Tuesday, May 26, 2009

Adik Manja kembali geletek hati

SEMEMANGNYA filem Adik Manja yang diterbitkan Merdeka Film Productions mempunyai kedudukan istimewa dalam jiwa penggemar filem Melayu. Walaupun hampir tiga dekad berlalu, namun masih ramai peminat yang mengingati pelbagai babak kelakar, yang dimuatkan dalam karya arahan Othman Hafsham itu.

Siapa yang tidak geli hati melihat gelagat Cikgu Adibah yang dilakonkan Adibah Amin? Begitu juga kenakalan pelajar perempuan di sebuah sekolah yang diterajui Pengetua lakonan Noraini Hashim?

Adik Manja muncul antara filem paling popular pernah diterbitkan di negara ini, dengan kutipan hasil jualan tiketnya mencecah RM3.5 juta. Ketika itu, harga tiket hanyalah sekitar RM2 dan jumlah skrin pula tidak sebanyak hari ini. Pungutan yang hebat itu banyak disokong peminat yang menontonnya berulang kali.

Baru-baru ini, selepas 29 tahun filem Adik Manja menemui penonton di panggung, pelakon asalnya, Dharma Harun Al Rashid mengumumkan pembikinan filem sambungannya, Adik Manja Returns. Bakal diarah dan dilakonkan sendiri olehnya, filem terbabit akan diterbitkan syarikat Adik Manja Sdn Bhd, yang dikongsi Dharma bersama beberapa rakan pelabur.

Selain dirinya, turut membintangi filem terbabit ialah Scha, Kenchana Devi, Jihan (Raja Lawak), Faezah Elai, Fida dan Rozita Che Wan.

Masih mengekalkan kisah kenakalan sekumpulan remaja perempuan, kali ini Cik Azmi muncul semula untuk membentuk peribadi mulia pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi.

"Bagaimanapun, bagi membezakan filem asal dengan Adik Manja Returns, filem terbaru ini mengetengahkan kerenah pelajar perempuan di sebuah kolej, bukan lagi sekolah menengah. Pelajarnya juga lebih kreatif dan inovatif. Selain kenakalan mereka di tempat belajar dan asrama, mereka juga terbabit dalam aktiviti luar seperti lumba kereta, tarian hip hop dan shuffle," cerita Dharma ketika ditemui selepas pelancaran filem itu di Saloma Bistro.

Majlis pelancaran filem terbabit disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Menurut Dharma, skrip filem berkenaan sebenarnya mula ditulis pada 2006 lagi. Skrip terbabit mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan. Begitupun, hasrat menjadikan skrip itu sebuah filem hanya mampu dicapai pada tahun ini.

Kata Dharma, Adik Manja Returns yang menelan belanja sekitar RM1.5 juta bakal menjalani penggambaran selama 45 hari, bermula awal Julai nanti. Sebanyak 80 peratus babak adalah membabitkan lokasi di kolej yang berkemungkinan besar dilakukan penggambarannya di Universiti Multimedia, Cyberjaya. Manakala rakaman selebihnya dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

Pelakon berusia 52 tahun yang muncul dalam kira-kira 10 filem tempatan ini berkata, idea menghasilkan semula filem berkenaan timbul apabila dia menyedari kekuatan jenama Adik Manja itu sendiri. Dia juga tidak putus-putus dikaitkan dengan filem terbabit, walaupun sudah tiga dekad berlalu sejak memikul tanggungjawab sebagai Cikgu Azmi.

"Bagi saya, orang ramai hendak menonton filem ini kerana tajuknya, di samping watak pelajar perempuan nakal yang bakal dimuatkan di dalamnya. Filem ini bukan menaruh harapan pada nama pelakon, tetapi jenama Adik Manja itu sendiri.

"Saya juga menghasilkannya dengan tujuan perniagaan. Sebagai peniaga, selain berjaya menghiburkan penonton, sudah tentulah saya mengharapkan pulangan yang baik daripada filem ini apabila ia ditayangkan nanti," ujar Dharma yang berharap dapat menggunakan semula khidmat pelakon Adibah Amin bagi filem terbabit.

Saat Adik Manja mengecap kegemilangannya dulu, filem itu cemerlang pada Festival Filem Malaysia pertama (1980) dengan tiga trofi, iaitu Filem Komedi Terbaik, Skrip Terbaik (untuk Othman) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang dimenangi Adibah. Pada Festival Filem Asia Pasifik ke-26, di Jakarta pula, filem itu membawa pulang trofi Filem Komedi Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Shasha).

"Apabila ditanya fasal anugerah, saya akan cuba untuk menghasilkan filem ini dengan cara terbaik. Jadi, terpulanglah kepada juri untuk menentukannya nanti. Saya hanya berserah dalam perkara ini," kata Dharma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: