Dikenali sebagai Astro Citra yang mengandungi tiga saluran berasingan
STESEN satelit Astro memperkenalkan pakej baru Mustika yang bakal memulakan siaran secara rasminya 1 Jun ini. Mustika memuatkan tiga saluran baru Astro Citra, Warna dan B4U.
Astro Citra bakal bersiaran menerusi saluran 131 adalah saluran HBO versi Malaysia menyiarkan filem blockbuster tempatan dan Asia, siri epik Melayu dan filem kegemaran Melayu sepanjang zaman.
Astro Prima pula menjadi hab komedi yang bakal menyiarkan program komedi kegemaran Melayu sepanjang zaman, sitkom terbitan tempatan yang baru, drama komedi, sketsa dan persembahan komedi solo itu bakal bersiaran di saluran 132.
Sementara bagi peminat filem Hindi pula, saluran Bollywood For You (B4U) akan menyiarkan filem Top 10 Bollywood, selain temu ramah selebriti, video muzik dan rancangan menarik lain. Semua rancangan menerusi saluran B4U akan disertakan dengan sari kata bahasa Melayu bagi menarik lebih ramai penonton. Ketiga-tiga pakej ini ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu RM 12.95 sebulan.
Bagi mengetahui isi kandungan ketiga-tiga saluran itu, pelanggan Astro boleh menyaksikan rancangan pengenalannya menerusi saluran 130 yang mula disiarkan Rabu lalu.
Timbalan Presiden, Program Bahasa Melayu, Khairul Anwar Salleh berkata, Sebelum tiga saluran itu diwujudkan, Astro melakukan kajian yang panjang. Kewujudan Citra, Warna dan B4U menurut Khairul Anwar bertepatan dengan masanya.
“Astro melakukan banyak kajian bagi mempertingkatkan lagi mutu program kami, menerusi kajian itu kami dapati program bahasa Melayu mempunyai permintaan yang tinggi. Dari hasil kajian itu juga kami menganalisis program bagaimana yang sesuai dengan selera penonton Melayu dan mendapati tiga program ini menepati cita rasa pelanggan kami,” katanya pada sidang media sejurus selepas pelancaran pakej Mustika, di ruang legar, pusat membeli belah, di ibu negara.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah.
Zainir yang turut ditemubual wakil media berkata, kewujudan Mustika memperlihatkan inisiatif Astro dalam memberikan pelbagai pilihan kepada pelanggannya.
Beliau yakin Mustika bakal mempunyai pengikutnya sendiri seperti kejayaan saluran Astro Ceria yang mendapat sokongan padu setelah diperkenalkan beberapa tahun lalu.
“Kandungan yang bakal dimuatkan dalam tiga saluran terbaru kami tentunya berbeza daripada saluran kami yang lain. Contohnya drama yang bakal disiarkan di saluran Citra adalah drama yang dihasilkan dengan teknik penggambaran moden menggunakan peralatan canggih sekali gus membezakannya dengan penerbitan drama biasa.
“Kami juga bakal bekerja dengan beberapa pengarah terkenal seperti Amir Muhamad, Mamat Khalid dan beberapa pengarah lagi yang akan menyumbang karya mereka untuk saluran Citra.
“Kisah yang akan dipaparkan di dalam Citra mengandungi elemen pendidikan, kebudayaan dan juga sejarah yang mencerminkan nilai-nilai positif. Kami menjanjikan banyak program baru dan setakat ini sebanyak sembilan buah program baru akan akan dihidangkan untuk penonton Warna sepanjang Jun nanti,” katanya.
Mengulas adakah pelanggan Mustika bakal mengalami situasi yang kerap dihadapi iaitu ulang tayang programnya berulang kali. Zainir berkata, setiap tahun pelanggan Astro bertambah antara 200,000 hingga 250,000 pelanggan setahun.
Ia bermakna Astro menerima pelanggan baru hampir setiap hari yang belum pernah menyaksikan program di Astro memandangkan ia tidak disiarkan di mana stesen televisyen lain. Justeru, ulang tayangan program katanya, adalah khusus untuk pelanggan baru.
Pada pelancaran Mustika, Astro memperkenalkan empat wajah yang mewakili ketiga-tiga saluran baru. Farid Kamil dan Lisa Surihani dilantik menjadi wajah Citra, pelawak dan pelakon Afdlin Shauki bagi saluran Warna dan VJ terkenal dari Bollywood, Kushboo Grewl pula saluran B4U.
Afdlin berkata, kewujudan Warna secara tidak langsung membela nasib pelawak yang selama ini dianggap hanya sebagai tempelan semata-mata.
“Selama ini komedi tidak pernah dianggap sebagai satu genre tetapi lebih sebagai tempelan. Jika kita melihat kepada pasaran sekarang, komedi mempunyai peminatnya dan saya gembira kerana akhirnya pelawak memiliki tempat untuk memperjuangkan nasib mereka,” kata Afdlin yang turut mengarahkan dua program untuk saluran itu iaitu Ek Eleh dan Spontan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: