Friday, May 30, 2014

Ana Dahlia Terperangkap, Gagal Sorok Status Sudah Bertunang


Ana menafikan dia bakal berkahwin dalam masa terdekat dengan kekasihnya, Ubaidullah.
KUALA LUMPUR: Hasrat pelakon Ana Dahlia untuk menyembunyikan status hubungannya dengan seorang pemuda tidak berjaya, apabila dia 'terperangkap' dengan jerat sendiri selepas pengacara malam Hari Ibu anjuran Rafflesia, di Hotel Royal di sini pada malam Rabu lalu mengumumkan, pasangan tersebut bakal berkahwin tidak lama lagi.
Malah pengacara tersebut turut memperkenalkan pemuda yang dikenali sebagai Ubaidullah itu sebagai tunang kepada Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 31.

Peristiwa itu meleraikan segala tanda tanya dan penafian Ana selama ini yang mendakwa hubungannya dengan pemuda berkenaan sekadar kawan biasa walaupun gambar-gambar kemesraan percutian mereka bersama teman ke Thailand beberapa bulan lalu hangat diperkatakan.
Ana mengakui selesa berkawan dengan Ubaidullah kerana jejaka itu sangat mengambil berat tentang dirinya.
Bagaimanapun, Ana ketika ditemui pemberita sebelum acara Hari Ibu itu bermula menafikan khabar angin tersebut dan berjanji akan memaklumkan kepada pihak media sekiranya dia benar-benar bakal berkahwin.

"Saya tidak menafikan perancangan untuk berkahwin itu memang ada tetapi gosip sebelum ini mengatakan saya bakal bertunang dan berkahwin pada bulan Mei sama sekali tidak benar. Malah saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu timbul.

"Buat masa ini tiada pengumuman yang ingin saya buat berhubung perkara itu namun sekiranya ada, saya akan beritahu kepada semua pihak. Kita hanya merancang tetapi jodoh itu ketentuan Tuhan," katanya kepada mStar Online sebelum pengacara mengumumkan statusnya itu.

Bukan sahaja pengumuman berkenaan malah status Ana Dahlia yang merupakan tunangan orang turut dicatatkan dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan.
Ana mengakui keluarga kekasihnya itu ada datang berjumpa dengan keluarganya untuk merisik.

Walaupun menafikan sudah bertunang atau bakal berkahwin, Ana Dahlia hanya mengaku keluarga Ubaidullah sudah datang berjumpa keluarganya di Taiping, Perak baru-baru ini untuk merisik tanpa menetapkan sebarang tarikh pertunangan atau perkahwinan.

Dalam perkembangan berkaitan Ana memberitahu dia telah lama mengenali Ubaidullah yang tinggal sekampung dengannya namun hubungan mereka rapat sejak setahun yang lalu.

Jelas Ana, dia selesa bersama pemuda itu dan menyifatkan Ubaidullah seorang yang mengambil berat dan berfikiran matang selain mampu membimbingnya daripada sudut agama Islam.

Nama Ubaidullah disebut sebagai tunang Ana dalam lampiran kenyataan media yang diberikan kepada pihak wartawan.

"Meskipun jarak umur kami berbeza tujuh tahun tetapi dia seorang yang matang dan amat menitikberatkan tentang hal agama dan itu membuatkan saya selesa dan tertarik dengannya," ujar Ana.

Ana Dahlia yang merupakan pesreta Pilih Kasih musim pertama dan pernah berkahwin dengan Chef Riz pada 11 Disember 2011.

Bagaimanapun perkahwinan mereka tidak bertahan lama apabila kedua-duanya disahkan bercerai pada November 2012 hanya selepas 11 bulan berkahwin.

mStar Online
 turut menghubungi Ana Dahlia pada Khamis malam untuk mengesahkan statusnya itu tetapi panggilan telefon dan kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar tidak dijawab.

Pembantu Rumah Fasha Sandha Dipenjara Kerana Mencuri


Fasha Sandha
KUALA LUMPUR: Dua pembantu rumah pelakon Nur Fasha Sandha Hassan telah dihukum dua hingga enam bulan penjara kerana mencuri wang tunai dari rumah majikan mereka.

Warganegara Indonesia, Nilawati, 39, dan Sri Maniami, 35, mengaku bersalah mencuri wang tunai dalam bentuk ringgit dan rupiah, milik majikan mereka iaitu suami pelakon itu, Rizal Ashram Ramli, 38.

Mereka dibicarakan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kejadian berlaku di kediaman pelakon itu di Duta Suria, Ampang dekat sini pada kira-kira 9.45 malam pada 12 Mac lalu.

Rizal yang juga dikenali sebagai Jejai berkahwin dengan Fasha pada 2012. Perkahwinan itu adalah yang pertama untuk Fasha dan kali kedua buat Jejai.

Pasangan ini bertemu pada tahun 2005 dan hubungan mereka terjalin selepas Jejai bercerai dengan isterinya Nora Danish yang juga seorang pelakon.

Sementara itu mengikut fakta kes, pada hari kejadian Rizal telah diberitahu oleh pembantu peribadinya selepas dimaklumkan jiran bahawa rumah Jejai ditinggalkan tidak berkunci, manakala kedua-dua pembantu rumah telah menghilangkan diri.

Apabila pembantu rumah berkenaan berjaya ditahan, pihak polis menemui wang tunai kira-kira RM200 pada kedua-dua pembantu rumah itu.

Tertuduh berkata, mereka mengambil wang tersebut untuk menampung kos pulang ke Indonesia pada bulan Ramadan ini.

Mereka tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringankan. 

Majistret Zulyana Zollkapli menjatuhkan hukuman penjara dua hingga enam bulan.

Jamal Abdillah Tidak Membeli-Belah Di Tempat Awam


Jamal tidak pernah berbelanja secara terbuka di tempat awam.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah memberitahu dia tidak gemar berada di tempat awam ataupun pergi membeli-belah sebaliknya lebih selesa jika tukang jahit datang ke rumah.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 55, berkata, tindakan itu juga merupakan salah satu cara untuk dia menjaga nilai eksklusifnya sebagai seorang penyanyi agar lebih dihormati oleh para peminat.

"Saya lebih senang jika tukang jahit sendiri datang ke rumah, tunjuk kain-kain terbaru dan kemudian jahit setiap baju-baju yang direka khas buat saya. Lagi puas hati.

"Cara ini akan membuatkan saya dilihat lebih eksklusif dan peminat akan menghargai kita setiap kali berada di pentas," katanya kepada mStar Online.

Tambah Jamal, kerana itu juga dia tidak risau untuk tampil dengan kerap dalam mana-mana acara persembahan memandangkan hanya ketika itu sahaja peminat-peminat dapat melihatnya secara langsung.

gwe
Jamal Abdillah

Dalam pada itu, Jamal memberitahu, dia juga tidak pernah melepak bersama rakan-rakan di kedai kopi kerana lebih selesa untuk berada di rumah sekiranya tiada aktiviti persembahan.

"Di rumah, saya akan menghabiskan masa dengan melihat dua ekor ikan arwana yang saya bela.

"Ada yang bertanya, tak bosan ke asyik terperap kat rumah? Bagi saya tidak! Menghiburkan orang dengan memakai pakaian yang cantik adalah minat dan keseronokan saya. Jadi di rumah, adalah masa untuk berehat.

"Tetapi sekiranya ada isteri nanti, rasanya kenalah keluar berjalan-jalan ye tak?" selorohnya.

Dalam perkembangan lain, Jamal bakal muncul dengan sebuah album baharu pada September depan. Menariknya, penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslow turut terbabit dalam persiapan album berkenaan.

Fezrul Khan, 10 Tahun Berlakon Masih Tak Popular


Fezrul sedar namanya masih lagi belum popular seperti rakan-rakan artis lain.
PETALING JAYA: Pelakon Fezrul Khan menjelaskan belum ada mana-mana individu menegurnya atas kapasiti dia sebagai seorang artis disebabkan dirinya tidak terkenal walaupun sudah 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni tempatan.

Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi, 32, berkata, dia sedar namanya masih belum popular berbanding artis lain namun dia masih berusaha untuk mencapai sasaran itu.

"Saya sedar diri ini tak popular. Malah apabila berjalan di mana-mana pun tidak ada sesiapa pun yang mahu menegur.

"Mungkin ada segelintir artis menganggap ia tidak penting tetapi sebenarnya apabila orang kenal kita, ia bererti satu penghargaan selepas segala kerja keras menjadi pelakon selain kejayaan lain iaitu memiliki sebuah trofi," katanya kepada mStar Online.

sxq
Fezrul Khan

Tambah Fezrul, bagaimanapun dia enggan meraih populariti hasil daripada cerita-cerita panas kerana perkara sebegitu mampu mencalar imejnya sebagai pelakon yang bersih daripada kontroversi.

Dalam pada itu, Fezrul berkata, dia bersyukur walaupun belum mencapai tahap populariti yang tinggi namun tawaran lakonan yang diterima tidak pernah putus.

"Saya percaya selagi ada disiplin, selagi itu orang senang mahu bekerjasama dengan kita. Itu yang saya praktikkan sejak dulu.

"Alhamdulillah, sehingga kini tawaran kerja tidak pernah putus. Apa yang pasti saya teruskan usaha sehinggalah nama saya mampu berada di puncak, seperti Aaron Aziz," selorohnya.

Antara drama yang dibintangi oleh Fezrul ialahJelatang, Bini-Bini Perkasa, Santau Merasukserta filem Sumpahan Kum Kum, Hanya Aku Cinta Kau Seorang dan Awak Nak Kahwin Dengan Saya?.

Pelakon Lydiawati Menderita Sakit Saraf


Lydiawati mendedahkan dia mengalami penyakit urat saraf.
PETALING JAYA: Pelakon senior, Lydiawati memberitahu sudah dua bulan dia tidak berlakon selepas diserang penyakit saraf dan reumatik.
Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon, 48, berkata dia mengalami penyakit itu selepas berasa kebas dan bisa pada bahagian kiri kaki dan tangan sehingga menyukarkan pergerakannya.

"Ia bermula pada awal Januari lalu apabila tangan dan kaki kiri saya rasa berbisa. Risaulah jugak, takut ada masalah jantung.

"Tetapi doktor cakap saya okey. Sehinggalah pada 23 Mei lalu, saya terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri selepas rasa sakit semakin teruk dan doktor mengesahkan saya ada penyakit saraf," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Tambah Lydiawati, sepatutnya dia perlu menjalani beberapa rawatan lain namun selepas melihat bil berjumlah RM5,000 sepanjang tiga hari di hospital itu, dia memutuskan untuk keluar wad pada Isnin lalu kerana merasakan tidak mampu menjelaskan bayaran rawatan yang lebih tinggi.
Lydiawati memberitahu dia berasa kebas dan bisa pada bahagian kiri kaki dan tangan sehingga menyukarkan pergerakannya.

Beritahu Lydiawati dia berkemungkinan besar akan menyambung rawatan penyakitnya itu di hospital kerajaan agar tidak dibebani dengan masalah pembayaran. 

"Sebelum masuk ke Ampang Puteri, saya ada juga meminta bantuan wang daripada beberapa rakan artis, takut duit tak cukup.

"Tetapi melihatkan bil yang harganya tidak munasabah, lebih baik saya membuat rawatan di hospital kerajaan sahaja. Lagi pun di sana juga mempunyai doktor pakar yang bagus-bagus," ujarnya.

Sementara itu, dia turut bersyukur apabila ramai peminat serta rakan artis memberikan sokongan moral selain ubat-ubatan tradisional kepadanya.

Kata Lydiawati, dia akan cuba menggunakan beberapa ubat tersebut dalam tempoh masa tiga minggu sebelum  menyambung rawatan di hospital kerajaan.

Dalam pada itu, Lydiawati berkata, dia akan berehat daripada lakonan sementara waktu namun akan menerima tawaran berlakon sekiranya ada.

Thursday, May 29, 2014

Ada Pihak Mahu Tutup Periuk Nasi Akhil Hayy


akhil hayy
Akhil Hayy menunjukkan single terbaharunya.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pendakwah bebas Akhil Hayy mendakwa seorang individu berpengaruh cuba menyekat namanya daripada terlibat dengan beberapa program terbitan sebuah stesen televisyen.

Akhil atau nama sebenar Akhil Abdul Hayy, 44, berkata, dia menyedari perkara itu selepas mendapati sudah beberapa kali namanya digugurkan pada saat-saat akhir sebelum menyertai sesebuah rancangan.

"Saya tiada masalah dengan stesen televisyen berkenaan sebaliknya ada seorang individu dalam stesen itu yang cuba menyekat periuk nasi saya.

"Dia menggunakan kuasanya untuk mempengaruhi orang lain sehingga mereka gugurkan nama saya tanpa memberi alasan," katanya kepada mStar Online, di sini, Khamis.

Akhil ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Andai Esok di Pua Herritage, Amcorp Mall, di sini.
akhil hayy
Akhil Hayy


Dia sepatutnya terlibat dengan sebuah telefilem berjudul Rock Sangkut yang diterbitkan syarikat milik Mawi namun terpaksa digantikan dengan seorang pelakon lain selepas namanya ditolak.

Katanya, bukan itu sahaja, malah beberapa program keagamaan popular yang pada mulanya menawarkan dia sebagai juri juga ditarik balik tanpa sebarang alasan.

"Sudah empat tahun perkara ini terjadi. Ia seperti masalah peribadi individu itu sendiri kerana pihak stesen beberapa kali cadangkan nama saya tetapi digugurkan pada saat-saat akhir,” katanya kesal.

Bagaimanapun, dia biarpun tidak muncul di televisyen, dia masih aktif menyebarkan dakwah di masjid dan juga surau.

Dalam pada itu, single Andai Esok  dicipta oleh Badhisham, manakala lirik ditulis oleh Hairul Anuar Harun.

Menurut Akhil, lagu keagamaan ini merupakan sumbangannya kepada umat Islam sebelum dia meninggal dunia.

"Lagu ini menceritakan tentang perjalanan hidup manusia dan saya harap dapat ia memberi kesan kepada orang yang mendengarnya," kata Akhil.

Suami Abby Abadi Lakukan Dua Kali Lafaz Cerai


abby abadi
Abby Abadi melambaikan tangan kepada jurugambar yang merakamkan wajahnya. 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini diberitahu suami kepada pelakon Abby Abadi iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, melakukan dua kali lafaz cerai terhadap pelakon itu termasuk salah satunya tidak dimaklumkan kepada mahkamah. 

Sehubungan itu Hakim Syarie iaitu Shaiful Azli Jamaludin terpaksa menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat pelakon itu kepada 11 Jun depan bagi membolehkan lafaz cerai kali pertama difailkan.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, sebelum itu mendedahkan kepada mahkamah suaminya pernah memberitahu seorang kenalan bahawa mereka sudah bercerai dan mengakui terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu.

Pasangan itu bagaimanapun meminta nasihat kes itu kepada bapa saudara Muhammad Noor Farhan yang juga defendan dalam kes ini dan mereka kemudiannya melakukan rujuk secara perbuatan tanpa melaporkan kes berkenaan kepada mahkamah.
Muhammad Noor Farhan berjalan keluar dari mahkamah dan enggan ditemubual.

"Lafaz kali pertama itu tidak dibuat kepada saya tetapi dia memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila saya dimaklumkan mengenai perkara itu saya merujuk perkara berkenaan kepada bapa saudara suami di Kelantan untuk mengetahui sama ada ia sah atau pun tidak.

"Apabila diberitahu lafaz dibuat itu sah kami rujuk secara perbuatan tanpa melaporkannya kepada mahkamah," jelas Abby kepada mahkamah.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut memberitahu kejadian itu berlaku pada Januari lalu.

Terdahulu, Abby selaku plaintif memberitahu mahkamah, Muhammad Noor Farhan telah menghantar mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepadanya berbunyi "Aku ceraikan kau" dan diikuti "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" pada 9 Mei lalu.

Pasangan itu membuat permohonan di kaunter mahkamah untuk menfailkan lafaz cerai kali pertama yang dibuat oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu.

Jelas Abby, SMS yang dihantar kira-kira pukul 10.25 pagi itu dibuat oleh defendan selepas mereka bertengkar pada malam sebelumnya ekoran suaminya itu tidak pulang ke rumah.

"Semasa saya terima SMS berkenaan saya berada di dalam kereta namun saya tidak ingat ada atau tidak membalas mesej itu untuk mendapatkan kepastian daripadanya.

"Kejadian berpunca selepas terdapat perselisihan faham yang berlarutan sehingga dia tidak balik rumah pada malam sebelum dia melafazkan cerai menerusi mesej," katanya kepada mahkamah.
Muhammad Noor Farhan ketika disoal balas oleh Shaiful Azli mengakui ada menghantar SMS berkenaan dan memang berniat untuk menceraikan isterinya itu.
Sementara itu, Abby ketika ditemui diluar mahkamah memberitahu, dia reda dengan ketentuan terhadap perkahwinannya dengan Muhammad Noor Farhan namun masih berharap ia dapat diselesaikan secara baik.

Artis Singapura Cari Makan Di Malaysia Perlu Fikir Panjang - Shah Iskandar


Shah Iskandar anggap perjalanan masih jauh untuk jadi seperti Aaron Aziz 
PETALING JAYA: Pelakon kelahiran Singapura iaitu Shah Iskandar memberi nasihat kepada artis-artis dari negara itu yang ingin mencuba nasib di Malaysia supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan tersebut.
Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 32, berkata, tindakan mencuba nasib di negara orang bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan banyak pengorbanan.

Saya nasihatkan kepada artis Singapura yang ingin datang mencuba nasib di negara ini agar mereka fikir panjang kerana ia bukan senang seperti yang mereka sangkakan.

"Jangan terlalu fikirkan tentang populariti sahaja tetapi pengorbanan yang terpaksa dilakukan kepada kerjaya tetap yang mungkin ada dan keluarga sebelum bekerja di sini," katanya kepada mStar Online. 
Tambah Shah, dia yang sudah menetap hampir lima tahun di negara ini terpaksa memulakan semula kerjaya seninya daripada bawah dan meninggalkan ibunya, Haliza Yusof bersendirian di Singapura.Katanya, bukan sahaja itu, artis-artis Singapura juga perlu kuat daripada segi mental dan fizikal untuk bersaing dengan artis-artis tempatan yang sudah ada nama.

"Saya rasa pengorbanan paling utama saya ialah terpaksa tinggalkan ibu bersendirian di sana namun saya sering berulang alik untuk melihat keadaan dia.

"Selain itu, kalau mahu diikutkan kerjaya saya sebagai artis di sana, saya sudah selesa, namun saya kena bermula semula daripada kosong untuk berada di sini," katanya yang baharu memenangi anugerah Pelakon Drama Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) pada Sabtu lalu.

Sementara itu, dia yang dikatakan bakal menjadi pengganti kepada aktor kelahiran Singapura juga iaitu Aaron Aziz menganggap perjalanan ke arah itu masih jauh.

Namun, Shah berkata, dia akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasinya dalam industri seni negara ini agar seiring dengan pelakon itu.

"Aaron Aziz sudah ada tahap dia sendiri yang mana bagi saya dia sudah mempunyai nama yang kuat dalam industri seni di Malaysia.

"Untuk saya sampai ke tahap itu masih banyak masa yang diperlukan namun saya akan terus berkerja keras untuk berada di tahap tersebut," katanya.

Keputusan Bantahan Kes Nusyuz Sari Yanti 8 September Depan


Sari Yanti sebelum ini telah menfailkan penceraian terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 25 Februari lalu.
SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling menetapkan 8 September depan bagi membuat keputusan terhadap bantahan awal berhubung nusyuz yang difailkan oleh  Mohd Edy Casmadi Che Hussin terhadap pelakon Sari Yanti.

Hakim Syarie, Abdul Halim Abu Samah akan membuat keputusan itu bagi menentukan sama ada pihak mahkamah mempunyai kuasa untuk mendengar kes nusyuz yang difailkan Mohd Edy sekalu plaintif.

Pasangan itu bagaimanapun tidak hadir pada perbicaraan tersebut dan hanya diwakili peguam masing-masing.

Bekas peserta program Fear Factor musim kedua itu pada 30 April lalu memfailkan bantahan awal permohonan nusyuz yang dibuat oleh suaminya memandangkan pelakon itu terlebih dahulu memfailkan permohonan cerai di Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, peguam syarie plaintif, Munirah A. Bakar memohon kepada mahkamah untuk memfailkan hujah bantahan awal itu di kaunter secara serentak bagi memudahkan sebarang pertikaian sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah.
Mohd Edy menfailkan permohonan kembali taat terhadap Sari Yanti pada 7 Mac lalu.

Abdul Halim membenarkan hujah difailkan secara serentak pada 11 Ogos depan dan turut dipersetujui oleh peguam defendan, Marlina Amir Hamzah.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut memerintahkan pihak plaintif memfailkan avidavit jawapan terhadap bantahan awal dibuat oleh defendan pada 18 Jun ini. 

Manakala pihak defendan perlu menfailkan avidavit balasan sebulan selepas itu iaitu pada 11 Julai depan.

Pada 7 Mac lalu, Mohd Edy menfailkan permohonan kembali taat terhadap Sari Yanti di mahkamah sama. Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 25 Februari lalu.

Hasil perkongsian hidup dengan Mohd Edy Casmadi selama lima tahun, Sari dikurniakan dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy dan Basit Al-Haq masing-masing berusia empat dan dua tahun.

Uqasha Senrose Sahkan Berkawan Dengan Syafiq Kyle


syafiq uqasha
Uqasha (kiri) akui selesa mengenali Syafiq Kyle.
PETALING JAYA: Ketika berlakunya krisis hubungan cinta antara Uqasha Senrose dengan Pekin Ibrahim, pelakon wanita itu dikatakan berkawan rapat dengan pelakon baharu, Syafiq Kyle.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 22, apabila dia memberitahu lebih selesa mendekati pelakon tersebut sejak beberapa bulan lalu.

"Ya, saya memang berkawan dengan Syafiq Kyle dan boleh dikatakan dia antara kawan lelaki yang rapat dengan saya ketika ini.

"Saya selesa keluar dengan dia kerana kami boleh berborak-borak dan berkongsi masalah. Kalau ada kelapangan kami juga selalu pergi ke mana-mana majlis bersama termasuklah dengan pelakon Syahrul Ridzwan," katanya kepada mStar Online.

Uqasha diminta mengulas hubungannya dengan pelakon baharu tersebut selepas dia membuat kenyataan mengejutkan iaitu hubungannya dengan Pekin Ibrahim sudah tidak punyai apa-apa lagi. 
mStar Default Image
Uqasha akui mulai rimas dengan pelbagai kenyataan dibuat Pekin mengenai hubungan mereka.

Berberapa minggu lalu Syafiq, 22, yang dikenali menerusi drama berisiri Tanah Kubur,Anugerah Terindah dan terbaharu Oh My English musim ketiga telah memuat naik gambarnya berpegangan tangan dengan Uqasha di laman Instagram miliknya.

Bagaimanapun gambar itu dipadamkan tidak lama kemudian. 

Dalam pada itu ditanya kenapa Syafiq memadamkan gambar mereka Uqasha berkata dia tidak pasti kenapa pelakon tersebut berbuat demikian.

"Saya tahu dia muat naik gambar kami dan selepas itu dia buang pula. Entahlah tak tahu kenapa. Mungkin dia takut dengan tekanan yang mungkin diterima," katanya. 

Dalam pada itu, Uqasha mengakui dia kini dalam dilema apabila Pekin masih menjaja kisah cinta mereka sedangkan dia tidak mahu bersama pelakon itu lagi.

Perbuatan Pekin itu katanya menyebabkan dia sukar untuk berkawan dengan mana-mana lelaki selain sering dipandang serong apabila ramai yang beranggapan dia adalah tunangan orang.

"Saya sudah cakap dahulu yang Pekin datang ke rumah saya hanya untuk merisik dan bukan datang untuk meminang. Saya kesal dia member kenyataan yang kami bertunang. Itu semua tak betul. 

"Perkara itu juga menyusahkan saya bila orang masih anggap saya tunangan orang dan masyarakat akan pandang serong apabila saya keluar dengan kawan lelaki lain," ujarnya. 

Sementara itu Uqasha berkata dia cuba menghubungi Pekin untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi tidak berjaya.

Tindakan Saman MAS Sengaja Diperbesarkan - Hanez Suraya


Hanez Suraya memberitahu tindakannya menyaman MAS adalah proses biasa sebagai seorang pelanggan yang privasinya telah diceroboh sehingga menyebabkan dia menjadi bahan perbincangan umum.
PETALING JAYA:Pelakon Hanez Suraya menjelaskan tindakannya memfailkan saman terhadap Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sengaja diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak hanya kerana dia bergelar selebriti.

Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 28, berkata, tindakannya itu adalah proses biasa sebagai seorang pelanggan MAS yang privasinya telah diceroboh sehingga menyebabkan dia menjadi bahan perbincangan umum.

"Ini adalah berkaitan dengan privasi dan hak saya sebagai pelanggan MAS yang telah diceroboh tanpa kerelaan saya dan berharap peminat tidak terus membuat kesimpulan negatif terhadap tindakan saya itu hanya kerana saya seorang selebriti," jelasnya.

Hanez dan kekasihnya Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, memfailkan saman tersebut di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Mei lalu menerusi peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Rahman.

Hanez (depan), Kilafairy dan Izzue Islam bakal muncul dalam pementasan teater Projek Kahwin di Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan.

Pasangan itu mendakwa beberapa jam selepas mendarat di Bangkok pada 20 April lalu, mereka dimaklumkan oleh rakan-rakan yang sebahagian daripada  salinan pas masuk mereka telah muncul di akaun Facebook yang dikenali sebagai "Kami sokong Liyana Manan" termasuk 1,000 komen yang mengejek mereka.

"Biarlah apa orang nak cakap tentang perkara itu kerana saya sudah serahkan kepada peguam dan saya dinasihatkan tidak mengulas panjang mengenai perkara ini," katanya.

Bagaimanapun Hanez mengakui ada menerima panggilan daripada pihak MAS selepas memfailkan saman dan respon diberikan positif. Dalam perkembangan lain, Hanez berkata dia kini sedang sibuk dengan latihan teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan.

Teater terbitan Mask Team itu membariskan barisan pelakon Izzue Islam, Shah Iskandar, Kaka Azraff, Sherry Alhadad dan Kilafairy.

Tuesday, May 27, 2014

Pelaksanaan Hudud Di Brunei Antara Sebab Nina Iskandar Bertudung


Nina memberitahu perubahannya itu bukanlah semata-mata kerana pelaksanaan hudud di negaranya tetapi ia ikhlas daripada hatinya. 
PETALING JAYA: Pelakon baharu, Nina Iskandar mengakui antara sebab dia mula menutup aurat dan mengenakan tudung adalah kerana menghormati undang-undang terbaharu negara asalnya, Brunei Darussalam yang secara rasmi melaksanakan hukum hudud.

Nina, 23, bagaimanapun berkata, perubahannya itu bukanlah semata-mata kerana pelaksanaan hudud di negaranya, tetapi ia ikhlas daripada hatinya dan memang berhasrat untuk memakai tudung sebelum ini lagi.

"Brunei telah melaksanakan undang-undang syariah dan hudud, jadi sebagai rakyat dan wanita beragama Islam saya mahu membawa imej negara saya atas rasa hormat yang mendalam.

"Bagaimanapun perubahan saya ini bukan semata-mata kerana undang-undang baharu itu tetapi ia ikhlas dan datang daripada hati sendiri," jelasnya.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada awal Mei mengumumkan baginda akan meneruskan pelaksanaan hukum hudud biarpun mendapat kritikan di negara itu dan peringkat antarabangsa.

Fasa permulaan undang-undang itu berkuat kuasa secara rasmi dengan fasa kedua termasuk hukuman lebih ketat, termasuk potong tangan bagi kesalahan kecurian dan rompakan, yang akan dimulakan lewat tahun ini.

Nina kelihatan ayu dengan berhijab.

Sementara kesalahan termasuk liwat dan zina akan dikenakan hukuman direjam sampai mati pada fasa ketiga.
Dalam pada itu, Nina berkata, perubahannya itu tidak dirancang, sebaliknya perasaan untuk menutup aurat datang secara tiba-tiba sejak beberapa minggu lalu.
Jelas Nina lagi, sebelum itu dia sering mencuba mengenakan hijab sekiranya keluar bersama rakan-rakan dan berasa selesa dengan imej berkenaan.
"Sebelum ini saya sering pakai tudung jika keluar untuk cuba sama ada saya selesa atau pun tidak dan baru-baru ini hati saya terus terbuka untuk terus mengenakan hijab dan saya berasa begitu tenang.
"Perubahan ini juga sebagai salah satu persiapan untuk diri sendiri kerana jika tidak mulakan sekarang, bila lagi?," ujarnya.
Sementara itu, Nina berkata, pihak pengurusannya di Malaysia iaitu  Metrowealth International Group (MIG) juga tiada halangan untuk dia mengenakan tudung dan gembira dengan perubahannya itu.
Dalam perkembangan lain, Nina yang mengakui bakal bertunang dengan seorang ahli perniagaan dari Kelantan pada Ogos depan memberitahu masih belum membuat sebarang persiapan perkahwinan mereka kerana masih terlalu awal.
Malah kata Nina, mereka juga belum menetapkan sebarang tarikh perkahwinan untuk hari bahagia itu nanti.

Impian Kamal Adli tercapai


  • Kamal AdliKamal Adli

SETIAP orang pasti mempunyai beberapa impian yang ingin digapai dalam hidupnya dan begitulah juga yang dilalui oleh aktor kacak, Kamal Adli.

Terang Kamal, impiannya untuk berlakon dalam sebuah filem aksi dan berpeluang untuk tampil melakukan aksi sendiri akhirnya terlaksana dalam filem Abang Long Fadil.

"Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Syamsul kerana dia yang mencadangkan nama saya kepada Datuk Yusof dan Syafiq selaku pengarah untuk ambil saya berlakon.

"Bila dapat peluang ini, saya memang tidak mensia-siakan, tambahan lagi saya berpeluang melakukan semua aksi sendiri. Walaupun kaki saya terkehel, namun saya puas hati," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Kamal, pada awalnya dia memang sukar untuk memahami arahan Syafiq, namun sebaik melihat hasilnya dia amat berpuas hati.

“Pada mulanya terus terang saya katakan yang sewaktu penggambaran saya kurang faham apa yang Syafiq mahukan untuk filemnya ini. Tapi bila saya tengok hasilnya, saya cukup kagum dengan pengarahannya.

"Selain tu saya dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Zizan dan Syamsul”, katanya yang memengang watak sebagai Adam.

Filem Abang Long Fadil terbitan Skop Production merupakan filem kedua Syafiq Yusof yang akan ditayangkan mulai 29 Mei ini.

Karya bergenre komedi aksi ini membawa kesinambungan daripada kisah KL Gangster apabila sahabat baik Abang Long Fadil, Malik (lakonan Aaron Aziz) telah ditahan dalam penjara. Berbeza sedikit daripada kisah KL Gangster yang lebih serius, filem ini mengisahkan tentang Abang Long Fadil yang mahu menjadi samseng sehebat Malik dan Shark (lakonan Syamsul Yusuf).


Sedia berkahwin?

Dalam pada itu, ditanya perihal hubungannya dengan kekasihnya, Intan Ladyana, pelakon ini berkata, dia merancang untuk mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya tahun depan.
Dedah Kamal, dia bersama Intan telah pun mendaftar kursus perkahwinan, baru-baru ini.
“InsyaAllah, seperti saya pernah beritahu sebelum ini kalau bukan tahun ini, tahun depan kami akan kahwin. Saya pun seperti dah dapat 'seru' (ketawa).

“Persiapan belum lagi tapi saya bersama pasangan saya sudah pun mendaftar kursus nikah. Baru saja daftar," ujarnya.

Iqram Dinzley Terkejut Dituduh Jalin Hubungan Songsang Lagi


f32
Iqram Dinzly sudah lali dengan gosip-gosip mengenai dirinya.
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly menganggap ada pihak cuba mensabotaj dirinya apabila dituduh  menjalinkan hubungan songsang, selain berfoya-foya di sebuah kelab malam di London, November tahun lalu.

Iqram, 33, yang terkejut apabila isu hubungan songsang membabitkan dirinya sekali lagi menjadi isu, sedangkan dia langsung tidak terlibat dengan perilaku tersebut bagaimanapun mengakui berkunjung ke kelab malam di United Kingdom itu sekadar untuk melihat suasananya.

"Mungkin ada pihak yang mahu sabotaj saya. Kenapa orang nak kaitkan saya dengan hubungan songsang hanya kerana melihat saya bergambar dengan lelaki. Salah ke saya nak bergambar dengan kawan saya sendiri?

"Bagaimanapun saya mengakui ada berkunjung ke sebuah kelab malam di London tetapi bukan berfoya-foya, sebaliknya sekadar mahu melihat suasananya sahaja," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sebuah laman blog pada Isnin mendedahkan seorang pelakon lelaki (dituju kepada Iqram) dikatakan mengunjungi beberapa kelab malam di London.
Iqram Dinzly
Iqram yang ketika itu ditemani seorang pelajar lelaki rakyat Malaysia didakwa menjalin hubungan songsang.

Malah laman blog itu turut mendedahkan mesej daripada aplikasi Whatsapp berbau lucah kononnya ia adalah mesej perbualan antara Iqram dan pelajar tersebut.

Sementara itu, Iqram menyifatkan ia sebagai satu gosip lucu dan enggan mengambil serius mengenai perkara itu.

"Apa yang saya tak faham, kawan dengan perempuan salah, dengan lelaki salah. Habis saya nak berkawan dengan siapa?

"Berkenaan mesej Whatsapp itu, saya pun tak pasti itu mesej saya atau tidak. Tetapi kalau dengan rakan-rakan lelaki saya memang suka bercakap kasar.

"Rasa lucu pula bila isu ini berbangkit lagi. Sebelum ini bila rapat dengan Soo Wincci, saya dikatakan cuba mengurat dia, sekarang cerita lain pula.

"Apa-apapun, yang penting keluarga faham siapa saya yang sebenar," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Iqram baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama di bawah produksi Shawana Productions iaitu Kalau Hati Ini Rama-Rama dan Cinta Meniti Starimost. Selain itu lakonan Iqram juga bakal muncul menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 yang akan ditayangkan pada September depan.

Penerbit 'Projek Kahwin' Akan Pastikan Tiada Masalah Bayaran Artis


 wadw
Barisan pelakon teater Projek Kahwin iaitu dari kiri, Shah Iskandar, Hanez Suraya, Kaka Azraff, Kilafairy dan Izzue Islam.
KUALA LUMPUR: Pihak penerbit teater Projek Kahwin iaitu Mask Team akan memastikan insiden kelewatan pembayaran kepada artis tidak akan berulang seperti mana berlaku pada teater Maduku Kalut sebelum ini.
Penerbitnya, Mohd Amer Syafiq Khalip, 27, berkata, pihaknya akan memastikan pembayaran dibuat selepas tiga minggu pementasan selesai.

"Dulu terjadinya masalah pembayaran dan salah faham kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam hal berkaitan pengurusan memandangkan masih baharu ketika itu.

"Namun kali ini kami telah mempelajari daripada kesilapan dan berharapa kejadian serupa tidak akan berulang lagi," katanya.

Mohd Amer ditemui pada sidang media teater Projek Kahwin di Istana Budaya pada Isnin.

Projek Kahwin akan dipentaskan di Panggung Sari pada 6 hingga 14 Jun depan.

Ia bakal menampilkan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Kilafairy, Kaka Azraff, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan penampilan istimewa Forteen.

Dalam pada itu, Mohd Amer berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pihak Sekretriat Tahun Melawat Malaysia 2013 dalam mempromosikan teater berkenaan bagi menarik pelancong dari luar negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.
ass
Antara babak teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan pada 13 hingga 15 Jun depan.
Jelas Mohd Amer, selain dapat mempromosikan sektor pelancongan negara kehadiran penonton luar dapat memberi mereka peluang untuk memahami tentang keunikkan adat dan tradisi perkahwinan Melayu yang dipaparkan menerusi teater berkenaan.

"Alhamdulillah respon daripada pihak Sekretriat Tahun Melawat Malaysia 2013 amat baik menerusi cadangan kami untuk menpromosikan 'Projek Kahwin'.
"Malah kami juga sudah mendapat tempahan daripada peminat dari Singapura yang ingin menonton teater ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Amer berkata, selain pementasan teater, turut diadakan Pameran Pengantin di ruang legar Istana Budaya pada 13 hingga 15 Jun.

Selain itu katanya, beberapa artis terkenal turut melibatkan diri dalam Femes Bazar dan akan menjual pelbagai barangan.

"Objektif kami mengadakan aktiviti di ruang legar Istana Budaya agar ia akan menjadi tumpuan pengunjung terutama golongan remaja untuk merasai kemeriah di tempat tersebut," katanya.

Jelas Mohd Amer lagi, tiket persembahan itu sudah terjual sebanyak 30 peratus setakat ini.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket teater Projek Kahwin ia dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM125, RM185 dan RM225.

Tiket boleh didapati di AirAsiaRedTix.com dan kaunter box office Istana Budaya.

Untuk tempahan berkumpulan boleh menghubungi Amirul di talian 0133962612.

Pekin Ibrahim Masih Sayangkan Uqasha Senrose


Pekin memberitahu pertunangan mereka masih belum putus dan hanya menangguhkan perancangan untuk berkahwin.
PUTRAJAYA: Selepas sekian lama mendiamkan diri mengenai status hubungannya dengan aktres Uqasha Senrose, pelakon Pekin Ibrahim memberitahu ikatan pertunangan mereka masih terjalin namun menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah.

Pekin, 34, berkata, kenyataan Uqasha mengenai hubungan mereka yang telah berakhir disifatkan berbaur emosional dan mereka sedang mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

"Ikatan pertunangan tidak pernah putus cuma perancangan perkahwinan ditangguhkan seketika bagi memberi ruang kepada kami untuk berfikir semasak-masaknya tentang keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya dan mencari keserasian.

"Keluarga kedua-dua belah pihak mengetahui perkara ini dan mereka juga turut menasihatkan agar kami tidak terburu-buru dan bertenang buat masa ini," katanya.
Pekin memberitahu mereka sepatutnya berkahwin pada 25 Oktober depan.
Pekin ditemui ketika hadir ke majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2013) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini pada malam Sabtu lalu.

Uqasha dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar Februari lalu mendedahkan Pekin telah meminta supaya mereka memutuskan hubungan atas alasan tiada persefahaman dan perancangan untuk berkahwin juga tidak menjadi kenyataan.

Pasangan itu sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 25 Oktober depan.
Pekin menyerahkan soal perkahwinan kepada jodoh.

Dalam pada itu, Pekin mengakui masih menyayangi Uqasha namun tidak mahu terlalu memikirkan mengenai soal tersebut kerana mahu kedua-dua pihak bertenang sebelum membuat sebarang keputusan selanjutnya.

Bagaimanapun kata Pekin, dia dan Uqasha kini jarang berjumpa untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku diantara mereka kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Tipu kalau saya kata saya tidak sayangkan dia tetapi buat masa ini saya malas hendak fikir tentang perkara itu kerana kalau ada jodoh adalah nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pekin berkata dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filemJuvana 2 arahan Faisal Ishak. 

Zizan Razak Tewas Bukan Kerana Kontroversi

Zizan tidak melihat kontroversi yang melanda kerjayanya sebagai punca dia tidak berjaya membawa pulang sebarang trofi pada ABPBH 2013.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menyangkal dakwaan kononnya dia gagal meraih sebarang trofi pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) kerana namanya dikaitkan dengan beberapa kontroversi.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 30, berkata, sekiranya faktor tersebut diambil kira dia yakin namanya tidak akan tersenarai sejak pencalonan awal kerana para peminatnya dan pengundi sudah bijak untuk menilai seseorang artis.

"Alhamdulillah, sudah tercalon dalam lima kategori pun sudah dikira cukup bagus dan rasanya bukan kerana kontroversi saya gagal mendapat sebarang trofi kerana peminat hari ini sudah bijak menilai.

"Tambahan pula kontroversi yang melibatkan saya tidaklah seteruk mana sehingga ia mampu membuatkan peminat membenci saya," katanya.

Menerusi ABPBH 2013, Zizan dicalonkan dalam lima kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Gandingan Serasi di Layar Perak dan Artis Berpengaruh di Laman Sosial.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak kecewa apabila gagal membawa pulang sebarang trofi kerana apa yang berlaku diluar kawalannya selain soal rezeki ditentukan oleh Allah.
Zizan bersyukur peminat masih setia menyokong kerjaya seninya.

Jelas Zizan, keputusan yang dibuat peminat perlu diterima dengan baik dan bersyukur apabila ahli kelab peminatnya sentiasa berada disisinya dan memberi sokongan kuat terhadap kerjayanya.

"Tanpa peminat saya tidak mungkin akan berdiri di sini pada hari ini dan sokongan tidak berbelah bahagi mereka membuatkan saya kuat dan bersemangat untuk terus memberikan terbaik dalam kerjaya saya," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2013 buat kali kedua, Zizan berkata, Aaron layak menerima penghargaan berkenaan dan ia tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Saya bangga dengan Aaron atas pencapaian mereka dan dia berhak menerima anugerah tersebut malah saya turut tumpang gembira dengan kemenangan sahabat lain seperti Datuk AC Mizal dan Jep Sepahtu," jelasnya.

ABPBH: Aaron Aziz Tidak Diam Diri Jika Kemenangan Dipertikai

Aaron tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang akan mempertikaikan kemenangannya dalam ABPBH 2013.
PUTRAJAYA: Pelakon Aaron Aziz tidak akan berdiam diri dan akan bersemuka sekiranya ada pihak yang mempertikaikan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) buat kali kedua pada Sabtu lalu.

Aaron bagaimanapun berkata, dia berharap kemenangannya itu tidak menjadi kontroversi seperti mana kemenangannya kali pertama pada 2011 kerana ia ditentukan oleh peminat.

"Harap-harap tiada pihak yang mempertikaikan kemenangan ini kerana ia adalah suara para peminat saya yang bertungkus lumus mengundi dalam memberi sokongan kepada kerjaya seni saya.

"Bagaimanapun sekiranya perkara itu berlaku saya tidak akan berdiam diri dan akan bersemuka dengan pihak berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Pada acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, Aaron memperoleh 76,742 undi sehingga melayakkannya merangkul trofi utama itu selain turut dipilih menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.
Aaron merangkul trofi Bintang Popular ABPBH buat kali kedua.

Dalam pada itu, Aaron berkata, dia tidak menyangka akan diumumkan sebagai Bintang Paling Popular kerana tidak banyak produk melibatkannya sejak akhir-akhir ini.

Malah kata Aaron, dia dapat merasakan popularitinya tidak segah dahulu namun menganggap ia satu fasa biasa sebagai dan sentiasa bersedia menghadapi zaman kejatuhannya.

"Saya benar-benar terkejut dan hilang kata-kata ketika diumumkan sebagai pemenang kerana saya merasakan populariti saya semakin pudar tambahan pula semakin ramai pelakon lelaki baharu muncul dalam industri membuatkan saya tidak mengharapkan sebarang kemenangan.

"Namun kemenangan ini adalah bukti peminat saya sentiasa memberikan sokongan pada mereka terhadap kerjaya saya di negara ini," ujarnya.

Pelakon berasal dari Singapura ini bersyukur masih mendapat sokongan peminat di Malaysia.

Sementara itu, Aaron berkata, kemenangan itu tidak memberikan tekanan kepadanya malah sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan karya terbaik buat peminat setianya.

"Alhamdulillah, sokongan peminat dan isteri saya yang banyak menguruskan kerjaya saya sehingga ke tahap ini akan terus menjadi penguat semangat untuk terus berkarya dengan lebih baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, dia kini sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran filem selain telemovie khas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bufet Ramadan: Felda D'Saji sasar jualan RM2.2juta


  • Chef Felda D'Saji menunjukkan sebahagian daripada hidangan yang disediakan untuk bulan Ramadan pada Majlis Sidang Media dan Preview Bufet Ramadan 2014 di Kuala Lumpur hari ini.  - Foto BernamaChef Felda D'Saji menunjukkan sebahagian daripada hidangan yang disediakan untuk bulan Ramadan pada Majlis Sidang Media dan Preview Bufet Ramadan 2014 di Kuala Lumpur hari ini.
SYARIKAT katering Felda D'Saji Sdn Bhd, anak syarikat Felda dan Koperasi Permodalan Felda menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.2 juta bufet Ramadan di Dewan Perdana Felda serta Restoran Felda Villa tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zaki Abdullah berkata, tahun lepas kedua-dua venue yang masing-masing menawarkan harga RM85 dan RM69 seorang itu mencatat hasil jualan sebanyak RM1.7 juta.

"Untuk tahun ini, kita menawarkan lebih 111 menu yang akan disediakan 40 chef dengan menu istimewa termasuk makanan Arab, masakan kampung dan pelbagai lagi juadah tradisi Melayu dan antarabangsa," katanya kepada pemberita pada majlis prebiu bufet Ramadan di Restoran Felda Villa di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan kehadiran lebih 30,000 tetamu berbanding 26,000 tahun lepas bagi kedua-dua venue.

Lebih menarik, tahun ini Felda D'Saji akan bekerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi memberi peluang kepada setiap tetamu menyumbang untuk aktiviti kebajikan kepada pesakit kanser, katanya.

"Kami akan mendermakan RM1 bagi pihak tetamu kami kepada Tabung MAKNA dengan jumlah sasaran minimum sumbangan sebanyak RM25,000," katanya.

Iqram hanya bergurau

IQRAM mengakui, perbualannya dengan pelajar tersebut hanya sekadar gurauan dan menganggap pelajar tersebut seperti rakannya yang lain.


SEMALAM, kecoh dalam sebuah portal hiburan memuat naik gambar seorang pelakon dan pengacara, Iqram Dinzly yang dipercayai memasuki kelab malam dan melakukan hubungan songsang dengan seorang pelajar Malaysia di London.
Menurut kenyataan tersebut, Iqram juga dipercayai sering berbalas mesej menerusi aplikasi Whatsapp dengan pelajar tersebut apabila pelakon itu pulang ke Malaysia dan antara mesej tersebut berbaur lucah.
Tambah memburukkan keadaan lagi, pelakon tersebut juga didakwa turut mengirim sekeping gambar alat sulit lelaki untuk tatapan pelajar tersebut.
Difahamkan, pelajar lelaki terbabit terserempak dengan Iqram di London pada bulan November tahun lepas sewaktu pelakon tersebut sedang menikmati makan malam.
Selepas bertegur sapa, si pelakon dikatakan mempelawa pelajar berkenaan menemaninya bersiar-siar sepanjang berada di sana dan seterusnya terbawa hingga ke bilik pula.
Iqram yang terkejut dengan kontroversi yang melanda dirinya itu bagaimanapun mengatakan ia hanya merupakan gurauan biasa dirnya dan rakan-rakan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang pernah membintangi filem Apokalips X itu.
Kosmo!: Benarkah dakwaan yang mengatakan anda pergi ke kelab malam dan melakukan hubungan songsang dengan seorang pelajar Malaysia di London?
IQRAM DINZLY: Ya, saya mengakui saya hanya pergi ke kelab malam tersebut hanya sekadar ingin melihat suasana dan meluangkan masa bersama rakan-rakan. Namun, saya menyangkal dakwaan yang mengatakan saya melakukan hubungan songsang kerana ia tidak mempunyai bukti.
Boleh anda komen sedikit mengenai perbualan anda dengan seorang pelajar tersebut menerusi aplikasi Whatsapp, Pada pandangan anda adakah ia agak keterlaluan?
Dia merupakan teman saya. Pada saya, ia merupakan perkara biasa kerana saya selalu bergurau dengan rakan-rakan lain dan saya sendiri menganggap ia hanya perkara biasa sahaja. Bukan setakat dia, malah saya turut bergurau dengan rakan-rakan lain perkara yang sama juga. Bagi saya, ia tidak menjadi masalah.
Menerusi gambar tersebut anda kelihatan intim dengan pelajar tersebut, bolehkan anda jelaskan hubungan sebenar antara kalian berdua?
Saya merupakan seorang yang mudah mesra walaupun dengan orang yang saya baru kenali. Tidak mungkin untuk saya melakukan hubungan songsang kerana kami hanya berkawan seperti biasa. Saya menafikan spekulasi tersebut kerana tiada sebarang bukti yang mengaitkan kami berdua melakukan hubungan songsang walaupun di dalam gambar tersebut.
Apakah tujuan anda berada di London?
Saya berada di sana selama lima hari disebabkan urusan kerja. Saya ke sana bagi mempromosikan kelab bola sepak Cardiff City dan pulang setelah urusan kerja tersebut selesai.
Menerusi gambar tersebut, anda memakai baju yang tertera jenama Rafflesia. Adakah ia sedikit sebanyak akan menjejaskan jenama itu?
Dalam gambar tersebut saya hanya duduk bersebelahan dengan dia, tidak ada sebarang aksi lucah di dalam gambar tersebut. Saya rasa, ia tidak patut dijadikan permasalahan besar.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya baru sahaja selesai daripada penggambaran drama Kalau Hati Ini Rama-Rama di Bosnia dan sebuah telemovie Meniti Cinta di Stari Most terbitan RTM. Saya juga akan terlibat dalam filem terbaharu Upin-Ipin yang dijangka akan bermula pada Jun ini. Selain itu, saya juga akan bercuti di Sepanyol pada September depan.