Friday, August 28, 2015

Portal Media Turut Disekat Jika Promosi Bersih 4.0 - Jailani




Jailani Johari.
KUALA LUMPUR: Mana-mana laman web termasuk portal media tidak akan terkecuali daripada disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya didapati mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, keputusan yang diambil SKMM itu tepat memandangkan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
"Jadi sekiranya mana-mana pengguna laman sesawang di luar sana yang cuba 'posting' apa-apa untuk menarik pelayar internet menghadiri perhimpunan itu, SKMM tidak teragak-agak untuk menutup (laman sesawang) dan PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya yang ditemui media di luar persidangan dan pameran tahunan KL Converge! 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Khamis.
Jailani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan SKMM pada Khamis yang memutuskan untuk menyekat laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk turut serta ke perhimpunan Bersih 4.0, yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara, lanjutan dari kenyataan media oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, keputusan yang dibuat oleh SKMM itu dibuat susulan perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.
Oleh itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana laman sesawang yang menjemput mereka hadir ke perhimpunan berkenaan.
SKMM dalam kenyataan berkenaan turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman sesawang dan media sosial, terutamanya kandungan yang boleh menyalahi undang-undang negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: