WASHINGTON: Pengarah Agensi Angkasa Lepas Amerika (Nasa) merayu kepada kongres negara itu supaya mengembalikan semula maruah Amerika dengan menghentikan penggunaan kapal angkasa Rusia untuk menghantar angkasawan mereka ke angkasa lepas.
Sejak Amerika menamatkan khidmat kapal angkasa ulang-alik milik mereka pada 2011, Amerika bergantung sepenuhnya kepada kapal angkasa Rusia, Soyuz untuk sebarang misi ke ruang angkasa khususnya ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
Dalam surat terbukanya kepada Kongres, Charles Bolden menyeru kerajaan negara itu memberikan perhatian dan tumpuan bajet semula kepada Nasa bagi membolehkan kapal angkasa milik mereka sendiri dibina untuk program menghantar angkasawan ke angkasa lepas.
Bolden yang dirinya sendiri bekas seorang angkasawan berkata, sejak program kapal angkasa lepas Amerika ditamatkan, Moscow telah menikmati tidak kurang dari AS$1 bilion daripada kerajaan Amerika yang menggunakan khidmat kapal Soyuz milik Rusia sebagai ganti.
“Setiap dolar yang dibelanjakan ke atas Moscow adalah bersamaan dengan tidak melaburkan setiap dolar ke atas industri Amerika itu sendiri,” kata Bolden, dalam suratnya itu.
Sejak Nasa menghentikan program kapal angkasa lepas mereka, pihak swasta sedang bersaing untuk membina kapal angkasa komersil dengan tujuan membawa angkasawan Amerika ke angkasa lepas dan stesen antarabangsa di orbit bumi pada 2017.
“Untuk setiap kerusi yang angkasawan Amerika duduki dalam kapal angkasa Soyuz, kos yang terpaksa ditanggung oleh Amerika ialah AS$81 juta seorang," kata Bolden lagi.
Dan sebagai perbandingan, jelas Bolden, ia hanya menelan belanja AS$58 juta seorang jika menggunakan kapal angkasa buatan mereka sendiri.
“Yang terbaru, Nasa tidak mempunyai pilihan melainkan menulis cek berjumlah AS$490 juta kepada Rusia bagi membolehkan kami menghantar angkasawan kami sendiri ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa. Ia tidak sepatutnya menjadi seperti ini," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: