PENTAS Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2014 (KLFW2014) dirasmikan lapan pereka muda berbakat di bawah rumpun UiTM8. Kesemua pereka keluaran Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu menjadi kelompok siswazah termuda untuk muncul di pentas berprestij tersebut.
Paling mencuri perhatian ialah Akmal Afiq Farhan Samsudin, 23, yang kini menggunakan nama Fiq Farharn sebagai jenama komersialnya. Konsep Mandala Fiq sebenarnya pernah diangkat selaku pemenang tempat pertama pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam pada Februari lalu.
Namun dalam tempoh empat bulan, Fiq berjaya mengolah semula rekaannya dan menambah beberapa item yang amat menarik. Dia bijak menyalurkan kreativiti dalam mengimbangi nilai fungsional, eksperimentasi potongan dan penataan grafik yang membentuk identiti keseluruhan rekaannya.
Dia mengerti apa yang pengguna mahukan dan berjaya menterjemahkan nilai artistik yang tinggi ke dalam konteks yang mudah difahami. Bahagian depan sweater potongan besar (oversize) Fiq misalnya direka linear manakala elemen perincian mengejutkan diletakkan di bahagian belakang.
Rekaannya juga kemas malah selaku pendatang baharu, pengetahuan Fiq terhadap peraturan suai padan aksesori juga meningkatkan impresi positif pemerhati fesyen.
Wan Muhammad Aizat Wan Ab. Ghani (Wan Aizat) juga tidak mengecewakan. Mengangkat haiwan mistik iaitu kuda sebagai tema rekaan, percaturan Wan Aizat ternyata menjadi apabila majoriti hadirin memberikan ulasan positif selepas pertunjukan berakhir.
Rekaannya dipecahkan kepada koleksi sedia pakai mewah termasuk pakaian kasual, koktel dan gaun malam. Kanvas kapas yang digunakan memudahkan Wan Aizat melukis imej kuda pada setiap helaian rekaannya. Fabrik seperti linen, jersi dan kapas likra turut menjadi pilihan Wan Aizat selepas mengambil kira faktor cuaca tempatan.
Joe Chia
WAN AIZAT mengangkat haiwan mistik iaitu kuda sebagai tema rekaan.
|
Hari pertama KLFW2014 sebenarnya menjadi milik Joe Chia. Pereka dari Kok Lanas, Kelantan itu mencipta kelainan dengan membawa kumpulan pemuzik sendiri bagi mengiringi slot peragaannya. Gimik itu menjadi dan Joe berjaya mengalih keterujaan tetamu menghala ke pentas menerusi siri rekaanChapter04 beliau.
Diinspirasikan daripada keganasan dunia, elemen ketenteraan menjadi layar ilham utama Joe dalam babak kali ini. Ia mendukung filosofi kebebasan dan sarat dengan mesej keamanan, kasih sayang dan menolak peperangan.
Komposisi Chapter04 merangkumi budaya, tradisi dan jalanan. Ia diekspresikan menerusi paduan palet hitam, kelabu dan biru pudar yang sememangnya antara warna signatur Joe. Bayangan fabrik kulit, neoprena bertekstur dan nilon juga dapat dilihat pada koleksi ini.
Secara amnya, pentas KLFW2014 yang bertemakan konsep pakaian sedia pakai banyak dimonopoli rona hitam, kelabu dan putih. Ia sekali gus membuktikan bahawa warna-warna seperti itu masih relevan dalam penghasilan busana yang eksklusif, unik dan individualistik.
Mengambil rekaan Afiq M, sebagai contoh, pereka berusia 23 tahun yang sinonim dengan warna kusam itu mempertaruhkan 12 koleksi musim luruh/sejuk 2014 yang tampak misteri tetapi penuh keghairahan.
Pemilik nama sebenar Afiq Mohamed itu berkata, koleksinya kali ini lebih tertumpu kepada gaun malam. Begitupun rekaan seluar juga tidak tercicir.
"Saya sangat sukakan warna monokrom kerana ia tampak ghairah dan seksi. Untuk koleksi ini, saya memberikan tumpuan kepada belahan kain yang menampilkan sisi feminin wanita," kongsi Afiq kepada Stailo.
Tambah Afiq, fabrik ringan dan mudah digayakan individu berbeza bagi membentuk potongan lurus dan mengikut potongan tubuh (fitted) menjadi pertaruhannya kali ini.
Setiap fabrik yang digunakan kelihatan mewah saat diperagakan dan memberikan efek beralun ketika wanita berjalan.
"Wanita merupakan inspirasi terulung dalam setiap rekaan saya. Ketika menghasilkan rekaan ini, saya sudah membayangkan bagaimana setiap gaun beralun ketika model memperagakannya," katanya.
Kembali kepada pemilihan fabrik dalam koleksi KLFW2014, ia melibatkan fabrik seperti satin, sifon dan kapas. Walaupun gemar dengan warna monokrom, rekaan Afiq di pentas KLFW2014 menyaksikannya bereksperimen dengan warna seperti hijau dan biru gelap.
"Saya mahu orang mengenali Afiq M sinonim dengan monokrom. Hanya di pentas ini saya mencari sedikit kelainan dengan bermain dengan tona warna berbeza," jelasnya.
Bon Zainal
REKAAN berani Fiq Farharn yang bermain dengan corak abstrak dan geometri memukau pemerhati fesyen tempatan.
|
Apabila berbicara mengenai imej dunia korporat, pemilik nama Bon Zainal pasti meniti di bibir pereka fesyen tempatan.
Sinonim dengan rekaan sut eksklusif lelaki, pemilik nama sebenar Bon Zainal Harun, 47, tampil dengan 12 rekaan koleksi Rebon.
Mengaplikasi konsep kelahiran semula (reborn), ternyata koleksi tersebut berjaya memukau hadirin tatkala ia dipentaskan.
Koleksi terbaharunya itu menggabungkan rekaan jaket dan sut dalam satu busana.
"Saya mahu semua lelaki tampak bergaya," jelasnya ringkas apabila berbicara mengenai koleksi baharu itu.
Seakan bermain teka-teki, Bon berjaya menyuntik elemen suspen ketika barisan koleksinya diperagakan. Bermula dengan koleksi sut biasa diikuti dengan sut jaket berwarna, ia pantas mencuri perhatian pemerhati fesyen.
"Saya masih mengekalkan kemasan sut pada setiap rekaan. Imej Bon Zainal dan warna hitam, putih dan kelabu masih menjadi pilihan saya.
"Cuma di pentas ini, rekaan saya lebih remaja dengan rona warna yang ceria seperti merah hati. Potongan juga mengikut susuk tubuh dan menjadikan jejaka kelihatan tampan menggayakan rekaan saya," ujarnya.
Dari jauh memerhatikan setiap perincian sut jaket Rebon, ia kelihatan sarat, berat dan tebal. Pendapat pertama yang terlintas di minda pemerhati ialah ketidaksesuaian jika ia digayakan pada siang hari di Malaysia.
Ternyata pendapat itu meleset. Bon berkata, gabungan sut dan jaket memberikan kelebihan ilusi tatkala ia digayakan.
"Apabila ia digayakan di majlis formal sut jaket ini akan kelihatan seperti sepasang sut mewah. Namun apabila digayakan dengan jean, ia kelihatan amat santai," katanya.
Keistimewaan itu, ujarnya, terletak pada fabrik yang digunakan. Menggabungkan fabrik seperti kapas minion dan campuran wul.
"Impian saya suatu hari nanti, mahu semua jejaka memakai sut di mana sahaja mereka berada. Sut bukan lagi hanya pakaian di majlis formal malah mampu menjadi pakaian ketika bersantai," tuturnya.
Tambah mengujakan, Bon mendedahkan koleksi tersebut bakal dipasarkan di butiknya dalam tempoh terdekat.
Menyusul hari-hari terakhir pentas KLFW2014, menyaksikan kemunculan beberapa pereka berpengalaman. Antaranya, Melvin Shah menerusi label Melson.
Mempersembahkan koleksi Pret A Porter musim luruh 2014 pereka itu dipecahkan kepada tiga subkoleksi iaitu Voyages, Indulgent dan Sultry.
Potongan moden, klasik dan feminin ditampilkan dengan seimbang. Kekemasan rekaan Melvin dapat dilihat pada dres pendek tulip dan palet.
Busana itu turut menerima sentuhan inovasi unik apabila pereka kelahiran Kuala Lumpur itu nekad menggunakan kulit buaya metalik tiruan sebagai teras material.