Sunday, August 30, 2015

Inisiatif Post Mortem: TH Pastikan Kesempurnaan Ibadat





MAKKAH: Tabung Haji (TH) mengambil inisiatif melakukan 'post mortem' ibadat umrah dan haji bagi memastikan jemaah haji Malaysia mencapai kesempurnaan dan mendapat haji mabrur dalam pelaksanaan rukun Islam kelima itu.
Pengarah Operasi (Bimbingan) TH Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah berkata  melalui inisiatif itu, mereka boleh mengenal pasti sebarang kecacatan dalam pelaksanaan ibadat bagi jemaah haji Malaysia yang tiba dari Madinah dan selesai mengerjakan umrah, misalnya, supaya langkah-langkah yang perlu boleh dilakukan bagi membetulkannya.
"Untuk setiap KT (kumpulan jemaah haji) yang tiba di Makkah, kami akan mengadakan lapan program bimbingan untuk mereka seperti taklimat, ceramah, forum dan post mortem ibadat.
"Post mortem ibadat umrah misalnya, ia bagi membolehkan jemaah melihat semula pelaksanaan umrah mereka, jika ada apa-apa kecacatan atau kesilapan, dapatlah mereka memperbetulkan kesilapan itu seperti membayar dam dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata post mortem juga akan dilakukan selepas jemaah haji selesai melakukan wukuf di Arafah nanti, satu daripada rukun dalam ibadat haji.
"Selepas jemaah haji selesai berwukuf di Arafah, bermabit (bermalam) di Muzdalifah dan Mina serta bercukur, kami akan mengadakan satu lagi sesi post mortem, jika ada kesilapan. Kita perlu lihat kaedah apa yang perlu dilakukan untuk mengesahkan ibadat mereka.
"Tabung Haji akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan ibadat haji bagi jemaah kita sempurna, kita tidak mahu mereka yang berbelanja puluhan ribu itu, kalau ibadatnya tidak sempurna, hanya pulang kosong," katanya.
Beliau berkata TH menyediakan 39 pembimbing ibadat yang bersedia membantu jemaah haji berkaitan pelaksanaan ibadat mereka, selain tiga pakar rujuk, sekiranya terdapat sebarang masalah yang tidak dapat diselesaikan di peringkat pembimbing ibadat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: