BEIJING - CHINA. Saintis di China berjaya mencetak salur darah menggunakan teknologi cetakan 3D dan menggunakan alat tersebut pada monyet.
Menurut laporan CNN, kejayaan tersebut bakal memberikan harapan kepada lebih 1.8 bilion pesakit kardiovaskular yang berkenaan salur darah dan jantung di seluruh dunia.
Ketua Saintis dan CEO Sichuan Revotek, James Kang mengatakan syarikatnya adalah yang pertama berjaya menggunakan sel yang dihasilkan melalui teknologi cetakan 3D.
Kunci kejayaan diperoleh Sichuan Revotek selepas berjaya mencipta bahan biologikal yang dikenali sebagai bio-ink yang diperbuat daripada sel stem yang dihasilkan melalui tisu lemak monyet.
Sel stem mempunyai kelebihan untuk berkembang menjadi semua jenis sel di dalam badan.
Bio-ink yang telah dipatenkan sebagai 'Biosynsphere' mengandungi sel stem yang boleh berkembang membentuk salur darah yang berfungsi.
Penggunaan sel stem yang diambil dari tisu lemak juga didakwa lebih selamat dari sumber lain seperti embrio, kata James.
Sichuan Revotek menghasilkan pencetak salur darah 3D pertama di dunia pada tahun lepas.