KUANTAN  - Prihatin dengan kebajikan mahasiswa yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi memberi idea kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Universiti Malaysia Pahang  (UMP) menganjurkan program Projek Kongsi Rezeki 2.0.
Projek itu adalah suatu inisiatif dalam menyediakan  juadah makan tengah hari serta makan malam kepada mahasiswa dengan setiap set makanan termasuk air dengan kadar serendah RM1 sahaja.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk  Dr. Yusserie Zainuddin berkata, projek kongsi rezeki yang masuk tahun kedua penganjuran itu  dijalankan bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.
“Projek ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan dijalankan serentak di kedua-dua kampus iaitu di  Gambang dan Pekan.
“Pihak JHEPA sentiasa mengambil berat berkaitan isu-isu yang berkaitan dengan mahasiswa agar mereka dapat memberi tumpuan terhadap peperiksaan dan tidak mengganggu pembelajaran mereka sepanjang pengajian,” katanya pada Program Projek Kongsi Rezeki 2.0, semalam.
Katanya, mahasiswa hanya perlu membayar RM1 dan mempamerkan kad pelajar ketika mengambil makanan dan semua mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian  diploma dan ijazah layak menerima manfaat ini.
Katanya, UMP serius menangani isu kebajikan pelajar dan sentiasa meningkatkan usaha dalam membantu golongan yang memerlukan termasuklah memperkenalkan program  MyGift UMP.
“Program ini juga menyasarkan golongan yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan yang ditahan PTPTN hingga terpaksa mengikat perut untuk menikmati makanan kerana faktor kekurangan sumber kewangan,” katanya.
Sementara itu, bagi Nur Sakinah Tajuddin, 22, dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, biasanya pada hujung semester ini kebanyakan mahasiswa berdepan kekangan kewangan dan pemberian makanan dengan RM1 ini sangat bernilai.