berbuat demikian.

"Walaupun saya tahu yang saya akan dikritik hebat, tapi saya tidak akan merahsiakannya. Lagipun keluarga saya bukanlah jenis yang suka merahsiakan perkahwinan anak mereka," tutur Waheeda.

Ditanya bagaimanakah reaksi isteri Akhil apabila mendengar gosip hangat itu, Waheeda berkata setakat ini mereka tidak pernah bersemuka semata-mata untuk membicarakan perihal itu.

"Tapi saya akui saya pernah berkunjung ke rumahnya pada hari raya dan pernah juga isterinya itu cuba menjodohkan adiknya dengan saya," cerita Waheeda sambil tersenyum.

1 comment:

  1. waheda jgn tlampau rapay dgn akhil..bahaya! xkan parents u x ajar jgn rapat dgn suami org..org dh kawin ni mulut dia manis....dh ada pengalaman pandai lah merayu2 pompuan..u yg anak dara tu jaga maruah skit oki!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: