ALOR SETAR - Mengendalikan jentera berat dengan berat melebihi 7 tan dengan 12 biji tayar tidak mudah, apatah lagi dilakukan seorang wanita yang sering dianggap lemah.
Bagaimanapun, pemandu lori, Effa Izahwati Mohd Hatta, 34, tidak menjadikan jantina sebagai halangan untuknya mengendalikan tujuh jenis jentera berat syarikat pengurusan sisa pepejal Enviroment Idaman (E-Idaman).
"Pada peringkat awal kerja pada 2011, saya yang sememangnya memohon jawatan itu hanya boleh membawa lori multipurpose armroll yang membawa muatan sampah dikutip dari rumah ke rumah.
"Sehingga kini, saya mampu membawa semua jentera berat di syarikat, antaranya yang paling berat, iaitu lori CWC (Compactor with Crane) yang memiliki 12 tayar," katanya.
Katanya, dia yang memiliki lesen B2, D, E dan H mampu membawa jentera pembersih jalan, lori kompaktor sampah, lori roll on roll off (RoRo), lori multipurpose armroll dan lori sedut beccal jettar.
Kata Effa, pekerjaannya membawa lori sedemikian sentiasa menjadi perhatian masyarakat setempat, malah ramai terkejut apabila perasan dia membawa jentera itu.
"Dahulunya, saya agak segan apabila orang melihat setiap kali melalui sesuatu kawasan, bagaimanapun sekarang sudah biasa dengan perhatian diberikan mereka," katanya.
Bagaimanapun, kata anak kelahiran Sik itu, dia tidak kisah dan amat menyukai pekerjaannya kerana telah jatuh cinta untuk membawa jentera berat semenjak terjun dalam bidang itu.
Katanya, tugas membawa jentera pembersih jalan misalnya, bukanlah tugas mudah memandangkan dia perlu membawa perlahan lebih kurang 10 kilometer (km)/jam demi memastikan laluan bersih.