PERCUBAANNYA untuk bergelar penyanyi nampaknya dipandang sinis banyak pihak. Malah, gaya nyanyiannya menerusi single pertamanya berjudul Aku Tak Percaya Cinta sering menjadi bahan ajukan. Dan itulah sambutan awal yang diterima pelakon terkenal Liyana Jasmay kala kakinya melangkah di bidang seni suara.
Sejak singlenya itu berkumandang di udara, ramai yang mempertikaikan kredibiliti Liyana untuk bergelar penyanyi sehingga ada yang menyarankan supaya Liyana melupakan saja hasratnya itu dan terus menumpukan perhatian terhadap dunia lakonan. Memang kejam bunyinya namun bagi si empunya diri, cakap-cakap nakal itu sedikitpun tidak menjadi kudis buatnya.
Bukan cuba bersikap yakin diri dia tidak boleh menyanyi namun sebagai artis, menurut Liyana apa saja komen yang diterima semuanya diambil sebagai kritikan yang positif dan dia tidak akan sesekali mengambil hati walaupun ada di antara komen itu cukup pahit untuk ditelan. Yang penting baginya, dia akan terus berusaha menempatkan dirinya di persada seni tanah air dengan muzik dan gaya yang tersendiri.
Hip: Setakat ini macam mana dengan sambutan terhadap single pertama Liyana berjudul Aku Tak Percaya Cinta?
Liyana: Alhamdulillah, penerimaan peminat terhadap lagu ini cukup memberangsangkan. Mereka suka lagu ini dan banyak juga stesen radio memutarkan lagu ini dan ini sudah cukup menjadi khabar gembira. Insya-Allah selepas ini single kedua bakal menyusul tidak lama lagi. Cuma peminat ada juga bertanya bila album saya akan keluar. Apa yang saya boleh katakan, album mini hanya akan berada di pasaran selepas semua single saya dikeluarkan. Album ini diterbitkan oleh syarikat kakak saya iaitu Regal-Way Marketing dan edaran Metadome. Bila album ini akan dipasarkan? Saya sendiri pun tak pasti tapi saya harap peminat semua dapat bersabar.
Hip: Tapi ada juga komen yang mengatakan vokal Liyana sekadar boleh tahan saja?
Liyana: Itu memang saya akui. Vokal saya tidaklah sehebat penyanyi lain tapi saya sedang berusaha untuk memperbaikinya. Sejak Januari lalu saya mendapat bimbingan Cikgu Syafi untuk mengasah vokal saya. Asal saya dalam bidang seni ini bukanlah sebagai penyanyi sebaliknya sebagai pelakon. Jadi memang pendedahan saya dalam bidang nyanyian berkurangan. Tapi itu tidak bermakna saya ambil mudah. Selain latihan yang diberikan, kekerapan saya menyanyi dalam mana-mana persembahan sedikit sebanyak dapat memperbaiki mutu vokal saya dari semasa ke semasa. Pun begitu, walaupun saya sedar vokal saya berada di tahap sederhana dan berbunyi keanak-anakan namun itu tidak bermakna saya hanya miming ketika membuat persembahan. Walau apapun, saya lebih senang menyanyi secara live sebab kalau miming, takut tak cukup nafas dan kantoi, akhirnya nanti akan dikutuk peminat.
Hip: Liyana berada dalam keadaan yang selesa dalam bidang lakonan. Kenapa pula sibuk-sibuk hendak jadi penyanyi?
Liyana: Terus terang, saya memang minat untuk menjadi penyanyi. Ada sebab mengapa saya menceburkan diri dalam bidang seni yang satu ini selepas berlakon. Apabila saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang nyanyian, saya sebenarnya ada matlamat yang lebih jauh. Bukan sekadar untuk suka-suka atau glamor saja. Mungkin selepas ini saya bercadang untuk berlakon dalam teater muzikal. Jadi bila saya ada bakat dalam nyanyian maka secara tidak langsung peluang untuk saya berlakon dalam teater muzikal akan terbuka luas. Selain itu, dengan adanya kebolehan menyanyi ini, saya juga dapat merakamkan album runut bunyi lakonan saya atau tidak. Bukankah itu satu peluang yang hebat untuk saya memperkembangkan lagi kerjaya seni saya.
Hip: Bagaimana pula dengan imej serta gaya Liyana yang menyamai artis luar negara? Komen sikit.
Liyana: Sebelum saya mengambil keputusan untuk menyanyi, saya terlebih dulu memikirkan konsep bagaimana yang sesuai dengan saya. Tapi secara jujurnya, saya menyenangi artis seperti Lindsay Lohan, Hillary Duff, Miley Cyrus dan saya memang suka dengan muzik mereka. Ia amat bersesuaian dengan suara dan usia saya yang masih remaja. Jadi apabila susunan muzik lagu Aku Tak Percaya Cinta dibuat sebegitu rupa, saya memang suka sangat kerana ia menepati cita rasa saya. Mengenai imej, rasanya imej punk rock seperti itu memang sesuai buat saya dan lagipun belum ada artis remaja wanita yang berimej sedemikian. Jadi apa salahnya jika saya mencipta kelainan dalam industri ini.
Hip: Kalau begitu berapa lama masa yang diperlukan untuk membuktikan yang Liyana cukup serius dalam bidang nyanyian.
Liyana: Berilah saya tempoh setahun dua untuk saya memperbaiki kelemahan serta menjadi artis yang matang. Mungkin pada waktu itu, vokal saya sudah berubah dan saya harap waktu itu apa yang saya cita-citakan akan tercapai. Dan apa yang saya lakukan ini bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Kalau boleh selepas ini biarlah kerjaya nyanyian dan lakonan saya berjalan seiring.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: