ALOR SETAR - "Saya mohon kemaafan dari semua pihak terlibat kerana tindakan saya menyusahkan banyak pihak Yang Arif," kata Hanif Mohamad Ali, 28, yang dituduh menyebabkan kematian seorang murid, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.
Menurutnya, apa yang berlaku (tindakan tertuduh terhadap mangsa) adalah di luar jangkaannya dan memohon supaya mahkamah memberi peluang kepadanya untuk membaiki diri serta bertaubat.
“Saya merayu dikenakan hukuman selayaknya kerana masih mempunyai dua orang tua yang uzur dan pinjaman pengajian serta hutang peribadi perlu dibayar,” katanya dengan nada sebak ketika diberi peluang bercakap selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menerima keputusan salah tertuduh yang dibuat secara sukarela tanpa ada unsur paksaan dan menetapkan hari ini (Rabu) untuk menetapkan keputusan hukuman terhadap tertuduh.
Sebelum itu, peguam mewakili tertuduh, Azizul Shariman Mat Yusof, meminta mahkamah menimbang beberapa faktor untuk menjatuhkan hukuman setimpal terhadap warden sekolah itu kerana semasa kejadian baru berumur 27 tahun.
“Hanif anak kedua daripada empat beradik, belum berkahwin, mendapat pendidikan sijil Matrikulasi di Melaka dalam Sains Fizik. Bapanya, pesara pengawal keselamatan dan ibu suri rumah. Mula mengajar di Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis sejak 2008, dengan gaji RM800 sebulan itu, dia menanggung kedua ibu bapa serta adik yang masih bersekolah,” katanya.
Sementara itu, suasana semakin sayu apabila tertuduh yang memakai kemeja putih berjalur dilihat menundukkan wajah dan sesekali mengesat air mata dengan sapu tangan ketika peguam membacakan latar belakangnya.
Azizul berkata, mahkamah wajar memberi peluang kepada tertuduh kerana hukuman ini akan menjadi pengajaran terhadapnya pada masa akan datang serta mempunyai banyak masa untuk membaiki dirinya. Hanif didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bilik warden asrama putera, sekolah itu antara jam lebih kurang 6 petang hingga 12 malam pada 31 Mac 2011.
Dalam kejadian itu, Saiful koma tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden itu ketika menyiasat kes curi di asrama sekolah berkenaan. Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda kerana menyebabkan kematian kepada mangsa.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan menyebabkan kematian terhadap murid berumur tujuh tahun tidak boleh dipandang ringan.
“Kesalahan ini amat serius dan melibatkan kepentingan awam. Tertuduh salah guna kuasa pendidik untuk melakukan tindakan disiplin dimaksudkan tertuduh dengan mengikat mangsa pada kerusi serta mencekik leher mangsa yang tidak berdaya mempertahankan diri.
“Tidak ada agama membenarkan perbuatan mendera. Tindakan tertuduh turut mencemarkan imej sekolah agama berkenaan dan status ustaz yang berpendidikan tinggi namun sanggup melanggar batas kemanusiaan,” katanya. Pendakwaan dikendalikan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Noorin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mohthar.
Manakala, tertuduh diwakili lima peguam iaitu Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.
bodoh punya ustaz
ReplyDelete