Saturday, January 7, 2017

Tahun 2017 Kebangkitan Semula Buat To'ki



To'Ki tampil dengan single terbaharu berjudul Bayati selepas 10 tahun menyepikan diri. 
PETALING JAYA: Penyanyi To'ki menganggap kedatangan 2017 sebagai tahun kebangkitannya dalam merancakkan kembali kariernya dalam industri seni.

To'ki atau Mohd Zaki Mansur berkata, walaupun sudah 10 tahun tidak tampil dengan sebarang produk terbaharu namun dia yakin kemunculan semula dia akan diterima baik oleh peminat setianya.

"Saya juga yakin peminat akan menerima baik kehadiran saya kerana kali ini saya datang dengan buah tangan terbaharu untuk peminat.

"Kemunculan ini juga sebagai kebangkitan semula saya dalam bidang seni selepas 10 tahun tidak muncul dengan karya terbaharu.

"Insya-Allah tahun 2017 akan menjadi pertaruhan untuk saya dalam melancarkan semula karier seni yang sudah lama tertangguh," katanya.
To'ki turut memberitahu dia bakal melancarkan single terbaharunya yang berjudul Bayati pada akhir Januari ini.

To'Ki bersama band terbaharunya iaitu To'Ki & The Stars.
Dalam pada itu, To'ki berkata, walaupun landskap industri muzik sudah banyak berubah namun dia tetap akan memartabatkan muzik tradisional dan rock yang cukup sinonim dengannya suatu ketika dahulu.

Malah kata To'ki, single terbaharunya juga mengetengahkan genre berkenaan sekali gus dapat mempromosikan budaya Melayu di kalangan anak muda.

"Buat apa saya hendak ikut trend wahal muzik tradisional Melayu kita cukup hebat untuk diketengahkan kepada pendengar.

"Kebangkitan saya bukan sahaja untuk karier seni saya tetapi untuk memartabatkan muzik tradisional kepada anak muda.

"Saya yakin lagu Bayati dapat diterima baik kerana saya meletakkan semua usaha dan tenaga dalam memastikan lagu berkenaan kena dengan cita rasa pendengar," katanya.

Tambah To'ki, dia juga akan mengenakan pakaian tradisional iaitu baju Melayu lengkap bersampin dan tengkolok ketika mengadakan persembahan bagi menampilkan kelainan.

"Apabila orang melihat saya dalam persalinan baju Melayu lengkap dengan sampin dan tengkolok, saya mahu mereka berasa bangga dengan adat dan budaya kita.

"Ini adalah salah satu sumbangan kecil sebenarnya dalam memartabatkan budaya dan warisan kita" jelasnya yang turut muncul dengan band iaitu To'ki & The Stars.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: