Sunday, August 30, 2015

Perlawanan Persahabatan: Malaysia Seri 0-0 Ke Atas Bangladesh




SHAH ALAM: Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi mengecewakan setelah hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Bangladesh pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.


Kehadiran hampir 4,000 penyokong tempatan nyata gagal menyuntik semangat pemain negara untuk mencari gol pendahuluan pada babak awal perlawanan.

Malaysia kerap menyerang kubu Bangladesh namun masih gagal memecah kebuntuan sehingga berakhirnya babak pertama. Bersambung separuh masa kedua, pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh membuat lima pertukaran bagi mencari gol pembukaan, namun benteng pertahanan Bangladesh kental menyerap asakan bertali arus jentera serangan pasukan negara.

Kedudukan itu kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan itu, Dollah mengakui kegagalan pemain mencari keserasian pada babak awal menjadi punca kegagalan mereka menembusi gawang pasukan pelawat, walaupun mendapat beberapa peluang terbaik.

Selain itu, katanya, kelemahan jentera tengah yang gagal membantu bahagian serangan untuk mencipta peluang, turut menjadi faktor kepada keputusan seri tersebut.

"Kita agak tumpul di bahagian serangan, namun pemain pertahanan seperti Mohd Afif Amiruddin, Amiridzwan Taj Tajudin dan Junior Eldstal nampak agak selesa,"kata Dollah.

Ketua jurulatih Bangladesh, Lodewijk Darius De Kruif memuji barisan mudanya yang berjaya mengekang asakan tuan rumah sehingga mampu mencatat keputusan seri.

Katanya, keputusan itu pasti menyuntik semangat kepada pasukanya menjelang perlawanan sukar menentang juara Asia, Australia di pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Perth pada 3 September ini.

"Saya gembira dengan keputusan malam ini dan lebih penting kami dapat menguji beberapa taktik sebelum berdepan Australia," katanya.

"Memang permainan kami kurang kemas tapi saya gembira gol kami tidak dibolosi," kata jurulatih berasal dari Belanda itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: