PASIR PUTEH - Kewujudan lebih 30 kilang dan kedai keropok di Kampung Pachakan dan kampung sekitarnya di Semerak dekat sini, memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.
Pengusaha keropok, Zulkifli Awang Man, 49, berkata, kilangnya menggunakan pekerja dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, kilang terletak di kampung yang terkenal sebagai pengeluar produk keropok tidak menghadapi masalah mendapatkan pekerja mahir
“Kebanyakan penduduk mahir dalam pembuatan atau pemprosesan keropok kerana industri ini sudah lama bertapak di sini.
“Setiap kilang memerlukan sekurang-kurangnya 10 pekerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang dibantu isterinya, Noor Hashimi Kedah, 43, menghasilkan beberapa produk seperti keropok lekor, keropok losong dan keropok segera.
Menurut Zulkifli, selain menjual terus kepada pelanggan di premis peniagaannya, produk yang dihasilkan dipasarkan ke negeri lain seperti Pahang, Kuala Lumpur, Johor Sabah dan Sarawak.
“Ada juga pemborong datang mengambil sendiri produk mengikut tempahan, apa yang penting kita berusaha mengekalkan keenakannya,” katanya.
Katanya, hasil jualan akan berlipat ganda pada cuti persekolahan atau perayaan.
“Saya berbangga kilang dan keropok ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.
"Jumlah pekerja tidak tetap, kita menggunakan ramai pekerja sekiranya terlalu banyak tempahan,” katanya.
Tambahnya, dua produk utama iaitu Keropok Ikam Cap Ikan Parang dan Keropok Ikan Ikan Emas sentiasa mendapat permintaan tinggi.
“Pekerja mula memahami perjalanan syarikat dan memberikan kerjasama baik kerana mereka sedar selagi syarikat ini berkembang selagi itu mereka dapat bekerja di sini,” katanya.