PERSEPSI masyarakat bahawa menderma darah sesuatu yang menakutkan, apatah lagi mendengar cerita orang mengenai jarum cucuk yang besar.
Macam-macam versi orang memperkatakannya dan menokok tambah fakta, walhal individu yang bercerita itu langsung tidak pernah menderma darah !
Berlainan pula dengan Zulkarnain Tubari, 51 ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Johan Setia, di sini, baru-baru ini.
Beliau mula menjadi penderma darah sejak tahun 1985 sehingga sekarang dan orangnya kelihatan tegap dah gagah perkasa serta sihat tubuh badan.
Malah, sehingga temu bual dilakukan, beliau sudah memegang rekod 116 kali menderma darah.
“Saya mula derma darah ketika berusia 19 tahun dan masih remaja. Niat awal hanya suka-suka sahaja dan aktiviti ini bersambung kembali selepas lima tahun.
“Saya hanya aktif semula pada tahun 1990. Masa zaman tu, tak ada orang yang berlumba-lumba siapa paling banyak derma.
“Sejak tahun itulah sampai sekarang saya tak ternah ketinggalan pergi ke hospital untuk ‘dicucuk’ di lengan,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Derma darah awet muda
Bekerja sebagai juruteknik, Zulkarnain berkata, antara khasiat menjadi penderma adalah badan sentiasa sihat dan bebas penyakit.
“Saya dengar-dengar, derma darah ni boleh jadikan kita awet muda...Saya pun umur dah 51 tahun ini.
“Setakat ini Alhamdulillah sihat dan kalau ada sakit pun sikit sangat...Orang kata badan naik apabila jadi penderma tapi kalau tak derma pun berat boleh naik juga...pokok pangkalnya kena jaga makan, itu sahaja,” katanya yang tidak pernah ambil sijil sakit (MC) sejak 2010.
Menurutnya, pemakanan ulam-ulaman seperti pucuk ulam raja, mengkudu dan buah markisa juga antara rahsia tubuhnya sentiasa cergas.
Katanya, setiap enam bulan sekali beliau akan melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan pihak hospital sendiri akan telefon untuk datang menderma darah.
Menceritakan pengalamannya apabila dicucuk jarum, beliau akui agak gementar pada mulanya tapi lama kelamaan dah jadi kebiasaan.
“Saya biasa cucuk lengan kanan dan saya jenis darah B yang banyak orang perlukan.
“Untuk rekod, setahun 13 kali paling banyak saya menderma dan perlu tunggu untuk 10 minggu sekali derma akan datang.
“Tiada pantang cuma sebelum menderma pastikan makan kenyang-kenyang dan perut jangan lapar, nanti pitam,” katanya.
Sasar 200 kali derma darah
Sementara itu, melihat kepada susuk tubuh Zulkarnain, dia akui dirinya pernah terlibat secara aktif dalam sukan bina badan di peringkat negeri.
“Saya pernah muncul juara bina badan negeri Selangor pada tahun 1990 dan 1993 kategori 'welter weight' pada aksi akhir yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Meru.
“Sekarang dah lama tinggalkan sukan tersebut sebab fokus pada kerjaya ketika itu,” imbaunya.
Sebelum mengakhiri temubual, dia juga menyasarkan mencapai sasaran menderma sebanyak 200 kali sebelum usia mencapai 60  tahun.
“Dulu sasar 100  kali tapi bila dah dapat, nak lagi...dan semangat itu pendek kata lain macam.
“Kepuasan yang saya dapat berbeza..jika hendak menderma daripada segi kewangan saya tak mampu tapi melalui cara ini (derma darah) saya anggap derma untuk bantu insan memerlukan.
“Tuhan bagi kita sedikit kelebihan dan saya harus memanfaatkan darah ini kepada orang ramai. Saya puas jadi penderma senyap dan galakkan masyarakat luar sana untuk turut menjadi penderma,” katanya akan terus menyumbang darah selagi tenaga dan kudrat terus utuh.