ASUNCION - PARAGUAY. Pihak berkuasa Paraguay terkejut selepas mendapati sel penjara yang dihuni raja dadah Brazil dilengkapi tiga bilik mewah lengkap dengan perpustakaan, dapur, bilik persidangan dan televisyen plasma.
Jarvis Chimenes Pavao yang dianggap pengedar dadah paling berbahaya di Amerika Selatan menjalani hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan pengubahan wang haram di Penjara Tacumbu di ibu negara Paraguay, Asuncion.
Namun gaya hidup mewah yang dijalani lelaki itu dipenjara hanya terbongkar sehinggalah sebuah bom ditemui di dalam penjara tersebut.
Chimenes Pavao yang dijadual dibebaskan pada tahun depan tetapi menghadapi ekstradisi kembali ke Brazil atas tuduhan dadah, didakwa merancang untuk menggunakan bahan letupan plastik untuk membuat lubang di dinding penjara untuk melarikan diri.
Namun rancangannya memakan diri apabila polis menyerbu penjara tersebut untuk melakukan siasatan dan mendapati sel penjara mewah yang dihuninya.
Sel VIP yang diketahui oleh banduan lain itu mempunyai tiga bilik lengkap dengan bilik mandi, dapur, ruang persidangan, penyaman udara, dinding berjubin, perabot mewah serta perpustakaan yang lengkap dengan koleksi DVD untuk menonton pada skrin TV plasma.
Serbuan yang dilakukan pada Selasa malam itu telah mengemparkan sistem penghukuman Paraguay.
Sementara itu, peguam Chimenes Pavao itu, Laura Acasuso memberitahu wartawan, rasuah membolehkan anak guamnya itu menjadikan sel penjara mewah tersebut.
"Enam atau tujuh menteri kehakiman dan enam atau tujuh pengarah penjara mengambil rasuah daripada Chimenes Pavao," katanya.
Menteri Kehakiman, Carla Bacigalupo dipecat sebaik skandal ini terbongkar dan diganti dengan Ever Martinez yang berikrar akan mengambil tindakan keras berhubung perkara ini.
"Kami akan merobohkan sel Chimenes Pavao dan mengambil tindakan terhadap pengarah penjara yang membenarkan banduan tersebut menikmati keistimewaan seumpama ini," katanya.
Chimenes Pavao kini dipindahkan ke sel dalam unit operasi khas polis.
Pemindahan Chimenes Pavao itu bagaimanapun dirindui oleh kebanyakn 3,500 penghuni penjara yang terletak di Tacumbu itu.
"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi terhadap kami tanpa dia," kata seorang banduan yang tidak mahu namanya disiarkan.
Katanya, Chimenes Pavao adalah seorang dermawan yang murah hati dan membayar kos untuk padang bola sepak dan gereja di penjara, serta menggaji pengawal peribadi di kalangan penghuni.
Tambah peguamnya lagi, Chimenes Pavao turut membayar penginapan pengarah penjara, tandas untuk pengawal serta pengubahsuaian perpustakaan penjara dan gaji tukang masak.
Chimenes Pavao ditahan di sarang penyeludupan sempadan Brazil-Paraguay.
.