> City kini telah berbelanja £150 juta untuk mendapatkan pemain baru
> Mereka telah memecahkan rekod pembelian pemain baru sebanyak dua kali pada musim ini saja
> Pelaburan mereka kelihatan berbaloi selepas menang tiga perlawanan awal musim baru
> Mereka kini calon popular untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris
MANCHESTER CITY berjaya membawa masuk pemain terbaik Liga Jerman musim lalu, Kevin de Bruyne dari kelab Wolfsburg dengan memecah rekod perpindahan pemain baru untuk kali kedua dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
Bekas pemain Chelsea itu menelan belanja sebanyak £54 juta - mengatasi rekod pembelian £49 juta yang City bayar kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat Raheem Sterling.
De Bruyne yang juga merupakan pemain antarabangsa Belgium akan mengikat kontrak selama enam tahun dengan bayaran gaji sebanyak £200,000 seminggu - sekaligus menjadikannya antara pemain dengan gaji tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris sekarang.
Dengan pembelian De Bruyne itu bermakna, City telah membelanjakan sebanyak £150 juta untuk memperkukuhkan skuad mereka musim ini termasuklah membawa masuk pemain antarabangsa Argentina dan Valencia, Nicolas Otamendi (£32 juta) dan pemain antarabangsa England dan Aston Villa, Fabian Delph (£8 juta).
Selain itu mereka turut membeli pemain muda Fulham Patrick Roberts pada harga £4 juta, penyerang kelab Turki, Bursaspor, Enes Unal pada harga £2 juta.
Wolfsburg akhirnya menerima tawaran berbaloi City selepas menolak mentah-mentah dua tawaran awal yang jauh lebih rendah.
Kelab Jerman itu kini telah menguggurkan nama De Bruyne dari senarai kesebelasan utama yang akan menentang Schalke pada Jumaat.
Kehadiran De Bruyne memperlihatkan cita-cita besar City untuk kembali menguasai liga selepas mahkota kejuaraan mereka dirampas oleh Chelsea musim lalu.
Dengan saingan terdekat mereka, Manchester United turut berbelanja sakan dengan membawa masuk ramai muka baru ternama dan berbakat untuk kembali memberi saingan sengit musim ini, City tidak mahu dilihat ketinggalan jauh di belakang apatah lagi setelah Chelsea berjaya membawa masuk penyerang Barcelona Pedro pada harga £21 juta sebelum hujung minggu lalu.
City sudah pun memperlihatkan yang pelaburan mereka tidak sia-sia dengan mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan awal liga untuk menduduki tangga teratas buat masa ini.
Mereka belum melepaskan satu gol pun lagi sebaliknya telah menjaringkan lapan gol setakat ini.
De Bruyne, 24, yang menghabiskan dua musim yang tidak begitu mengembirakan bersama Chelsea telah membuktikan yang dia adalah pemain yang tidak sepatutnya Chelsea lepaskan dengan muncul sebagai pemain terbaik Bundesliga musim lalu.
Walaupun pada mulanya, jurulatih Wolfsburg Dieter Hecking enggan melepaskan De Bruyne tetapi kuasa wang tidak dapat diketepikan begitu sahaja apatah lagi ia adalah tawaran yang sangat lumayan untuk seorang pemain yang baru berusia 24 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: