Yuna teruja Samsung Glaxy Note lancarkan kerja

Kegilaan generasi masa kini terhadap penggunaan telefon bimbit tidak lagi dapat disangkal. Telefon bimbit yang dahulunya dianggap sebagai kehendak kini sudah menjadi seperti satu keperluan untuk setiap orang memilikinya. Lihat sahajalah di kalangan pelajar sekolah sendiri sudah ramai yang menggunakan telefon bimbit. Bermula dengan penggunaan hanya sekadar menelefon dan berbalas sistem pesanan ringkas, penggunaan telefon bimbit semakin dinaik taraf dengan aplikasi kamera, emel dan video.

Seiring dengan pembangunan teknologi masa kini, kehadiran telefon pintar dianggap muncul tepat pada masanya untuk orang ramai terutama mereka yang berkerjaya memilih menggunakan telefon tersebut. Dengan menyediakan penggunaan Internet sebagai bonus buat mereka yang memiliki telefon pintar, nyata fungsi ini menarik minat mereka yang sentiasa sibuk dengan tugas untuk memudahkan kerja harian mereka.

Bagi penyanyi dan penulis lagu, Yuna yang baru-baru ini dilantik sebagai duta jenama Samsung Galaxy Note, penggunaan telefon pintar dalam membantu melancarkan kariernya ternyata berjaya.

Malah menurut Yuna, kehadiran Samsung Galaxy Note yang menyediakan fungsi telefon dan tablet itu menjadikan aktiviti hariannya semakin bermakna dengan pelbagai aplikasi yang ditawarkan dalam telefon pintar ini.

“Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya dapat inspirasi daripada pelbagai perkara seperti gambar, video dan movie secara online. Memandangkan hobi saya yang gemar melancong ke tempat baru, jadi penggunaan gajet begitu penting.

“Jika sebelum ini saya perlu membawa banyak gajet untuk merakamkan gambar atau video, namun kini dengan menggunakan­ telefon pintar Samsung Galaxy Note, saya dapat melakukan kesemua perkara seperti mengambil gambar, merakam video dan juga melayari internet dengan satu gajet sahaja,” katanya semasa sidang media aktiviti jelajah Studio Samsung Galaxy Note bersama selebriti ini di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Mengakui telefon pintar itu turut membantunya untuk menulis lagu, pemilik nama sebenar Yunalis Zarai ini berkata, dia selesa mempunyai satu peranti yang membolehkannya meluaskan kreativiti yang ada.

“Tidak perlu membawa laptop atau netbook yang besar dan kamera atau kamera video kerana dengan menggunakan Samsung Galaxy Note, semua aplikasi tersebut terdapat di dalamnya. Malah, yang lebih menarik lagi, saya boleh terus memuat turun gambar-gambar yang saya ambil dan video yang saya rakam di Youtube bagi berkongsi dengan peminat. Pendek kata, telefon pintar ini merupakan teman baru saya yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja,” katanya lagi.


Rakam muzik video di telefon bimbit

Mengulas mengenai kerjasama dengan Samsung Malaysia Electronics (Samsung), selebriti berusia 26 tahun ini bakal mencipta sejarah apabila menjadi selebriti pertama Malaysia yang akan merakamkan muzik videonya menggunakan Samsung Galaxy Note.

Pelantun lagu Penakut ini akan bekerjasama dengan Samsung dalam pembikinan projek Sparkle, salah satu lagu yang terkandung­ dalam album terbarunya yang berjudul Terukir di Bintang.

Mengakui tidak sabar untuk memulakan proses penggambaran muzik video yang dijadualkan bermula Jumaat lalu, Yuna turut melahirkan rasa kagumnya akan kehebatan telefon pintar itu.

“Semasa mula-mula diberitahu oleh mereka (Samsung) untuk membuat muzik video, saya rasa benar-benar teruja untuk bekerjasama dengan mereka. Pada pendapat saya, idea untuk membuat muzik video menggunakan telefon pintar ini begitu mengagumkan dan sangat kreatif. Tambahan pula, saya memang penggemar videografi dan fotografi jadi kesempatan ini tidak harus saya sia-siakan,” katanya.

Selain berkesempatan merakamkan muzik video Sparkle, Samsung turut membuka peluang kepada peminat Yuna untuk turut sama memberi cadangan dan idea secara visual mengenai lagu tersebut.

“Peminat-peminat Yuna dan Samsung boleh menghantar idea untuk terlibat dalam muzik video Sparkle di mana idea yang terbaik daripada mereka akan diletakkan dalam muzik video ini. Sebelum ini pun, saya banyak berkongsi idea dengan peminat mengenai perkembangan kerjaya saya, muzik, seni, foto dan fesyen. Saya gemar melakukan sesuatu yang boleh melibatkan saya dengan peminat berkongsi idea,” katanya yang begitu menghargai pandangan peminat.


Saiz tidak jadi masalah

Biarpun Samsung Galaxy Note dikategorikan sebagai telefon pintar yang besar, namun menurut Yuna, perkara itu langsung tidak menjadi masalah buatnya memandangkan kepuasan menggunakan telefon tersebut lebih bernilai.

“Saya tidak rasa saiznya menjadi masalah kerana buat perempuan yang selalu membawa tas tangan pastinya mudah untuk meletakkan telefon ini. Lagi pula, Samsung Galaxy Note menggabungkan dua fungsi dalam satu iaitu telefon dan tablet. Malah, telefon pintar ini juga ringan,” katanya.

Menurut penyanyi yang gemar menggunakan aplikasi peta di dalam telefon ini juga, dia begitu menggemari fungsi S Memo dan S Pen yang ditawarkan pada telefon pintar tersebut.

“Pertama kali menggunakan aplikasi S Pen, saya sangat kagum dengan aplikasi ini kerana ketepatannya seolah-olah kita guna pen yang betul. Seumpama kita menulis di atas sekeping kertas. Selain itu, saya juga sukakan skrinnya yang besar dan berdefinisi tinggi. Jadi apabila hendak menonton video kita rasa lebih puas melihat dengan skrin yang besar.

“Perkara paling menarik yang saya baru temui tadi adalah kita juga boleh melukis di atas gambar di skrin ini,” katanya yang juga berkesempatan menyaksikan seorang kartunis melukis karikaturnya menggunakan telefon pintar tersebut.

Ditanya mengenai kehidupan tanpa telefon bimbit, Yuna berkata, pastinya kehidupan akan kembali seperti dulu di mana dia akan mencari telefon awam untuk menghubungi mereka yang tersayang.

“Saya pernah juga terfikir bagaimana sekiranya saya tidak mempunyai telefon. Pada saya, agak sukar sedikit untuk melakukan kerja-kerja harian yang sudah biasa kita buat seperti berbalas sms, mendengar­ lagu atau menelefon rakan-rakan tidak kiralah atas urusan kerja atau peribadi.

“Jika dahulu sebelum ada telefon bimbit saya akan mencari telefon awam untuk menelefon keluarga atau rakan-rakan, apabila hendak membalas pesanan pula menggunakan emel, namun kini tidak perlu lagi dengan adanya telefon bimbit.

“Dengan teknologi canggih yang ada kini, kita seharusnya memanfaatkan perkara itu untuk melancarkan kerja-kerja harian,” katanya yang pertama kali memiliki telefon bimbit jenama Sony Ericsson semasa dalam Tingkatan Tiga.


Terukir di Bintang diterima

Leka bercerita mengenai keterujaan menggunakan telefon pintar itu, teman wanita kepada Qi ini turut diajukan mengenai sambutan peminat terhadap single terbarunya, Terukir di Bintang yang turut dijadikan judul bagi album keduanya.

Gembira apabila single itu menerima respons positif daripada peminat, Yuna turut bersyukur apabila percubaannya dalam membawakan elemen muzik klasik Melayu itu dapat diterima baik.

“Alhamdulillah, sambutan untuk single Terukir di Bintang sangat baik malah saya gembira lagu tersebut kini banyak dimainkan di corong radio. Dalam lagu itu, saya selitkan unsur Melayu klasik dan juga moden bagi menarik perhatian generasi muda masa kini,” katanya yang mendapat inspirasi daripada lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee.