PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3 akan mengkaji semula kadar pembelian program-program televisyen (TV) yang mula dipertikaikan dan menjadi isu panas daripada pihak penerbit-penerbit drama.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, pihaknya memberi perhatian sepenuhnya apabila Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tampil bersuara mengenai isu tersebut.
"Buat masa ini, isu kadar harga pembelian program TV masih lagi dalam kajian dan setakat ini saya enggan memberi komen lebih.
"Namun, pihak kami amat peka dengan isu tersebut, cuma belum berkesempatan untuk berjumpa dengan stesen TV yang lain untuk membincangkan tentang isu ini," katanya.
Baru-baru ini, PTVM meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua pemilik stesen televisyen di negara ini supaya dapat menyelaraskan kadar pembelian program-program televisyen yang tidak pernah berubah sejak tahun 1995.
Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, sekurang-kurangnya kenaikan sebanyak 30 peratus daripada harga pembelian sesebuah rancangan wajar diberikan kepada produser televisyen yang turut menggaji hampir 20,000 warga pekerja seni.
Bagaimanapun tambah Izham, walaupun kadar harga pembelian masih lagi sama sejak 17 tahun lalu, ia tidaklah menjejaskan pihak penerbit daripada mengalami kerugian.
"Bukan senang untuk melakukan perubahan tersebut. Tetapi, berdasarkan apa yang dilihat, banyak cara lagi untuk penerbit-penerbit 'buat duit' dengan karya yang dihasilkan.
"Dalam pada itu nilai harga yang telah ditetapkan itu tidak pula memberi kerugian pada mereka, malah, mereka masih lagu mampu menghasilkan karya dengan kualiti yang bagus.
"Entahlah, mungkin para penerbit ini hanya bergantung harap kepada stesen TV bagi setiap produk yang dihasilkan. Apa-apa pun, selepas melakukan perbincangan dengan semua stesen TV, kami akan mengumumkan perkara itu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: