GEORGE TOWN: Kelantan muncul juara kejohanan bola sepak Piala Presiden 2015 buat kali keenam selepas mengalahkan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Bandaraya di sini, Jumaat malam.
Skuad pantai timur 'The Red Warriors' itu membuka jaringan pada minit ke-38 menerusi Fakhrul Zaman walaupun pasukan tuan rumah banyak melakukan serangan namun gagal menyudahkan peluang yang terhidang.
Pada awal babak kedua perlawanan, Pulau Pinang dilihat beraksi agresif melakukan serangan ke arah kubu Kelantan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui Amirul Syazni Roslan pada minit ke-50 selepas menyambut sepakan percuma daripada Tunku Noor Hidayat.
Pada minit ke-53, Mohd Faisal Abd Halim cuba menghadiahkan gol kedua skuad Harimau Kumbang, bagaimanapun percubaan di depan pintu gol Kelantan itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah kaptennya, Mohd Qayyum Marjuni Sabil dilayangkan kad merah pada minit ke-58 selepas mengasari pemain lawan dan membantah keputusan pengadil menghadiahkan sepakan percuma kepada pasukan tuan rumah.
Namun, Kelantan berjaya menggegarkan gawang pasukan lawan selepas gol kemenangan disumbangkan oleh Mohammad Azwan pada minit ke-66.
Selaku juara, Kelantan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta piala pusingan manakala Pulau Pinang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelaantan (KAFA),Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.
Mengikut rekod, Kelantan pernah muncul juara kejohanan ini sebanyak lima kali iaitu pada 1985, 1995, 2005, 2011 dan 2013 manakala Pulau Pinang sekali pada 2004.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: