Wednesday, January 11, 2017

Aiman Tino Bakal Penyeri 'Konsert Gegar Pop Yeh Yeh' Mac Depan



Dari kiri; Aiman Tino, J Sham, Jeffrydin, Maria Bachok, A Rahman Hassan, L Ramlie dan A Rozaini yang akan bergandingan dalam 'Konsert Gegar Pop Yeh Yeh' di Istana Budaya pada 3 hingga 5 Mac 2017.
KUALA LUMPUR:  Penyanyi Aiman Tino antara artis yang akan menyerikan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 hingga 5 Mac depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Datuk AB. Ghaffar A. Tambi berkata, penganjuran konsert ini diadakan bertujuan untuk membangkitkan nostalgia kegemilangan irama pop yeh yeh di kalangan penggemar irama itu selain mendedahkan kepada generasi muda tentang kemahsyuran lagu-lagu di era 60-an suatu ketika dahulu.

"Seramai enam penyanyi terkenal era 60-an iaitu Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramlie, Datuk Jeffrydin, J. Sham, A. Rozaini dan Maria Bachok terlibat secara langsung menjayakan konsert ini.

"Lebih menarik, penyanyi muda Aiman Tino akan turut berkongsi pentas menyampaikan beberapa rangkaian lagu dalam usaha menarik generasi muda untuk lebih mengenali lagu-lagu irama Pop Yeh Yeh," katanya.

Dalam pada itu katanya, konsert berdurasi selama dua jam ini akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya yang diberi nama Agogo Istamuzika.

Otai Pop Yeh Yeh dari kiri; A Rahman Hassan, L Ramlie dan Maria Bachok. 
Menerusi konsert ini juga, setiap penyanyi dikehendaki untuk menyanyikan sekurang-kurangnya tiga buah lagu secara solo selain beberapa lagu duet dalam pembahagian segmen yang akan dimaklumkan pada sesi sidang media kedua nanti.

Sementara itu, penyanyi Maria Bachok turut meluahkan rasa terharunya kerana kesudian Aiman Tino untuk sama-sama terlibat menjayakan konsert ini.

"Ini adalah usaha terbaik dalam menarik golongan muda yang belum kenal dengan keindahan lagu-lagu irama Pop Yeh Yeh.

"Di sini saya berbangga kerana masih ada pelapis daripada generasi baharu yang sebenarnya berbakat menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan baik seperti Aiman Tino," katanya.

Manakala Aiman Tino turut berbangga diberi kepercayaan untuk terlibat menjayakan siri konsert ini.

"Ia satu cabaran buat saya kerana belum pernah menyanyikan lagu irama Pop Yeh Yeh sebelum ini namun saya akan memberi fokus mendalami 'air lagu' tersebut  selepas Anugerah Juara Lagi 31 (AJL31) pada 22 Januari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: