Tuesday, January 10, 2017

Tiga Kali Tukar Nama Bukan Kerana Tiada Tuah - Putra Amaris



Imej terbaharu Amaris atau kini mahu dikenali sebagai Putra Amaris.
KUALA LUMPUR: Pelakon Amran Ismail memberitahu dia menukar nama untuk kali ketiga bukan kerana nama sebelum ini tidak memberi tuah sebaliknya kerana tuntutan kerja.

Muhammad Amran Ismail, 32, atau kini mahu dikenali dengan nama komersilnya Putra Amaris berkata, nama barunya itu diperoleh setelah bekerjasama dengan sebuah produksi drama di Indonesia Oktober lalu.

"Benar, ini adalah kali ketiga saya bertukar nama iaitu dari nama asal, Amran Ismail kepada Amaris (singkatan Amran Ismail) dan seterusnya Putra Amaris.
"Apa yang boleh saya katakan, pertukaran nama ini dilakukan demi tuntutan kerja sebagai anak seni, bukan kerana nama asal tidak memberi tuah atau mencari publisiti murahan.

"Amaris adalah nama pilihan saya untuk mencari sisi komersil selepas lebih 10 tahun di dalam bidang seni sebelum ditukar kepada Putra Amaris oleh sebuah produksi di Indonesia ketika berpeluang bekerjasama dengan mereka hujung tahun lalu atas alasan nama itu lebih segar," katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi nama Amaris hanya berdiri pada satu perkataan berbanding Putra Amaris dua perkataan yang sering kali digunakan sesetengah artis popular di Malaysia.

Nama baru bagi Amran Ismail ialah Putra Amaris.
"Ambil contoh Aaron Aziz, Adi Putra, Pekin Ibrahim dan ramai lagi dimana nama-nama ini lebih sedap disebut apabila berdiri dengan dua perkataan dan saya cuba mengambil langkah yang sama pada nama Amaris menjadi Putra Amaris," katanya.

Ditanya tidakkah perkara ini akan mengelirukan peminat, kata pelakon yang pernah popular menerusi drama Siti Kelembai ini lagi, kekeliruan itu hanya berlaku pada permulaan sahaja.

"Setelah hampir tiga bulan dengan nama baru ini, peminat sudah mula senang menyebutnya dan ianya tidak pernah menjadi masalah buat mereka kerana saya sudah mula membahasakan diri dengan nama itu," ujarnya.

Berkongsi bicara mengenai kerjaya seninya pula, anak kelahiran Felda Ulu Tebrau, Johor ini bersyukur kerana banyak mendapat tawaran berlakon di Brunei dan Indonesia sejak kebelakangan ini.

"Terbaru, saya baru selesai menjalani penggambaran sebuah filem di Indonesia berjudul Mat Jenin Cucu Raden Kabayan di mana filem itu akan turut akan ditayangkan di Malaysia selepas tayangan perdana di Indonesia nanti.

Selain itu, dia turut bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk meneraju watak utama menerusi sebuah drama terbitan A. Aida Production berjudul Inspirasi Ramadhan untuk terbitan TV3.

Sebelum ini Putra Amaris pernah dikenali menerusi drama Bila Musang Berjanggut, Puteri Aurora Beradu , Geng Surau, Bella dan Ponti Anak Remaja dan Patah Sebelah Sayap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: